Dengan segala macam punat dan tombol, siapapun boleh pening kepala tetapi tidak bagi Dr. Hafizal Mohamad.

Beliau seolah-olah menikmati ketenangan di lokasi itu. Makmalnya di MIMOS Berhad (MIMOS), Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi tempat menumpahkan seluruh minat dan merealisasikan imaginasi futuristiknya.

Instrumen seperti penganalisis spektrum, penganalisis rangkaian, penjana signal atau alat ukur elektronik serta osiloskop menjadi sahabatnya.

“Saya seronok masuk ke makmal ini. Melakukan uji kaji dengan mesin-mesin yang berserabut ini sering mengingatkan saya kepada keseronokan bergelumang angka-angka untuk menyelesaikan soalan matematik semasa di sekolah.

“Pernah dahulu saya lebih suka bersama mesin-mesin daripada bertemu orang,” selorohnya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Pada Oktober tahun lalu, Hafizal, 41, meletakkan dirinya sebagai saintis terbaik di rantau Asia Tenggara apabila menerima Anugerah Saintis dan Pakar Teknologi Cemerlang ASEAN (ASEAN Outstanding Scientist and Technologist Award) di Nay Pyi Taw, Myanmar pada Minggu Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-10.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan tahniah kepada Hafizal menerusi akaun Twitternya.

Pihak MIMOS nyata berbangga dengan pencapaian anak kelahiran Perlis itu apabila kain pemidang ucapan tahniah kepadanya kelihatan bergantungan di institut tersebut.

“Pesaing-pesaing saya ialah saintis-saintis dari negara-negara ASEAN. Saya gembira dengan kejayaan ini tetapi saya melihat ia sebagai pengiktirafan kepada komuniti saintifik di negara ini,” katanya yang terdidik untuk merendah diri sejak kecil.

Pencipta teknologi

Hafizal secara peribadi berpendapat, Malaysia semakin berkembang baik dalam bidang sains dan teknologi manakala pesaing-pesaing rapat di Asia Tenggara ialah Singapura dan Indonesia.

Kemenangan itu membolehkan Hafizal membawa pulang wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM41,800). Tema anugerah kali ini menjurus kepada bioteknologi, mikroelektronik, teknologi maklumat serta sains dan teknologi material.

Siapa sangka, seorang kanak-kanak dari kawasan sawah padi di Kampung Jelempok, Arau yang gemar mandi di tali air itu kini menjadi seorang saintis hebat.

Berbanding dengan kebanyakan orang yang sekadar menjadi pengguna teknologi, Hafizal mahu bergelar pencipta teknologi.

Ahli bersekutu Akademi Sains Malaysia serta ahli kanan Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) Amerika Syarikat itu merupakan pegawai penyelidik kanan di MIMOS. Beliau mempunyai kepakaran dalam teknologi komunikasi wayarles atau tanpa wayar.

Hafizal dikatakan anak Melayu pertama memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama bagi jurusan kejuruteraan elektronik di Universiti Southampton, England yang diperoleh pada tahun 1998.

Beliau merupakan antara watak utama yang mencipta teknologi yang membolehkan air Tasik Chini, Pahang kini menyampaikan maklumat kepada para penyelidik di Institut Penyelidikan Tasik Chini tentang kondisi tasik itu.

Pernah terlibat dalam pembangunan teknologi WiMAX yang mempunyai keupayaan berhubung dengan rangkaian WiFi, Hafizal kini sedang berusaha untuk menjayakan projek berkonsep Internet Of Things atau Internet Objek (IoT) yang membolehkan objek-objek berkomunikasi.

“Saya mahu menjadikan objek-objek di sekeliling kita bercakap. Melalui penggunaan sensor misalnya, peti sejuk boleh memberitahu kita jika susu sudah habis atau kerusi boleh memberitahu kalau tubuh kita sudah mengalami berat badan berlebihan.

“Objek-objek ini mungkin tidak mengeluarkan suara tapi ia boleh berkomunikasi dengan manusia secara menyampaikan mesej mengenainya menerusi telefon bimbit atau signal tertentu.

“Saya sudah memulakan projek menghasilkan platform IoT ini sejak tiga tahun lalu. Untuk memudahkan gambaran, IoT ini menghubungkan dunia siber dan dunia fizikal. Perhubungan boleh terjadi sama ada sesama manusia atau manusia dengan benda.

“Saya menjangkakan komunikasi seperti ini boleh berlaku sekitar lima hingga 10 tahun akan datang. Teknologi hakikatnya bergerak semakin pantas sejak kebelakangan ini,” katanya.

Aktif

Hafizal berkata, tugas beliau seolah-olah berada di belakang tabir kecanggihan peranti.

Beliau membina program, perisian atau mencipta teknologi di sebalik sesebuah gajet yang berfungsi. Perhubungan atau connectivity bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mata.

“Saintis-saintis lazimnya bekerja secara kolaboratif. Saya misalnya melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum diserahkan kepada pihak lain untuk membina prototaip.

“Sebab itu, sesuatu kejayaan itu seharusnya dilihat sebagai kejayaan bersama,” katanya yang sudah 10 tahun berkhidmat di MIMOS.

Akuinya, beliau dahulu seorang yang pemalu, namun lama-kelamaan mula menyedari keperluan mendampingi khalayak bagi membolehkan mereka dibimbing dan minat terhadap sains subur dalam kalangan masyarakat.

Hafizal juga aktif melakukan pelbagai kajian termasuk untuk syarikat atau institut penyelidikan Jepun selain membuat penyelidikan bersama saintis dari Indonesia, Filipina serta Vietnam.

Hafizal dilahirkan daripada sebuah keluarga yang sederhana. Bapanya ialah seorang guru yang juga merupakan pesawah manakala ibunya seorang suri rumah.

Radio ibu

Sejak kecil, Hafizal menggemari subjek Matematik. Dia dianggap sebagai pakar Matematik Tambahan dalam kalangan rakan-rakan semasa bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor.

Bidang sains yang diceburinya juga cenderung ke arah Fizik yang turut membabitkan pengiraan.

“Selain meminati Matematik, saya juga mempunyai minat dalam bidang inovasi dan reka cipta. Namun, seingat saya semasa kecil tidak ada apa-apa barang yang saya cipta melainkan saya merosakkan radio ibu yang kononnya hendak dibaiki,” ujarnya tertawa.

Kerana kecemerlangannya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Universiti Southampton dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik, beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti itu tanpa mengikuti pengajian peringkat Sarjana.

Hafizal berkata, apa yang penting mengenai teknologi ialah ia perlu dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.

“Saya berasakan pada tahun-tahun mendatang apabila gaya hidup manusia menjadi lebih senang, ia turut mempengaruhi kesihatan.

“Justeru, saya amat menitikberatkan teknologi yang memberi manfaat kepada kesihatan. Bayangkan hanya dengan telefon bimbit, misalnya kita dapat mengetahui paras gula dalam darah atau berus gigi boleh mengesan jika ada bakteria tertentu yang berbahaya dan sebagainya.

“Alangkah bagusnya kalau kita dapat menggunakan teknologi untuk tujuan pencegahan penyakit. Kalau teknologi yang menyajikan kehidupan serba mudah dipersalahkan kerana menyebabkan manusia mendapat penyakit, mengapa tidak kita memanfaatkan teknologi sebagai timbal balik untuk mengatasi masalah kesihatan?” ungkapnya penuh makna.