Dia adalah pembuat lempeng atau lebih dikenali sebagai pankek.

Begitu pun, pankek yang dihasilkan Drake bukanlah biasa-biasa, sebaliknya menyerupai sebuah lukisan.

Terkenal dengan jolokan ‘Dancakes’, lelaki tersebut cukup bijak menghasilkan pelbagai karakter kartun sebagai penkek antaranya Elsa daripada filem Frozen dan juga Joker daripada filem Batman.

Mengimbau kembali, Drake memberitahu, dia merupakan seorang pekerja biasa yang bekerja di sebuah kafe untuk meneruskan hidup.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang pelukis atau menjadi popular disebabkan oleh seni lukisan.

“Sebaliknya, semasa di bangku sekolah menengah, saya mahu bercita-cita untuk menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian dinamakan Psychedelic Psycho Nuts,” jelas Drake seperti dipetik portal Oddity Central.

Kerjaya berbeza

Begitu pun, tiada siapa menyangka jalan hidup Drake menjadi cukup berbeza apabila dia bekerja sebagai tukang masak di Courtesy Diner, St. Louis, Missouri Amerika Syarikat.

Semasa mula bekerja, Drake mempunyai masa terluang dan mula belajar cara menghasilkan pankek.

“Semasa sekolah, saya suka melukis karakter kartun dan mula membuat lukisan sama pada pankek.

“Hasilnya, ada beberapa pelanggan mula meninggalkan wang tip, membuat saya semakin bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak pankek comel,” jelasnya.

Tambah Drake, dia akan menghasilkan pankek comel lebih-lebih lagi untuk pelanggan sedang berduka.

Bertitik tolak daripada situ, Drake mula serius dalam seni penghasilan pankek dan menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk memahirkan dirinya.

Drake menghasilkan pankek dengan motif cendawan daripada animasi The Super Mario.

Laman sosial

“Pelanggan yang menerima pankek tersebut menjadi begitu teruja lalu memuat naik foto pankek tersebut di laman sosial Facebook.

“Tujuh bulan kemudian, imej tersebut mula menjadi tular dan saya diterbangkan ke New York untuk menghasilkan pankek potret manusia yang disiarkan secara langsung menerusi rancangan The Today Show,” jelas Drake.

Susulan itu, Drake mula menerima lebih banyak tawaran kerja yang baik dan kini dia mula menubuhkan syarikat pankeknya sendiri dipanggil Dancakes.

Dancakes turut melatih beberapa pembuat pankek baharu bagi memenuhi permintaan pasaran.

Selepas menubuhkan Dancakes, skil penghasilan pankek Drake juga turut berubah dan menjadi lebih mengagumkan.

Jelas Drake, dia tidak pernah menyangka akan menjadi popular dan dikenali kerana seni penghasilan pankek.

“Saya tidak pernah merancang kerjaya saya, semuanya berlaku dalam sekelip mata.

“Begitu pun, saya cukup bersyukur dan kini sedang dalam proses untuk menghasilkan kit pankek sendiri supaya individu di luar sana boleh menghasilkan sendiri pankek Dancakes di rumah,” ujarnya menutup bicara.

Dan Drake dari St. Louis berbakat besar serta menghasilkan pankek dengan karakter kartun yang menyerupai sebuah lukisan.