Bagaimanapun, keadaan itu sangat berbeza dengan papringan di Dusun Ngadiprono, Desa Ngadimulyo, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah.

Pasar Papringan dimanfaatkan oleh penduduk untuk melakukan aktiviti jualan pada setiap minggu gaji (minggu keempat) dan minggu pon (minggu ketiga).

Ramai orang tidak percaya kebun buluh yang sebelum ini sepi dan kotor kini boleh menarik ribuan pengunjung datang ke lokasi tersebut untuk menikmati makanan tradisional yang dijual oleh masyarakat setempat.

Kawasan kebun buluh seluas 2,500 meter persegi itu digunakan oleh masyarakat setempat untuk membuka tapak jualan.

Suasananya yang terlindung daripada sinaran terik matahari memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga tetapi pengunjung pasar itu.

Urus niaga

Diusahakan oleh Komuniti Mata Air, warga tempatan menjadikan ia sebagai pasar yang berkonsepkan mesra alam dengan keunikan tersendiri.

Dari segi operasi jual beli di pasar itu, para penjual tidak menggunakan plastik untuk membungkus makanan sebaliknya daun.

Penjual juga akan menyediakan bakul yang diperbuat daripada buluh untuk memudahkan pembeli jika membawa barangan yang banyak.

Lebih unik apabila urus niaga di pasar itu tidak mengguna wang tunai sebaliknya pengunjung perlu membeli buluh berbentuk empat segi panjang pada harga Rp2,000 (60 sen) bagi digunakan sebagai pertukaran ketika proses pembelian.

Pengunjung boleh menukar duit mereka kepada kepingan buluh itu di beberapa lokasi pertukaran yang disediakan di pasar tersebut.

Ketua Komuniti Mata Air, Iman Abdul Rofik berkata, pasar tersebut dibuka pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, tidak sekadar berperanan sebagai konservasi alam terutamanya tanaman buluh, pasar itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat tempatan.

Beliau memberitahu, sebelum ini kawasan tersebut digunakan sebagai lokasi pembuangan sampah, namun atas dasar keprihatinan, pihaknya membuka Pasar Papringan itu.

Terdapat seramai 60 penjual di pasar tersebut dengan majoritinya merupakan warga Dusun Ngadiprono.

Barangan yang dijual pula merangkumi makanan, hasil pertanian dan produk keluaran penduduk tempatan. Terdapat kira-kira 100 jenis makanan tradisional dijual di pasar itu antaranya ialah nasi jagung, mangut, jamu, dawet anget khas Ngadiprono, nasi megono, nasi kuning, bubur kampung dan wedang lemeng.

“Hasil jualan di pasar pelancongan ini mampu mencecah sehingga Rp35 juta (RM10,796) setiap kali beroperasi. Keuntungannya diperoleh daripada hasil jualan di pasar dan belum termasuk kutipan parkir,” ujar Iman.

Setiap kali beroperasi, jumlah pengunjung antara 1,800 hingga 2,000 orang yang datang bukan sahaja dari wilayah Kabupaten Temanggung dan Semarang, Yogyakarta, malah turut menarik pelancong asing.

Menurutnya lagi, penjual terdiri daripada warga Dusun Ngadiprono dan sekitarnya yang berniaga di pasar tersebut kerana mahu menjana ekonomi mereka.

Sekiranya ada pengunjung ingin mendapatkan makanan tradisional, mereka perlu datang pada waktu pagi kerana kebiasaannya ia akan habis sebelum pukul 12 tengah hari.

Pendapatan

Penjual ubi kayu dan bertih jagung, Artiyana berkata, setiap kali berniaga, dia akan memperoleh sebanyak 150 keping buluh atau bersamaan dengan Rp300,000 (RM92.52).

“Hasil jualan ini dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga saya,” katanya.

Artiyana memberitahu, meskipun hanya menjual ubi kayu dan bertih jagung, ia mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan barangan juga pasti habis terjual setiap kali beroperasi.

Seorang lagi penjual, Noimah turut mengakui pasar tersebut sangat membantu menambahkan pendapatan keluarganya selain menjana ekonomi masyarakat setempat.

Dia menjual sebungkus nasi jagung dengan nilai dua keping buluh atau Rp4,000 (RM1.23), namun jika mengambil lauk seperti tauhu atau telur, harganya akan menjadi tiga hingga empat keping buluh.

Katanya, nasi yang dijualnya itu sangat digemari oleh pengunjung terutamanya dari luar kawasan tersebut sehinggakan sebelum pukul 12 tengah hari pasti ia habis dijual.

Katanya, walaupun beroperasi hanya dua kali dalam sebulan, ia turut menjadi daya penarik untuk pengunjung datang ke pasar tersebut.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Yogyakarta, Harianto berkata, pengunjung juga boleh menikmati kesenian tradisional masyarakat setempat.

Katanya, walaupun baru sekali berkunjung, dia mengakui pasar tersebut cukup unik kerana suasananya sangat cantik di bawah rimbunan buluh.

Pasar tersebut turut menawarkan khidmat mengurut dan memotong rambut selain terdapat permainan tradisional seperti terompah serta congkak.