SUASANA yang tenang tiba-tiba bertukar kecoh apabila sebuah lori tangki seberat 20 tan yang membawa kira-kira 33,000 liter diesel didakwa mengalami kegagalan brek semasa menuruni bukit di atas sebuah jambatan merentasi Selat Lumut.

Akibat masalah itu, lori tersebut telah terbabas sehingga berlaku tumpahan diesel di atas lebuh raya serta di kawasan tanah pada bahu jalan.

Kira-kira 30 minit kemudian, dua buah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki 10 orang lelaki tiba di lokasi kejadian untuk meninjau keadaan lori tangki yang terlibat dalam kemalangan itu.

Pasukan khas

Kumpulan lelaki yang lengkap dengan jaket dan topi keselamatan itu merupakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Fueller Logistic yang akan bertindak terhadap sebarang kebocoran atau tumpahan minyak daripada lori tangki tersebut.

Selain itu, pasukan khas ini juga turut berperanan untuk membaik pulih kebocoran kecil pada lori tangki milik Fueller Logistic yang mengalami kemalangan.

Menurut Pengurus Keselamatan Fueller Logistic, Gopinath Gopalakrishnan, fungsi pasukan ERT ialah untuk bertindak terhadap lori-lori tangki milik syarikat itu yang terbabit dalam kemalangan atau berlaku tumpahan minyak.

Fueller Logistic yang memiliki 130 buah lori tangki yang menyediakan perkhidmatan membawa bekalan petrol dan diesel untuk syarikat pengeluar minyak Shell dan Caltex.

Jika berlaku satu-satu kemalangan yang membabitkan lori tangki daripada syarikat pengangkutan Fueller Logistic, pasukan ERT akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima melalui telefon bimbit masing-masing.

Menurut Gopinath, terdapat satu punat kecemasan (panic button) di dalam lori tangki yang ditekan oleh pemandu bertujuan untuk memaklumkan kepada pasukan ERT jika berlaku sebarang kecemasan.

“Apabila berlaku kemalangan, pemandu akan menekan punat kecemasan dan secara automatik, pasukan ERT akan menerima SMS yang memaklumkan lokasi kemalangan itu berlaku.

“Punat kecemasan itu juga berfungsi secara automatik jika melibatkan kemalangan dengan impak yang maksimum,” jelas Gopinath.

Tanah tercemar

Selepas mengetahui kedudukan kemalangan tersebut, pasukan ERT akan menuju ke lokasi kejadian dan akan dikawal melalui monitor GPS di depoh.

Jika mereka mengesan berlakunya tumpahan minyak di atas jalan raya serta kawasan bertanah di lokasi kejadian, pasukan ERT perlu memastikan tumpahan minyak tersebut dibersihkan sepenuhnya bagi mengelak berlakunya pencemaran.

“Tanah yang telah dicemari perlu dicedok dan diletakkan di dalam beg plastik untuk dilupuskan kerana telah tercemar.

“Bagi kemalangan kelas seder­hana, seramai 10 anggota ERT diperlukan bagi membersihkan kira-kira 100 liter tumpahan minyak di sesuatu kawasan yang ter­cemar dengan mengambil masa antara sejam hingga sejam 30 minit,” ujar Gopinath.

Sehubungan itu, pasukan ERT perlu sentiasa bersedia kerana lori tangki yang membawa bahan bakar itu sentiasa berdepan dengan risiko kemalangan.