Bagi kebanyakan negara, situasi tersebut mungkin kelihatan pelik. Lebih-lebih lagi ketika waktu puncak yang sepatutnya orang ramai berpusu-pusu mahu menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, pemandangan itu biasa bagi penduduk yang menetap di perkampungan kecil Nagoro yang terletak di Pulau Shikoku, Jepun.

Difahamkan, selepas penduduknya berhijrah ke bandar dan meninggal dunia disebabkan oleh penyakit tua, kampung tersebut mula menyepi. Menurut penduduk setempat, kampung itu dahulunya menjadi tempat berteduh bagi lebih 300 orang penghuninya, tetapi kini hanya didiami oleh 35 orang penduduk.

Lebih menyedihkan apabila kesemua penduduk yang tinggal kini sudah berusia lanjut.

Melihat situasi perkampungan yang hampir mati itu, Tsukimi Ayano, 69, mengambil keputusan untuk menghasilkan ratusan buah patung untuk menggantikan manusia-manusia yang telah tiada.

Pupus

“Semuanya bermula kira-kira 15 tahun yang lalu apabila saya mengambil keputusan untuk berpindah semula ke kawasan saya dilahirkan.

“Saya pernah menetap di sini sehingga berumur 17 tahun sebelum keluarga berhijrah ke Osaka, bandar ketiga terbesar di Jepun.

“Amat mengejutkan apabila sekembalinya saya di sini, keadaan persekitaran berubah. Tiada lagi kanak-kanak atau masyarakat tua dilihat berjalan di serata tempat. Semuanya sunyi,” jelasnya.

Menurut portal National Public Radio, Nagoro kini hampir tiada anak. Ia dianggap sebagai ‘kampung dipinggir’ atau ‘kampung di tepi kepupusan’.

Isu penduduk yang semakin berkurangan di kebanyakan kampung akibat masalah penuaan memberi tekanan besar buat negara Jepun. Menurut laporan daripada Business Insider pula, bilangan kelahiran di perkampungan itu menurun kepada 2.9 peratus dari tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut menjadikan ia sebagai bilangan kelahiran terendah yang pernah dilihat oleh Jepun sejak data yang diperoleh pada tahun 1974.

Lebih-lebih lagi apabila ramai orang muda turut membuat pilihan untuk berpindah ke bandar-bandar besar seperti Tokyo dan Osaka, yang mana peluang untuk mendapatkan pekerjaan dan melanjutkan pengajian di universiti lebih besar.

Menurut Ayano, bermula dari saat itu, dia kemudian menghasilkan sebuah patung bagi menyerikan suasana di kampung tersebut.

“Pada mulanya, saya menghasilkan patung untuk dijadikan sebagai Kakashi, iaitu orang-orang yang diletakkan di kawasan pertanian dan bertujuan untuk menakutkan burung daripada memakan hasil tanaman yang diusahakan.

“Patung tersebut dibuat menggunakan pakaian bapa saya. Ada antara jiran yang mula keliru dan menganggap ia merupakan bapa saya sehingga mereka mula menyapa dan berbual dengan patung tersebut.

“Bermula daripada situ, saya kemudian menghasilkan ratusan patung yang lain sehingga ke hari ini,” jelasnya.

400 patung

Lebih membanggakan selepas hampir 15 tahun mencipta patung-patung tersebut, Nagoro kini diserikan dengan lebih 400 patung. Kebanyakan patung tersebut mewakili orang yang baru meninggal atau berpindah keluar dari kampung.

“Apabila membuat patung orang yang telah mati, saya akan mengenang kembali diri mereka sewaktu masih hidup dan sihat.

“Daripada situ saya dapat menghasilkan patung yang seakan sama dengan mereka,” jelasnya.

Bahkan, sekolah yang terbengkalai telah menjadi galeri patung Ayano, yang mencipta pelbagai karakter seperti pelajar, guru dan pengetua.

Ayano bekerja tanpa mengenal erti penat lelah dengan memperbaiki kerosakan boneka yang lama dan membina kawasan baharu untuk patung-patung tersebut.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika fenomena deretan patung dapat dilihat di serata kampung tersebut.

Kematian penduduk akibat sakit tua menyebabkan seorang anak kampung, Tsukimi Ayano terpanggil menghasilkan lebih 400 patung bagi mengisi kekosongan di Nagoro, Pulau Shikoku, Jepun.