Begitupun, ketika remaja dia pernah menjalani terapi penggantian hormon testosteron selama hampir tiga tahun melalui pengambilan ubat-ubatan kerana tahap hormonnya berada di bawah paras normal.

Dalam hal ini, testosteron merupakan hormon penting lelaki kerana ia diperlukan untuk pembentukan perwatakan lelaki seperti perkembangan genital, kelenjar prostat, otot, pertumbuhan bulu seperti janggut dan bulu pada bahagian tubuh yang lain.

Berlainan pula dengan seorang pesara yang ingin dikenali sebagai Jim yang didiagnosis sebagai pesakit osteoporosis pada tahun 2000 ketika berumur 47 tahun.

Bekas akauntan bertubuh gempal itu mengalami retak pada buku lali akibat tergelincir ketika melakukan senaman treadmil di gimnasium.

Sepanjang hidupnya, Jim mengakui jarang melakukan kegiatan luar. Dia hanya mengetahui mengalami masalah tulang rapuh selepas insiden tersebut.

Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma, Pusat Perubatan Tropicana, Datuk Dr. Joseph Yap Chong Kiat berkata, osteoporosis merupakan satu keadaan kekuatan dan kepadatan tulang berkurang yang lazimnya berlaku seiring peningkatan usia.

“Kebanyakan orang memahami masalah itu lebih ketara dalam kalangan wanita. Namun, ia boleh juga berlaku kepada lelaki tetapi risikonya lebih rendah kerana kepadatan dan ketebalan tulang lelaki lebih tinggi daripada wanita.

“Jika kita melihat kadar kemerosotan tulang antara lelaki dan wanita, kedua-duanya akan menunjukkan pola menurun tetapi secara am tulang lelaki tetap akan melebihi wanita dari segi jisim,” ujarnya kepada Kosmo! di pejabatnya di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Hormon

Masalah kekurangan testosteron boleh menjadi satu daripada faktor penyebab osteoporosis. Tetapi risiko itu tidak begitu ketara seperti kekurangan hormon estrogen pada wanita. Mengikut nisbah, daripada lima pesakit hanya seorang daripadanya adalah lelaki.

Selain faktor usia, terdapat penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang, penyakit hati, penyakit berkaitan hormon seperti hipotiroidisme atau terlebih hormon tiroid boleh menyebabkan seseorang lelaki kurang jisim kepadatan tulang.

“Biasanya tulang yang terlibat ialah tulang pergelangan tangan, bahagian tulang belakang dan tahap yang agak serius apabila pesakit mengalami keretakan pada tulang pinggul.

Pengambilan ubat-ubat tertentu turut boleh menjadi punca masalah itu. Contohnya, jika seseorang itu menghidap asma atau penyakit kulit, penggunaan ubat steroid dipanggil kortigosteroid dalam tempoh yang lama berkemungkinan menyebabkan osteoporosis.

“Ada sesetengah ubat pencair darah serta ubat antikanser tertentu yang turut boleh menjadi punca osteoporosis. Ini semua kita boleh kata faktor yang sukar dielakkan,” katanya.

Pembedahan

Memandangkan osteoporosis lebih dominan dalam kalangan kaum Hawa, tidak semua ubat osteoporosis yang digunakan untuk merawat wanita boleh diberi kepada pesakit lelaki.

“Bukan semua jenis ubat berkesan untuk lelaki. Contohnya, Raloxifene hanya sesuai untuk wanita kerana ia bertindak mengikut laluan estrogen dan tiada kena mengena dengan testosteron.

“Tetapi semua ubat yang boleh digunakan untuk lelaki seperti bisfosfonat dan teriparatod sesuai kepada pesakit wanita,” jelasnya.

Dalam situasi tertentu, apabila berlakunya keretakan tulang pinggul pesakit perlu menjalani pembedahan bagi membantu pemulihan. Misalnya, prosedur menukar kepala pinggul yang patah dengan besi.

“Risiko semasa dan selepas pembedahan boleh menyebabkan kematian dengan kadar menghampiri 20 peratus.

“Ia boleh jadi berbahaya apabila berlaku pendarahan yang mengakibatkan darah tersekat. Deep vein thrombosis (DVT) misalnya menyebabkan aliran darah boleh bergerak masuk ke paru-paru dan boleh meningkatkan risiko pesakit menemui ajal ketika pembedahan,” tuturnya.

Selepas dibedah, pesakit tidak boleh banyak bergerak dan terlantar lama. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi DVT beberapa minggu atau beberapa bulan selepas pembedahan.

Sementara itu, Konsultan Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Klang, Dr. Anbanandan Subramaniam menjelaskan, masalah osteoporosis biasanya tidak menunjukkan simptom awal.

“Ia adalah penyakit senyap kerana pesakit tidak akan berasa sakit, tetapi jika terjatuh walaupun pada trauma yang minor seperti posisi berjalan boleh mendapat keretakan kerana keadaan tulang yang rapuh.

Sehubungan itu, ujian awal menggunakan mesin Dual energy X-Ray absorpitometry (DEXA) boleh dilakukan sebagai saringan awal. Ia memberi bacaan yang jitu mengenai jisim tulang seseorang.

“Bagi doktor berpengalaman, keadaan tulang rapuh turut boleh dilihat melalui ujian sinar X. Ia dapat dikenal pasti dengan melihat keadaan tulang yang tidak normal. Selain itu, warna tulang yang rapuh tidak begitu terang berbanding tulang yang sihat,” katanya.

Gaya hidup

Berdasarkan pengalaman, gaya hidup tidak aktif dan situasi pekerjaan seperti duduk dalam tempoh yang lama boleh meningkatkan kemungkinan osteoporosis. Justeru adalah penting membentuk kekuatan tulang sejak usia muda.

“Badan memerlukan stimulasi seperti berjalan, berlari, melompat, mengangkat beban sekali gus membentuk kekuatan tulang.

“Seseorang yang terlibat kemalangan sehingga mengakibatkan tulang retak atau patah sehingga sukar bergerak. Jika diperhatikan lebih lama dia terlantar di wad, kepadatan tulangnya akan berkurangan,” jelasnya.

Pendedahan kepada cahaya matahari penting untuk membantu penyerapan kalsium dengan keperluan kalsium tubuh paling kurang 1,000 miligram (mg) sehari.

“Ia boleh didapati dalam diet seharian seperti susu, daging dan ikan. Pesakit disyorkan mengambil suplemen yang antara 500 hingga 600mg kalsium kerana keperluan kalsium selebihnya diandaikan sudah terdapat dalam makanan,” katanya.

Masalah kerapuhan tulang atau osteoporosis boleh menyerang kaum lelaki secara senyap seiring dengan peningkatan usia.