SUASANA hiruk-pikuk peniaga dan orang ramai di pasar Borneo Johor di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, Johor Bahru saling tidak tumpah seperti pasar Tamu Sibu di Sarawak yang begitu sinonim bagi masyarakat Bumi Kenyalang.

Walaupun tidak sebesar pasar Tamu Sibu namun kepelbagaian makanan dan barang yang terdapat di pasar Borneo Johor tetap membangkitkan kemeriahan pengunjung apabila melawat pasar berkenaan.

Justeru, tidak menghairankan kewujudan pasar Borneo Johor sentiasa mendapat kunjungan orang ramai terutama masyarakat Sarawak yang merantau di negeri ini dan menetap di Semenanjung Malaysia.

Antara yang menjadi tarikan di pasar Borneo Johor iaitu buah eksotik, dabai yang harganya mencecah RM60 sekilogram.

“Sekilogram RM50, dabai ini. Buah ini memang mahal sebab dia ‘terbang’ dari Sarawak,” kata peniaga, Siti Mamat, 40.

Menurut peniaga wanita yang berasal dari Sarikei, Sarawak, buah bermusim itu hanya berbuah sekitar Disember setiap tahun.

Tidak hairanlah, dabai mahal harganya, malah mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Buah itu juga sukar diperoleh di Semenanjung kerana terdapat di Kepulauan Borneo sahaja.

Dabai atau nama saintifiknya Canarium ondotophyllum adalah sejenis buah hutan yang terkenal di Bumi Kenyalang.

Bercerita lebih lanjut, Siti yang sudah hampir lima tahun berniaga berkata, dabai mempunyai keunikannya tersendiri terutamanya dalam proses untuk menyediakannya sebagai juadah.

Jelasnya, cara untuk makan dabai, penggemar harus terlebih dulu rendam buahnya menggunakan air panas selama lima hingga 10 minit.

“Setelah masak, kita boleh makan begitu sahaja. Rasanya lemak manis, kalau hendak sedap boleh dicicah dengan sambal kicap dan dimakan dengan nasi panas,” jelasnya.

Difahamkan bilangan orang Sarawak di Johor adalah kira-kira 40,000 orang dan kebanyakan mereka tinggal di sekitar Taman Megah Ria dan Kota Masai.

Dari segi pekerjaan, ramai yang bekerja secara kontrak di syarikat minyak dan perkapalan di Pasir Gudang.

Sejarah

Menyingkap kewujudnya, Pasar Borneo Johor pada mulanya beroperasi secara kecil-kecilan di tepi Jalan Bayam, Taman Megah Ria sekitar tahun 2006.

Ekoran sering ‘diganggu’ pihak berkuasa tempatan, pihak Persatuan Pasar Borneo Johor mengorak langkah bagi mendapatkan lesen yang sah untuk beroperasi.

“Sebelum ini, Pasar Borneo Sabah ini bertapak di Jalan Bayam dan pihak berkuasa tempatan memberi alasan pasar yang dibina mengganggu laluan utama jalan terbabit.

“Jadi kami pun meminta satu tapak baharu bagi membina Pasar Borneo yang lebih baik dan pada 28 Mei 2008, kami mendapat lesen perniagaan berkelompok daripada pihak kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG),” kata Pengerusi Persatuan Pasar Borneo Johor, Donny Linan.

Persatuan tersebut kemudiannya membangunkan pasar tamu menjadi lebih tersusun termasuk membina pasar tamu berbumbung.

Sejak itulah, Pasar Borneo Johor mula terkenal dalam kalangan penduduk sekitar selain para pelancong.

Menurut Donny, sebanyak 56 tapak disediakan khusus untuk peniaga yang berasal dari Sarawak. Ia menyediakan pelbagai jenis buah tempatan, sayur kampung, kuih-muih, serta peralatan tradisi pelbagai etnik Bumi Kenyalang.

“Pasar Borneo Johor suasananya sama dengan Pasar Tamu Sibu di Sarawak, cuma saiznya lebih kecil,” katanya.

Setakat ini, Pasar Borneo beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap Rabu, Sabtu dan Ahad.

Menurut Donny, pihaknya merancang untuk membuka Pasar Borneo pada setiap hari selain menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih baik untuk peniaga dan pengunjung.

Pelbagai jenis makanan tradisi etnik Iban dijual di pasar tani itu antaranya penyaram, pulut panggang Sarawak dan sarang semut.

Selain buah dabai, makanan eksotik ulat sagu turut menjadi buruan masyarakat Sarawak yang tinggal di Johor.

Ulat sagu

Menurut seorang lagi peniaga, Mau Ayiow, 47, ulat sagu atau ulat mulong antara makanan yang menjadi pilihan pengunjung di pasar berkenaan khususnya masyarakat Iban.

“Namun ulat sagu ini tidak sentiasa dijual kerana stoknya sukar didapati.

“Biasanya kalau musim panas memang payah. Kalau musim hujan dan lembab memang banyak stok tetapi cepat habis macam pisang goreng panas,” katanya.

Ulat sagu diperoleh daripada pembekal di daerah Batu Pahat.

Tidak ketinggalan juga, sayur hutan seperti peria katak, pucuk lemundang, keladi, pucuk ubi kayu dan pucuk daun getah.

Terdapat juga ikan air tawar seperti jelawat, terubuk, haruan, puyu dan sebarau yang dijual secara mentah atau dibuat pekasam.

Mengidam

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta yang berasal dari Sri Aman, Sarawak, Norazimah Narudin, 29, berkata, dia sering berkunjung ke Pasar Borneo untuk membeli makanan serta barang keperluan harian.

Katanya, tatkala rindu akan suasana Pasar Tamu Sibu, dia akan pergi ke Pasar Borneo untuk melepaskan rindu.

“Saya sudah hampir tiga tahun tinggal di Johor dan apabila teringin makanan tradisi Sarawak saya boleh mendapatkan di pasar tamu ini.

“Ketika mengandung saya mengidam makanan Sawarak, nasib baik terdapat pasar ini sekali gus memudahkan suami mencari makanan tersebut. Saya paling suka makan terung Iban sebab itu makanan kegemaran saya. Selain itu, saya suka buah dabai dan ulat sagu,” katanya.