Seawal jam 8.30 malam orang ramai sudah memenuhi pekarangan BCTK untuk menyaksikan pancuran meteor tersebut.

Beralaskan tikar mereka berbaring dan melihat ke langit menantikan pancuran meteor geminids.

Pelajar Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Amalina Tukiman, 24, antara salah seorang pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena yang berlaku setahun sekali itu.

Menurut Amalina yang berasal dari Shah Alam, Selangor, minat yang mendalam dalam bidang astronomi menyebabkan dia sanggup datang ke BCTK untuk melihat pancuran meteor geminids dengan mata kasar.

“Saya mula berminat melihat pancuran meteor sejak dua tahun lalu. Pada mulanya saya hanya menemani rakan mengambil gambar.

“Dari situ saya mula berminat dengan bidang astronomi dan jika ada pancuran meteor saya akan mencari lokasi yang sesuai untuk melihatnya,” jelas Amalina yang merupakan pelajar tahun lima di UPM.

Tambahnya, dia mengetahui tentang pancuran meteor geminids itu di media sosial dan untuk tidak ketinggalan menyaksikannya. Amalina sanggup datang dari UPM ke Port Dickson.

Bagi Amalina, dia berasa sangat tenang apabila melihat kejadian alam ciptaan tuhan itu.

“Duduk sambil menyaksikan langit yang terbuka luas bagi menyaksikan pancuran meteor ternyata memberi satu ketenangan buat saya. Selain memberi ketenangan ia menjadi bukti kekuasaan Allah untuk mencipta sesuatu kejadian,” katanya.

Pada masa sama, Amalina menjelaskan kedatangannya ke BCTK pada malam itu ternyata memberi satu ilmu baharu buatnya.

Di situ juga dia berpeluang untuk melihat bintang dan planet dengan menggunakan teleskop yang terdapat di BCTK.

“Petugas di BCTK juga memberi penerangan asas tentang astronomi di samping menayangkan tayangan video untuk menerangkan tentang buruj-buruj yang ada di langit,” katanya.

Objek astronomi

Selain Amalina, fenomena kejadian pancuran meteor geminids juga telah menarik perhatian Endah Widayu Dul Ngajis, 36, untuk datang ke BCTK.

Endah sanggup datang dari Larkin, Johor Bahru ke Port Dikson kerana minatnya dalam bidang astrofotografi.

Astrofotografi didefinisikan sebagai fotografi yang merakam objek-objek astronomi seperti bulan, planet dan meteor yang terdapat di langit.

Jelas Endah, minatnya dalam merakam objek-objek astronomi seperti meteor dan bimasakti bermula sejak dua tahun lalu.

“Saya berminat dengan keindahan dan misteri objek-objek di langit . Disebabkan minat, saya mula belajar tentang astrofotografi kerana melalui lensa kamera, kita dapat menikmati keindahan objek-objek di langit ini dengan lebih jelas.

“Ia bermula apabila saya mengunjungi BCTK dua tahun lalu. Melalui kunjungan itu saya diberi taklimat tentang bulan, bintang dan planet-planet yang ada di alam cakerawala.

“Pada masa sama ketika di BCTK juga saya sempat berkenalan dengan seorang petugas yang meminati bidang astrofotografi. Bermula dari situ saya mula belajar cara-cara mengambil gambar-gambar astronomi,” jelasnya yang bekerja sebagai Pegawai Hasil di Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Tambahnya, setelah mengetahui bahawa pancuran meteor geminids akan berlaku dia tidak melepaskan peluang untuk hadir ke BCTK bagi merakam gambar fenomena tersebut.

Jelas Endah, untuk merakam gambar pancuran meteor geminids bukanlah sesuatu yang mudah dan ia amat memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Adakalanya kita perlu menunggu lama untuk mendapatkan gambar yang sempurna. Cuaca juga memainkan peranan. Jika cuaca tidak mengizinkan mungkin gambar yang hendak diambil gagal dapat diperoleh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus BCTK, Muzamir Mazlan berkata, fenomena tersebut berlaku setiap tahun pada pertengahan bulan Disember. Pancuran meteor itu dapat dilihat hanya menggunakan mata kasar tanpa teleskop.

Bagi membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena itu, pencahayaan di pekarangan BCTK dan kawasan sekitar ditutup oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson supaya pancuran meteor ini dapat dilihat dengan lebih jelas tanpa pencemaran cahaya.

“Lokasi yang sesuai untuk melihat ialah di BCTK kerana kami ada kemudahan menutup semua lampu di sekitar kawasan ini. Kami juga mendapat kerjasama daripada pihak Lexis Hibiscus supaya menutup lampu limpah yang menghala ke atas,” katanya ketika ditemui.

Pelanggaran

Tambah Muzamir, pancuran meteor baru-baru ini sangat jelas kerana cahaya bulan sangat minimum disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.

Jelas Muzamir, meteor geminids ialah habuk dan debu peninggalan sebuah asteroid yang diberi nama 3200 Phaethon.

Asteroid ialah objek kecil dalam sistem suria yang mengelilingi matahari yang mempunyai saiz yang lebih kecil daripada planet.

Asteroid berasal daripada pecahan sebuah planet dan ia berada pada laluan orbitnya.

Pada masa dahulu asteroid pernah mengalami perlanggaran yang kuat. Keadaan ini menyebabkan sebahagian daripada permukaannya hancur. Lalu, ia menjadi serpihan debu dan habuk juga mempunyai laluan atau orbit.

“Apabila bumi memasuki laluan kawasan habuk dan debu bekas laluan asteroid tersebut maka menghasilkan juraian meteor yang muncul dari buruj Gemini di langit utara.

“Pancuran hujan meteor geminids akan berlaku pada bulan Disember setiap tahun apabila orbit bulan memasuki laluan habuk dan debu asteroid tersebut.

“Tahun lalu, tarikh kemuncak fenomena itu ialah pada 13 hingga 14 Disember bermula pukul 9 malam hingga 6 pagi,” jelasnya.

Pancuran hujan meteor geminids dipercayai berlaku sejak hampir 200 tahun lalu.

Cerapan pertama yang direkodkan ialah pada tahun 1833 di Sungai Mississippi di Amerika Syarikat.

Fenomena pancuran hujan meteor geminids ini amat menarik kerana orang ramai boleh melihat kemunculannya antara 100 hingga 120 kali meteor sejam bergantung kepada lokasi dan cuaca semasa cerapan dilakukan.

Pancuran hujan meteor geminids juga tidak memberi apa-apa kesan kepada bumi.

Lebih 300 pengunjung hadir ke Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson bagi menyaksikan fenomena pancuran meteor geminids yang berlaku sekali dalam setahun.