Menara batu yang berdiri kukuh itu sudah wujud sejak 5,000 tahun lampau meletakkannya sebagai salah satu monumen paling mengagumkan di dunia.

Siapa sangka, binaan batu seumpama Stonehenge juga ada di rantau Timur Jauh Rusia dan ia dikenali sebagai Cape Vyatlina.

Digelar mini Stonehenge, Cape Vyatlina merupakan binaan batu yang dihasilkan di kawasan pantai.

Permukaan pantai yang berbatu menyebabkan beberapa aktivis alam sekitar mengambil keputusan untuk menghasilkan Stonehenge sendiri di situ pada tahun 2015.

Ia kemudian menjadi tradisi dan setiap kali berkunjung ke situ, pelancong tidak melepaskan peluang untuk membina sendiri Stonehenge mereka di Cape Vyatlina.

Lapor laman web Oddity Central, tradisi tersebut bermula semasa ulang tahun rantau Timur Jauh Rusia yang ke-155.

Bina monumen

Aktivis dari Vladivostok, Rusia itu membina 155 monumen dengan ketinggian 3.5 meter di sekitar kawasan pantai tersebut.

Begitu pun, ombak kuat telah memusnahkan beberapa monumen tersebut dan kini jumlah sebenar monumen batu di situ tidak dapat dipastikan.

Denis Gorbunov, pengasas projek binaan mini Stonehenge yang diberi nama Stone Towers of the City by the Sea memberitahu, dia teruja apabila idea ringkasnya untuk menyusun batu-batu pelbagai saiz di Cape Vyatlina itu bertukar menjadi sesuatu yang sungguh cantik.

“Saya dan rakan, Artem Tarasov bersama rakan-rakan lain berkumpul di Cape Vyatlina hampir setiap hari untuk projek membina semula monumen yang musnah.

“Setiap hari, kami akan membina sekurang-kurangnya tiga monumen besar di situ dan pengunjung sering merakamkan gambar monumen-monumen binaan kami.

“Tidak lama kemudian, kami nampak semakin ramai pengunjung yang mula membina monumen mereka sendiri berhampiran monumen asal binaan kami. Akhirnya menjadi satu projek binaan yang cukup mengagumkan,” jelasnya.

Selain menjadi lokasi yang cantik untuk merakam gambar, segelintir pengunjung yang datang ke Cape Vyatlina juga percaya bahawa membina menara batu itu juga boleh mengabulkan segala permintaan mereka.

Kuasa sakti

Hal ini kerana, batu-batu tersebut kononnya menyimpan kuasa sakti yang boleh menunaikan semua permintaan individu yang membinanya

Begitu pun, kebanyakan pengunjung berkata, membina menara batu di situ sebenarnya merupakan satu bentuk terapi alam yang menarik serta lain daripada yang lain.

Seorang pengunjung yang hanya dikenali sebagai Kisenia memberitahu, proses menyusun batu-batu besar di situ juga menguji kesabaran seseorang, menjadikan ia satu proses yang cukup menarik.

“Semasa berkunjung ke sana, saya terpegun melihat binaan-binaan yang ada dan ia menjadikan saya teruja untuk menghasilkan binaan sendiri.

“Pemandangan di Cape Vyatlina juga cukup mengagumkan,” tulisnya dalam salah satu foto yang dikongsi di laman sosial bergambar Instagram.

Ratusan binaan menara batu di Cape Vyatlina, rantau Timur Jauh Rusia itu menjadikan kawasan pantai tersebut cukup cantik dan wajib dikunjungi pelancong.