Sesekali kelihatan kanak-kanak tersebut bercakap dengan anak patung itu dan memeluknya erat.

Dihadiahkan oleh ibunya bersempena ulang tahun kanak-kanak itu beberapa bulan lalu, anak patung tersebut menjadi permainan kegemarannya sejak dari itu dan harinya tidak akan berlalu tanpa bermain dengannya.

Uniknya patung tersebut adalah kerana ia diperbuat betul-betul menyerupai diri Keagen yang dipenuhi dengan tanda lahir di seluruh tubuh.

Meskipun nampak biasa seperti permainan yang lain, hakikatnya anak patung itu merupakan hasil ciptaan khas seorang wanita dari Wisconsin, Amerika Syarikat.

Pekerja sosial, Amy Jandrisevits, 45, mula menghasilkan anak patung tidak cukup sifat dengan pelbagai warna sejak kira-kira empat tahun lalu. Pada asalnya ia adalah untuk simpanan sendiri.

Pada usia remajanya, Jandrisevits pernah berkhidmat sebagai pekerja sosial unit pediatrik di sebuah hospital berdekatan rumahnya. Unit itu menawarkan perkhidmatan kepakaran perubatan kanak-kanak.

“Semasa bekerja bersama kanak-kanak tersebut, saya menggunakan anak patung dalam satu sesi terapi sebagai kaedah untuk membantu para pesakit mengekspresikan diri mereka.

“Penggunaan anak patung dalam sesi terapi adalah sangat membantu kerana ia menyerupai manusia dan sememangnya disukai oleh kanak-kanak terutama untuk dijadikan permainan,” katanya kepada portal berita Metro.co.uk baru-baru ini.

Bagaimanapun, pada satu hari, Jandrisevits menyedari bahawa anak patung yang digunakannya adalah jauh berbeza dengan fizikal kanak-kanak di bawah jagaannya.

Tambahan pula, dia sering berasa tidak selesa ketika menyerahkan anak patung yang mempunyai rambut yang tebal sedangkan penerima kanak-kanak itu tidak mempunyai walau sehelai rambut kerana menjalani rawatan berterusan,” katanya.

Jahitan

Ujarnya, ramai kanak-kanak tidak berpeluang melihat gambaran diri mereka dalam sebuah anak patung.

“Adalah sangat sukar untuk menyatakan bahawa mereka sangat cantik kepada kanak-kanak itu sedangkan mereka tidak pernah melihat apa-apa yang menyerupai diri mereka,” luahnya.

Dia akhirnya memutuskan untuk menghasilkan anak patung dengan memiliki ciri yang sama seperti tuannya.

Menggunakan ilmu yang diwarisi daripada ibunya, Jandrisevits menjahit sebuah anak patung yang diinspirasikan daripada watak Raggedy Ann iaitu karakter kanak-kanak dalam sebuah komik.

Tidak lama kemudian, ketika salah seorang jiran di kawasan kediaman itu datang menjenguknya, individu itu telah melihat patung ciptaan Jandrisevits dan turut memberikan pujian.

Apabila mengetahui bahawa anak patung itu merupakan hasil jahitannya, jiran itu meminta Jandrisevits agar menghasilkan anak patung yang sama seperti anak lelakinya yang kudung sebelah kaki.

Hasil anak patung ciptaannya itu kemudiannnya telah dikongsikan dan tersebar ke seluruh negara.

Peristiwa itulah yang mengilhamkan Jandrisevits untuk melancarkan perusahaan A Doll Like Me pada tahun 2014 dan kurang dari dua bulan, dia telah menerima kira-kira 300 tempahan dari seluruh dunia dengan ratusan lagi berada dalam senarai menunggu.

Bermula daripada peristiwa itu juga, Jandrisevits telah menghasilkan beratus-ratus anak patung dengan pelbagai ciri berbeza.

Ada antaranya yang tidak mempunyai kaki, kudung sebelah tangan, jumlah jari tidak lengkap serta tidak mempunyai rambut.

Selain tidak cukup sifat, anak patung ciptaan Jandrisevits dihasilkan dalam pelbagai warna yang melambangkan warna kulit dan etnik seseorang.

“Saya percaya anak patung patut kelihatan mirip dengan pemiliknya dan ia perlu ada dalam pelbagai warna, jantina dan bentuk badan.

“Kesemua sifat-sifat itu adalah untuk mendidik kanak-kanak tentang kepelbagaian. Misalnya mengenai warna, mereka perlu tahu bahawa terdapat pelbagai kaum di dunia dan kesemuanya itu perlu diterima serta hidup bersama,” ujarnya.

Peneman

Bercakap mengenai kepentingan usahanya itu, Jandrisevits menyatakan bahawa adalah lebih baik bagi kanak-kanak itu melihat diri mereka dalam anak patung daripada membandingkan perbezaan yang dimiliki dengan objek tersebut.

Tambah Jandrisevits, usaha itu dirasakan berbaloi apabila salah seorang penerima kanak-kanak yang tidak mempunyai sebelah tangan meluahkan perasaan bahawa dia berasakan seolah-olah tidak lagi keseorangan dan mempunyai teman yang turut berkongsi nasib sama.

“Anak patung itu menunjukkan bahawa mereka sudah cukup sempurna seperti yang lain. Adalah sangat penting untuk mengenali diri sendiri sejak muda bagi membentuk peribadi yang lebih berkeyakinan,” tuturnya.

Setiap anak patung yang dihasilkan memakan kos sekitar AS$100 (RM408), namun bagi keluarga yang tidak berkemampuan, Jandrisevits akan memberikannya secara percuma menggunakan dana yang diperolehi melalui kempen GoFundMe yang dilancarkan olehnya sendiri.

Selain itu, dia turut bekerjasama dengan hospital-hospital kanak-kanak bagi membekalkan patung tersebut yang bertujuan menjadi peneman kepada mereka ketika menjalani rawatan.

“Saya berharap dengan adanya dana yang mencukupi pada masa akan datang, kesemua anak patung itu boleh diberikan secara percuma kerana ia boleh menjadi kunci kepada kanak-kanak untuk tidak berputus asa,” ujarnya.

Sementara itu, pegawai bomba dari Britain, Brian Grassi, 43, berkata, dia terbaca mengenai perkhidmatan Jandrisevits semasa sedang melayari laman sosial Facebook.

Bercadang untuk membuat kejutan kepada isteri tercinta, Grassi kemudiannya terus menghubungi Jandrisevits dan menempah sebuah anak patung bagi anak perempuannya, Emma yang kudung sebelah tangan.

Katanya, sebaik sahaja dia membuka bungkusan itu, isterinya sangat terkejut dan mengalirkan air mata kegembiraan.

“Kami kemudiannya menyerahkan hadiah itu kepada Emma dan secara tiba-tiba dia tersenyum serta ketawa seolah-oleh mengenali rupa anak patung itu seperti dirinya sendiri.

“Terima kasih Jandrisevits, usaha anda sangat memberi makna kepada keluarga kami. Semoga inspirasi anda akan dapat disebarkan ke seluruh dunia,” katanya di laman sosial Facebooknya.