Terletak di kawasan tropika, iklim di Malaysia menjadi habitat kepada pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan.

Namun dalam kebanggaan kita memiliki kepelbagaian biodiversiti itu, timbul satu masalah lain melibatkan keselamatan haiwan-haiwan liar.

Pada tahun 2017, pelbagai episod malang menimpa haiwan-haiwan liar ini sehingga mencatatkan penurunan populasi akibat kemalangan.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seekor tapir Malaya seberat 100 kilogram mati dirempuh kereta di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan.

Pada tahun 2017 juga terdapat lebih empat kes kemalangan melibatkan tapir Malaya.

Selain tapir, beruang matahari dan gajah juga menerima nasib sama apabila dirempuh kenderaan di lokasi berbeza iaitu di Kilometer 347.5 di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 25 Disember lalu dan di Kilometer 59, Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak.

Risiko tinggi

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, pihaknya berasa sedih melihat kejadian maut yang melibatkan spesies haiwan ikonik dan terancam di Malaysia pada 2017.

Menurutnya, sesuatu yang penting untuk diingatkan kepada orang ramai bahawa lebuh raya atau jalan raya berhampiran habitat semula jadi hidupan liar amat berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan.

“Jika langkah berjaga-jaga tidak diambil satu kadar yang tinggi berkaitan kematian hidupan liar akan berlaku.

“Untuk mengelak lebih banyak kejadian malang ini, pemandu perlu menjadi lebih berhati-hati ketika melalui tempat haiwan liar melintas,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Dionysius berkata, dalam satu kejadian berasingan yang berlaku di Malaysia Timur, beruang matahari telah ditemui dijual di satu pasar tempatan di Kuching, Sarawak.

Jelasnya, WWF Malaysia mendesak orang awam sekali lagi untuk tidak menggunakan daging haiwan liar sebagai hidangan makanan, terutamanya semasa musim perayaan atau sesuatu pesta, dalam usaha mengekalkan kelangsungan hidupan liar yang unik ini.

“Sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah drastik untuk melindungi hidupan liar, ia mungkin pupus dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah, Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Fakhrul Hatta Musa berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi menangani masalah itu.

Menurutnya, antara langkah yang diambil oleh Perhilitan adalah bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan beberapa agensi lain bagi mengenal pasti kawasan utama yang menjadi tempat haiwan liar tersebut melintas.

“Kami sering mengadakan pemantauan di kawasan yang mempunyai rekod kes kemalangan melibatkan haiwan liar ini.

“Selain itu, Perhilitan telah memasang lebih banyak papan tanda lintasan hidupan liar di lokasi yang dikenal pasti bagi mengelakkan kemalangan membabitkan haiwan.

“Pemasangan papan tanda ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar,” jelasnya.

Tambahnya, selain papan tanda, Perhilitan juga memasang perangkap kelajuan dan mengecat warna terang di jalan-jalan berhampiran habitat hidupan liar untuk memberi amaran kepada pemandu untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Namun usaha itu tidak akan berhasil jika pemandu tiada kesedaran untuk tidak memandu secara perlahan di kawasan yang menjadi habitat hidupan liar.

Turun padang

Fakhrul Hatta menjelaskan, pihaknya juga sering turun padang mengadakan kempen kesedaran agar orang ramai prihatin dengan kehidupan haiwan liar.

Dalam pada itu, Fakhrul Hatta menjelaskan, bagi memastikan kelangsungan populasi hidupan liar seperti tapir Malaya, Perhilitan telah membiaknya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Pusat konservasi ini adalah satu cara untuk kita membiak tapir Malaya sebelum ia dilepaskan ke habitat asalnya. Melalui cara ini, ia mampu membantu kelangsungan kehidupan haiwan ini daripada terus pupus.

“Selain untuk tujuan pembiakan, pusat konservasi itu adalah merawat tapir yang mengalami kecederaan serta penempatan sementara sebelum dilepaskan ke habitat asal,” jelasnya.