Perasaan sedemikian terjadi pada dirinya selama kira-kira enam bulan dan Zam telah mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan Islam dalam usaha mengubati penyakit pelik yang dialaminya itu.

Bagaimanapun, pada satu hari, Zam telah melafazkan cerai dengan talak tiga terhadap isterinya, Yati (nama samaran).

Zam bagaimanapun mendakwa lafaz cerai itu dilakukannya tanpa sedar dan dia di bawah pengaruh sihir ketika kejadian.

Lelaki itu kemudian menfailkan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah dan memohon mahkamah mengambil kira unsur sihir semasa kejadian lafaz tersebut.

Semasa perbicaraan, dua orang pengamal perubatan Islam yang merawat Zam telah dipanggil sebagai saksi dan mereka telah memberi keterangan di mahkamah bahawa Zam terkena sihir pemisah yang dilakukan oleh seorang wanita yang menyukainya.

Disebabkan sihir berkenaan, Zam berasa benci terhadap isterinya sehingga dia tanpa sedar telah melafazkan cerai dengan talak tiga.

Hakim syarie kemudian memutuskan lafaz cerai dengan talak tiga yang dizahirkan oleh Zam adalah tidak sah dan tidak jatuh talak kerana tidak ada qasad atau niat ketika lelaki itu melafaskan cerai berkenaan.

Ilmu dan amalan sihir merupakan antara ilmu dan amalan yang tertua di dunia melibatkan penggunaan khidmat jin serta syaitan dan diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu.

Ia sering digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh.

Bukti

Maka tidak hairanlah jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam usaha untuk memisahkan hubungan antara suami dan isteri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, di negara ini, isu penggunaan ilmu sihir bagi mencerai-beraikan pasangan suami isteri pernah dibangkitkan dalam beberapa kes dalam Mahkamah Syariah termasuk kes yang pernah dikendalikannya sendiri.

Bagaimanapun, jelas Musa, elemen pembuktian merupakan masalah yang paling utama ketika perbicaraan sesuatu kes yang mempunyai kaitan dengan sihir.

Tambahnya, ini adalah disebabkan sihir menggunakan makhluk halus seperti jin dan syaitan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

“Kesukaran membuktikan sihir ini sebenarnya berlaku pada dua peringkat. Peringkat pertama ialah bagi membuktikan wujudnya unsur sihir di dalam sesuatu kes.

“Peringkat kedua ialah membuktikan seseorang itu benar-benar terkena sihir dan bukannya mengalami masalah lain seperti masalah kesihatan, misalnya menghidap penyakit mental hingga sering mendengar bisikan di telinga dan berhalusinasi dengan melihat lembaga,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi membuktikan wujudnya unsur sihir pada seseorang di mahkamah, peguam syarie akan memanggil pengamal perubatan Islam sebagai saksi.

“Namun, masalahnya kini ialah tiada badan atau institusi yang mengiktiraf seseorang pengamal perubatan Islam itu merupakan seorang yang pakar berkaitan sihir.

“Ini menyebabkan peguam syarie mengambil masa yang lama di mahkamah hanya untuk membina kredibiliti pengamal perubatan Islam yang dipanggil menjadi saksi,” katanya.

Institusi khas

Musa berkata, jalan terbaik bagi menangani masalah kebolehpercayaan pakar perubatan Islam yang dipanggil menjadi saksi ialah mewujudkan satu badan atau institusi khas yang dianggotai oleh ulama, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pengamal perubatan Islam, doktor, peguam syarie dan sivil serta wakil masyarakat.

Jelasnya, badan ini diberi tanggungjawab untuk memperakukan seseorang pengamal Islam yang pakar tentang amalan sihir dan kesannya.

“Badan ini berfungsi sama seperti Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) yang memberi pengiktirafan kepada kaunselor atau Persatuan Doktor-doktor Perubatan Malaysia (MMA) yang memperakui seseorang doktor.

“Dengan wujudnya perakuan daripada badan ini, pakar-pakar perubatan Islam terbabit tidak disoal balas dan tidak tertakluk kepada prosedur rumit pembuktian di mahkamah. Sehubungan itu, mereka dapat membantu mahkamah membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan menjelaskan, cabaran terbesar berkaitan isu sihir ialah ketiadaan sebarang peruntukan khusus untuk mentakrifkan apa itu sihir, apa elemen-elemennya serta bagaimana kaedah pembuktiannya di mahkamah.

“Keadaan ini menyebabkan usaha untuk membawa isu sihir dan pembuktiannya menjadi samar-samar dan rujukan perlu dibuat kepada undang-undang sedia ada untuk disesuaikan pemakaiannya bagi membolehkan ia dikemukakan di mahkamah.

“Jika seseorang saksi dipanggil untuk memberi keterangan, saksi itu hendaklah berpengetahuan mengenai perkara itu seperti diperuntukkan oleh Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di setiap negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, walaupun sihir dianggap perkara ghaib, namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan bahan-bahan yang boleh menjadi bukti di mahkamah.

“Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) dan bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).

“Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah tengkorak, abu mayat, simpulan kain, kaca, paku, benang, jarum, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.

“Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala,” katanya.

Forensik

Jelasnya lagi, kemajuan dalam teknologi penyiasatan terutama bidang forensik dan Crime Scene Investigation (CSI) juga boleh digunakan sebagai keterangan dalam pembuktian wujudnya unsur sihir selain mengesan penjenayah sihir.

“Qarinah atau petanda seperti rambut yang mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) mangsa yang ditemui di tempat sihir boleh menjadikan bukti seseorang cuba menyihirnya, manakala cap jari pada alatan sihir seperti gambar mangsa boleh mengenal pasti siapa dalangnya.

“Pihak forensik juga boleh menentukan jenis sihir yang digunakan dengan mendapatkan pendapat pakar seperti pengamal perubatan Islam selain bahan bukti yang ditemui bagi tujuan pembuktian di mahkamah,” katanya.

Tambah Mahyuddin, negara ini sebenarnya mempunyai individu yang boleh dijadikan rujukan dalam pengendalian kes-kes sihir.

“Cuma yang menjadi penghalang ialah ketiadaan satu badan atau institusi yang boleh menyenaraikan kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang untuk diiktiraf sebagai pakar sihir,” katanya.

Dalam pada itu, Musa menegaskan, tukang sihir juga boleh dianggap sebagai pembunuh upahan atau penceroboh seperti dalam kes jenayah biasa.

“Pengamal sihir akan didakwa bersama-sama kerana bersubahat dalam jenayah. Bahan bukti juga boleh menyatakan niat mereka yang menyantau sama ada untuk membunuh atau sekadar mencederakan,” kata penulis buku Ahli Sihir Ke Tali Gantung itu.