Pemerintah Indonesia memburu pengganas menerusi pengumpulan maklumat, data dan melakukan pemeriksaan yang terperinci. Ia bagi mengesan jaringan komunikasi kumpulan itu bagi menghalang rancangan jahat mereka yang mampu mengancam keselamatan negara.

Sebagai musuh utama masyarakat antarabangsa, kumpulan pengganas mampu mengancam kestabilan negara sehingga menyebabkan berlakunya keganasan dan meragut nyawa serta menghantui hidup rakyat yang inginkan keamanan.

Kegiatan keganasan yang meluas telah menarik perhatian ramai komuniti antarabangsa untuk berganding bahu bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pemerintah Indonesia turut mempergiatkan langkah-langkah keselamatan bagi membasmi keganasan sepanjang tahun lepas.

Berdasarkan data daripada Agensi Kebangsaan Memerangi Keganasan, Polis Nasional Republik Indonesia (Polri) telah menahan seramai 996 orang pengganas sepanjang tahun 2000 hingga 2015 berikutan aktiviti keganasan yang mereka jalankan.

Menurut Ketua Polri, Tito Karnavian, sepanjang tahun lepas, pihaknya telah mengendalikan sebanyak 170 kes keganasan yang menunjukkan peningkatan 82 kes berbanding tahun sebelumnya.

"Pertambahan jumlah kes ini disebabkan situasi politik yang tidak stabil di Syria dan Iraq susulan serangan kumpulan militan Islamic State (IS) terhadap negara Islam berkenaan.

"Ini telah menyebabkan berlaku peningkatan kes keganasan di Indonesia," katanya kepada pemberita di Jakarta baru-baru ini.

IS kini dikenali sebagai kumpulan militan Daesh.

Seramai tiga rakyat Indonesia ditahan di Syria pada 5 Disember 2016 kerana menyertai kumpulan militan Daesh.

Pada tahun lalu juga, seramai kira-kira 600 rakyat Indonesia merantau ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.

Pendekatan siber



Kejadian serangan bom pengganas di ibu kota Jakarta pada 14 Januari 2016 menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.

Badan Keselamatan Indonesia sentiasa berusaha untuk menggagalkan jaringan keganasan dalam persekitaran masyarakatnya.

Hasilnya, Polri menerusi Pasukan Antikeganasan Detasmen 88 telah menahan tujuh suspek yang disyaki sebagai pengganas di empat daerah berbeza iaitu Sumatera Utara, Sumatera Barat, Batam dan Tangerang Selatan.

Daripada tujuh individu terbabit, tiga orang mati ketika pergelutan dengan pihak berkuasa polis.

Dalam usaha memerangi keganasan di Indonesia, Polri menggunakan pendekatan siber sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan pengganas di alam maya.

Perjuangan untuk memerangi keganasan menerusi pendekatan siber dijalankan dengan pelbagai kaedah antaranya ialah pemantauan siber dan serangan semula terhadap hubungan komunikasi serta rangkaian kumpulan pengganas.

Pemantauan siber dijalankan oleh pasukan keselamatan siber Indonesia dengan menyasarkan matlamat untuk memantau aktiviti atau pergerakan rangkaian pengganas di alam maya.

Pasukan ini terpaksa bekerja keras sepanjang masa bagi mengawasi laman-laman web yang melibatkan rangkaian pengganas dan seterusnya berusaha merungkai kegiatan jahat mereka.

Menyamar

Menerusi kaedah pemantauan siber, pihak polis juga akan menyamar sebagai sebahagian daripada pengganas dan pada masa yang sama, mereka menyertai perbualan sesama pengganas dengan menggunakan akaun palsu.

Selain itu, pemerintah Indonesia sedar bahawa rangkaian pengganas terbabit merekrut ahli baharu dengan menggunakan media sosial sebagai platform utama.

Kumpulan pengganas juga dipercayai mempelajari kaedah membuat bom serta mencipta operasi melalui alam siber selain menjejaki sasaran mereka dan memberi bantuan dana melalui rangkaian media sosial.

Rentas sempadan



Polri bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada sebarang ancaman.

Usaha untuk memerangi keganasan memerlukan kerjasama baik daripada pelbagai institusi pihak berkuasa dan negara kerana rangkaian pengganas menjalankan kegiatan mereka di serata dunia.

Setiap negara harus bekerjasama dalam membina kekuatan untuk memerangi keganasan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Dalam usaha memusnahkan rangkaian penjenayah berkenaan, Menteri Koordinator Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata, proses memerangi keganasan boleh dilakukan dengan memintas rangkaian penyaluran dana mereka.

"Kami akan terus menggesa setiap negara untuk mengatasi jenayah siber ini dengan bekerjasama secara dekat dan memahami kepentingan masing-masing," katanya.

Pihak pemerintah Indonesia juga akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain seperti China dan Iran untuk melumpuhkan kegiatan jenayah ini di dunia.

Wiranto dan Menteri Luar Negeri Australia, Julie Bishop telah berbincang untuk mengukuhkan lagi langkah dalam menangani keganasan dan mewujudkan keselamatan negara.

Bishop berkata, kedua-dua negara itu telah berkongsi maklumat dan risikan untuk melindungi setiap warganegaranya dalam jenayah rentas sempadan tersebut.

Dalam pada itu, Wiranto dan Duta Besar Rusia di Indonesia, Mikhail Galuzin pula telah bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam memerangi keganasan alam siber.

"Terdapat kerjasama yang melibatkan perkongsian maklumat keselamatan antara kedua-dua negara. Kita akan memantau kerjasama ini untuk tindakan yang lebih konkrit," tegas Wiranto.

Pada Oktober tahun lalu, Wiranto dan Duta Besar Iran di Indonesia, Valiollah Mohammadi bertemu untuk berbincang mengenai usaha menangani keganasan.

Valiollah menegaskan, usaha menangani keganasan yang melibatkan ancaman global sepatutnya dijalankan secara kerjasama setiap negara.