Kesukaran dan rintangan hidup orang Cina yang mencuba nasib di perantauan dipamerkan di Muzium Cina Malaysia, Wisma Huazong, Seri Kembangan, Selangor.

Mereka datang dengan mempertaruhkan nyawa dan tulang empat kerat kerana tidak semua berjaya mencapai cita-cita apabila dihimpit kebuluran dan penipuan daripada ejen pekerja.

Kedatangan mereka telah mencipta sejarah baharu bangsa Malaysia, sekali gus menjadi sebahagian daripada rakyat negara ini.

“Saya sangat terharu dan bertuah kerana dapat melihat sejarah perjalanan datuk nenek moyang saya di Muzium Cina Malaysia.

“Sejarah orang terdahulu dan kesukaran mereka membina kehidupan baharu di tempat orang menjadi iktibar kepada orang ramai.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada generasi terdahulu kerana kesenangan hari ini adalah hasil kerja keras mereka,” kata Ng Yu Quan, 17, ketika ditemui K2 di Muzium Cina Malaysia baru-baru ini.

Yu Quan yang pertama kali menjejakkan kaki ke muzium itu sangat tertarik dengan susun atur artifak sejarah, patung replika manusia yang melakukan pelbagai aktiviti seharian seolah-olah menceritakan mengenai sejarah silam masyarakat Cina.

Menarik

Jelas pelajar Sekolah Menengah Sungai Pelek, Sungai Pelek, Selangor itu, bahagian yang paling menarik perhatiannya ialah zon Zaman Jepun.

“Kita dapat melihat kezaliman tentera Jepun ke atas penduduk Malaya (Malaysia) pada ketika itu termasuklah orang Cina.

“Replika patung tentera Jepun itu sungguh mengerikan. Saya terbayangkan perasaan dan kesukaran orang di zaman tersebut,” tutur anak sulung daripada dua beradik itu.

Dalam pada itu, pengalaman menjejakkan kaki ke muzium tersebut turut dikongsi oleh Amy Chua, 23, yang sangat teruja melihat sejarah kedatangan orang-orang Cina di negara ini.

“Jika kita ingin melihat sejarah dengan lebih luas maka, muzium adalah tempat terbaik kerana tidak semua dimuatkan ke dalam buku sejarah,” tutur anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Cerita Amy lagi, minat terhadap sejarah diwarisi daripada ibunya yang gemar melawat muzium di pelbagai lokasi.

Dia mengetahui mengenai muzium tersebut ketika membuat carian di Google.

Sementara itu, Kurator Muzium Cina Malaysia, Lim Kah Hoe memberitahu, muzium tersebut yang beroperasi secara rasmi pada 1 Mei 2018 mempunyai lebih 1,000 barang bersejarah untuk tatapan para pengunjung.

“Kerja pembinaan muzium dan membangunkan konsep telah bermula sejak tahun 2011 yang diilhamkan oleh Presiden Muzium Malaysia, Tan Sri Ng Teck Fong dan merupakan inisiatif Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong).

“Ia mempunyai ruang pameran seluas 980 meter persegi yang membentangkan sejarah penghijrahan orang Cina dalam tempoh masa berlainan,” jelas anak jati Kuala Lumpur itu.

Kisah penghijrahan orang Cina itu dipamerkan menerusi gabungan teks, grafik, pembinaan semula adegan bersejarah, karya seni serta multimedia.

Tambahnya, ruang pameran itu dibahagikan kepada 16 zon seperti Pelayaran dan Pendaratan Di Semenanjung Asia Tenggara, Perusahaan dan Pekerjaan, Kebangkitan Penentangan Jepun, Warisan dan Kebudayaan serta Kesenian Masyarakat Cina.

“Tujuan utama muzium ini ditubuhkan adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat Malaysia menerusi koleksi, persembahan, penyelidikan dan interaksi dalam bidang sejarah serta budaya.

“Ia juga menunjukkan semangat keharmonian orang Cina bersama dengan kaum Melayu, India dan lain-lain,” ujarnya.

Buruh

Menurut beliau, kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu secara besar-besaran berlaku selepas tahun 1840 ekoran pergolakan politik, peperangan dan kebuluran di negara China.

“Pada masa yang sama, kerajaan British pada ketika itu membawa masuk buruh dari China untuk memenuhi kekurangan buruh dalam mengeksploitasi sumber-sumber alam seperti timah dan getah di kawasan tanah jajahannya.

“Kawasan biji timah pada ketika itu ialah Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur,” tutur anak sulung daripada dua beradik itu.

Namun, segelintir sahaja yang kaya-raya dan kembali ke China sebaliknya, kebanyakan yang lain memilih untuk menetap di Tanah Melayu.

Sebenarnya, penghijrahan orang-orang Cina ke luar negara telah berlaku sejak abad ke-7 hingga ke-13 Masihi semasa zaman Dinasti Tang dan Song di China.

Pada abad ke-15 Masihi pula, Laksamana Cheng Ho telah membuat pelayaran ke Lautan Barat yang membuka lembaran sejarah penghijrahan orang-orang Cina ke luar negara.

Bercerita lanjut mengenai muzium, Kah Hoe berkata, pihaknya mengaplikasikan teknologi augmentasi realiti (AR) yang menjadi daya penarik kepada pengunjung.

“Terlebih dulu pengunjung perlu memuat turun aplikasi e-intro untuk menikmati teknologi tersebut sepanjang pengembaraan di muzium ini.

“Aplikasi ini membolehkan anda menyaksikan video menerusi imbasan pada gambar pegun malah pengunjung juga dapat bergambar bersama Laksamana Cheng Ho di atas kapalnya,” ulasnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sejarah (Arkeologi), Universiti Peking, Beijing.

Di samping itu, muzium tersebut mempunyai miniatur yang dihasilkan dengan sangat teliti bagi menggambarkan kehidupan harmoni berbilang kaum di negara ini.

Tuturnya lagi, sejak dibuka setahun yang lalu, muzium tersebut telah menerima pengunjung seramai 30,000 orang dari dalam dan luar negara.

Muzium Cina Malaysia juga menjadi tempat rujukan pelajar insititusi pengajian tinggi dalam menyiapkan kajian mereka.

Kesungguhan pihak muzium dalam mendokumentasikan sejarah Cina menerusi buku Koleksi Sejarah Muzium Cina Malaysia telah menerima Anugerah Telenovela 2016 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara.

Kah Hoe memberitahu, barang-barang antik dan bersejarah itu telah dikumpul dari seluruh negeri di Malaysia malah pihaknya juga pergi ke Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Presiden muzium juga turut menyumbangkan koleksi peribadi beliau, begitu juga pemberian pengunjung dan orang ramai yang bermurah hati,” ujarnya yang telah berkhidmat sejak tahun 2016 di Muzium Cina Malaysia.