Suami yang hanya mampu berbaring di katil selepas serangan strok pertama dua tahun lalu, sekali lagi diserang penyakit sama.

Fatimah kaget apabila suaminya mula tidak sedarkan diri. Dia tahu buruk kesannya jika tindakan lewat diambil.

Ia mungkin menyebabkan lumpuh seumur hidup atau mungkin meragut nyawa.

“Saya capai telefon bimbit dan terus mendail nombor Elite Emergency Management Service (Elite Emergency). Memang merekalah (Elite Emergency) yang pertama saya hubungi jika melibatkan hal perubatan dan kesihatan suami.

“Alhamdulillah, tak sampai 10 minit saya dah boleh dengar siren ambulans menghampiri dan tiba di kawasan rumah. Dengan pantas nadi pada tangan suami disemak sebelum dia diangkat dengan penuh tertib menaiki ambulans dan terus ke Hospital Kuala Lumpur,” kongsinya menceritakan detik cemas yang dilaluinya kira-kira dua bulan lalu.

Merupakan antara pelanggan setia Elite Emergency, sebuah syarikat persendirian yang menawarkan perkhidmatan ambulans sejak awal tahun ini, Fatimah bersyukur kerana pasukan tersebut sentiasa membantu setiap kali dirinya berdepan masalah berkaitan kesihatan suami.

“Saya mula mengenali Elite Emergency sekitar Januari tahun ini. Pada waktu itu, suami merupakan seorang pesara kerajaan diserang strok yang pertama dan perlu menghadiri perjumpaan dengan doktor di Hospital Selayang hampir setiap minggu.

“Selalunya, saya akan membawa suami ke hospital dengan kereta sendiri. Namun, selepas kaki saya kena ulser, keadaan ini menyukarkan saya untuk berdiri dan duduk di dalam kereta,” kongsinya yang juga seorang pesara.

Justeru, satu-satunya alternatif terbaik ialah dengan mencari syarikat yang menawarkan perkhidmatan ambulans.

Pasukan ini katanya, berkemahiran menilai simptom pesakit, memberi bantuan awal seperti bantuan oksigen dan banyak lagi.

Tempahan

Ditubuhkan sejak lima tahun lalu, pasukan yang terdiri daripada empat buah ambulans pelbagai jenis berserta lapan kru berpengalaman ini sering menjadi pilihan warga ibu kota terutamanya apabila keadaan melibatkan kecemasan seperti dilalui Fatimah.

Mengenakan caj serendah RM150 dan maksimum RM4,000 bagi setiap perjalanan dan perkhidmatan sama ada ke hospital kerajaan mahupun swasta seluruh Malaysia dan rangkaian luar negara, Elite Emergency menerima purata empat hingga enam panggilan tempahan perkhidmatan setiap hari.

Pemilik merangkap ketua krunya, Azizah Mat Ishak, 34, percaya, antara faktor utama Elite Emergency gah dalam kalangan pengguna adalah kerana kompetensi stafnya dalam menjalankan tugas.

Terbahagi kepada empat tim terdiri daripada dua orang kru (seorang pengendali ambulans dan pembantu perubatan atau paramedik), Azizah menggariskan agar setiap daripada staf sekurang-kurangnya memiliki kelayakan Diploma Pembantu Perubatan dari mana-mana institusi berdaftar.

Pengusaha perkhidmatan ambulans swasta perlu mendaftarkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti sentiasa mengelola ambulans dan memastikan pendaftaran perkhidmatan tidak tamat tempoh.

Paramedik

Jika tiada kelulusan, pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia akan diambil kira.

“Kami bukan sekadar kenderaan penghantar lokasi. Misalnya, jika keadaan pesakit dalam keadaan kritikal akibat asma, kami akan membantu menyalurkan oksigen sebagai bantuan awal.

“Selain itu, kes pelanggan yang meminta agar dihantar ke hospital tertentu, ia bergantung kepada keadaan pesakit dan pilihan hospital berhampiran,” jelas Azizah yang mula tertarik untuk berkecimpung dalam bidang ini selepas bergelar sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia tujuh tahun lalu.

Azizah yang juga graduan Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak memberitahu, pihaknya juga menawarkan perkhidmatan tambahan seperti penjualan dan penyewaan alatan perubatan seperti tabung oksigen serta menyediakan kru untuk berada pada acara seperti larian dan kejohanan sukan.

Sementara itu, salah seorang pengendali ambulans Elite Emergency, Mohd. Mahadzir Ismail, 27, menjelaskan, majikannya sentiasa memastikan setiap staf memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala tugasan dapat diselesaikan dengan baik.

“Setakat ini, kesemua empat orang pemandu ambulans di sini terdiri daripada paramedik mampu melaksanakan tugas seperti menyemak tanda vital pesakit, merawat kecederaan ringan, mampu mengangkat pesakit ke ambulans serta bertindak sebagai pembantu perubatan.

“Kami juga memastikan jentera dari sudut kelengkapan serta kondisinya sentiasa dalam keadaan baik dan melakukan pembersihan setiap hari pada peralatan yang digunakan di dalam ambulans termasuk usungan, kain lapik, kerusi duduk digunakan menggunakan Dettol agar bebas kuman,” ucapnya.

Ditebak soalan mengenai kemahiran memandu ambulans terutamanya pada waktu kecemasan, Mohd. Mahadzir berkata, seperti kenderaan lain, ambulans juga perlu mengikut peraturan trafik dengan sedikit kelonggaran.

“Bezanya, kita hanya dibekalkan siren sebagai memudahkan laluan. Andai kata lampu menunjukkan warna merah dan kenderaan lain tidak memberi laluan, ambulans sememangnya tidak boleh meneruskan perjalanan. Disebabkan itu, kerjasama orang awam sangat penting.

“Kadar kelajuan ambulans tertakluk kepada keadaan pesakit. Misalnya, jika pesakit patah tulang belakang, pemandu perlu memandu seperlahan mungkin bagi mengelak hentakan yang akan memudaratkan lagi pesakit,” ceritanya yang sudah bertugas bersama Elite Emergency selama tiga tahun.

Sementara itu, pembantu perubatan Elite, Mohd. Nasir, 22, berkata, pekerjaan mereka juga sebenarnya diulit risiko yang mungkin tidak disedari oleh kebanyakan orang terutamanya keluarga pesakit.

“Operasi kami memerlukan pelanggan menghubungi nombor 018-266 4995. Azizah yang bertindak sebagai pengelola akan bertanyakan beberapa maklumat seperti lokasi penghantaran, kondisi pesakit dan persetujuan harga.

“Malangnya, ada juga keluarga yang enggan memberitahu hal sebenar,” jelasnya.

Dia dan pemandu ke Hospital Sungai Buloh untuk menghantar seorang pesakit yang ingin pulang ke rumahnya di Cheras tanpa memberitahu dia adalah penghidap Tuberculosis (Tibi) dan hepatitis B.

Namun, bagi Pembantu Perubatan, Noor Al-Shifa, itu hanyalah sebahagian risiko pekerjaan yang akhirnya terubat apabila tugas ditunaikan dengan sempurna.