Sejak Januari 2016, graduan berusia 28 tahun itu ‘menetap’ di tiga kem pelarian berbeza di rantau Bavaria, selatan Jerman. Bagaimanapun, dia kini sudah tidak tahan lagi dengan bunyi bising pada waktu malam.

“Saya tidak boleh tidur, saya tidak boleh belajar, penggera api dimatikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada tengah malam,” kata Firas sambil menghirup kopi di McDonald’s.

Dia menjadi mangsa kekurangan perumahan di Munich. Perkara itu diburukkan lagi dengan kebanjiran imigran dari Jerman dan negara-negara lain.

Negara tersebut juga mengalami jumlah rumah sewa yang terhad akibat pasaran gelap.

Selepas melarikan diri dari perang saudara Syria, Firas dan isterinya memulakan kehidupan dengan berpindah ke sebuah apartmen baharu.

“Untuk mencari sebuah apartmen di Munich, anda perlu mengenali orang Jerman atau membayar wang di pasar gelap. Saya tidak mempunyai wang dan saya tidak mengenali sesiapa,” ujar Firas yang enggan mendedahkan nama penuhnya.

Dia merupakan salah seorang daripada 280,000 orang yang mendaftar sebagai pencari suaka di Pejabat Imigran dan Pelarian Jerman pada tahun 2016.

Apabila seseorang diberi status pelarian, pusat pekerjaan tempatan biasanya membayar sewa mereka sehingga mereka mendapat kerja tetapi persaingan untuk mendapatkan rumah murah sangat tinggi.

Walaupun jumlah pangsapuri yang tidak mencukupi di bandar-bandar utama di seluruh negara, Munich bagaimanapun adalah bandar paling mahal di Jerman susulan hampir sifar kadar pengangguran, demikian menurut laporan Deutsche Bank.

Penduduk bandar raya tersebut semakin meningkat apabila ramai orang berpindah dari kawasan lain di Jerman dan di luar negara.

Warga asing

Berdasarkan statistik, daripada 82 juta orang yang tinggal di Jerman, kira-kira satu perlapan adalah warga asing dan kebanyakannya dari negara Kesatuan Eropah. Menurut kajian pada tahun 2018 oleh Deutsche Bank, apabila penduduk bandar tersebut meningkat, harga rumah juga akan meningkat.

Antara tahun 2009 hingga 2014, penduduk Munich meningkat sebanyak 170,000, dengan harga rumah melebihi dua kali ganda untuk tempoh yang sama.

“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelarian.

“Adalah sukar untuk mendapatkan apa-apa jenis apartmen di Munich, tidak kira mampu milik atau tidak,” kata Stephan Duennwald di ibu pejabat Majlis Pelarian Bavarian di Munich.

Dengan perumahan sosial yang terhad, pelarian bersaing dengan warga Jerman dalam sektor swasta tetapi menghadapi halangan bahasa dan diskriminasi.

“Tuan tanah mahu pasangan Jerman yang sah.

“Ramai orang yang mencari pangsapuri tetapi pelarian tidak berpeluang,” kata Duennwald.

Penyelidikan oleh Institut Integrasi dan Migrasi Berlin pula mendapati tuan-tuan tanah enggan memberi sewa kepada pelarian kerana bimbang mereka tidak akan memahami peraturan seperti waktu meletakkan tong sampah atau hari minggu adalah hari yang tenang.

Ramai pelarian melaporkan bahawa broker pasaran hitam membenarkan penduduk memotong giliran dengan menawarkan jaminan untuk mendapatkan apartmen dengan sedikit bayaran.

Sementara itu, Basel yang meminta nama keluarganya tidak didedahkan sudah beberapa tahun mencari tempat tinggal.

Pada April 2016, seorang sahabat memberinya beberapa orang broker dan perbualan dengan broker melalui aplikasi WhatApps berjaya menemui Basel sebuah apartmen berharga AS$3,460 (RM14,400).

Basel bagaimanapun tidak meneruskan tawaran itu.

“Saya tidak mahu membuat masalah sebagai pelarian dan sudah tentu, saya tidak mempunyai apa-apa kerja, jadi saya tidak mampu,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters di Perpustakaan Gasteig, Munich.

Basel kemudian berjaya mendapatkan sebuah apartmen kerana seorang rakannya merupakan warga Jerman bersedia untuk menjadi penjamin.

Integrasi

Dia kemudian menunjukkan gambar apartmen satu bilik berserta balkoni tersebut di telefon bimbitnya.

Bagaimanapun, tidak semua pelarian mempunyai rakan Jerman yang sudi menawarkan sokongan.

Elif Beiner dari Majlis Pelarian Munich berkata, pasaran perumahan yang ketat di bandar itu membawa kesan negatif terhadap integrasi di negara tersebut.

Tobias Straubinger, jurucakap Persatuan Syarikat Perumahan Bavaria, percaya masalah itu boleh dikaitkan dengan dasar kerajaan.

Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan di bandar itu bersetuju bahawa perumahan yang mampu dimiliki adalah salah satu isu yang paling mendesak di Munich.

Walaupun bandar berkenaan berjanji untuk membina 8,500 unit kediaman setiap tahun sehingga tahun 2021, Deutsche Bank percaya ia tidak mencukupi dan meramalkan bahawa ruang kediaman dijangka masih tidak mencukupi sehingga tahun 2030. 
– Reuters