Antara entiti ghaib dalam masyarakat Maluku khususnya yang tinggal di Pulau Seram ialah Orang Bati. Mereka begitu takut terhadap makhluk berwarna merah itu yang digambarkan wujud dalam bentuk separa manusia yang mengerikan serta memiliki sayap.

Kerana kepercayaan itu, masyarakat Maluku sebolehnya cuba mengelak daripada menyebut atau mendengar nama makhluk itu kerana mendakwa ia seolah-olah memanggilnya datang dan boleh memberi ancaman menakutkan.

Orang Bati ditakuti kerana makhluk tersebut didakwa kononnya gemar menjadikan manusia sebagai mangsa termasuk kanak-kanak untuk dimakan.

Walaupun kewujudan Orang Bati belum pernah didedahkan secara rea­liti, namun masyarakat setempat masih percaya tentang wujudnya makhluk tersebut dalam kehidupan mereka.

Menurut cakap-cakap masyarakat, Orang Bati digambarkan sebagai satu makhluk separa manusia berwarna merah yang mirip seperti darah.

Ia juga mempunyai sayap seperti ke­lawar yang sangat besar serta memiliki ekor kecil yang panjang dan hujungnya runcing.

Terdapat juga yang mengatakan bahawa rupa Orang Bati itu tidak ubah seperti seekor kera yang sangat besar dan didakwa tinggal di kawasan pergunungan.

Makan manusia

Orang Bati hanya akan keluar saat tenggelamnya matahari dan akan terbang ke kawasan perkampungan untuk mencari mangsa dalam kalangan manusia.

Perkara yang menyeramkan tentang Orang Bati bukan sahaja terletak pada bentuk fizikalnya, tetapi juga tentang sifatnya yang gemar menjadikan manusia sebagai makanan.

Masyarakat Maluku sangat takutkan Orang Bati kerana makhluk tersebut sering memburu manusia untuk dijadikan santapan, malah dikatakan ia sangat menggemari daging kanak-kanak.

“Anak-anak kecil selalunya ditegah untuk keluar pada waktu malam dan akan dikurung di dalam rumah supaya tidak ditangkap oleh Orang Bati,” kata salah seorang penduduk Pulau Seram.

Cara Orang Bati berburu dikatakan sama seperti cara seekor burung he­lang menangkap mangsanya. Orang Bati yang memiliki sayap besar akan menyambar mangsanya dengan pantas tanpa disedari dan akan membaham­nya di kawasan pergunungan.

Kekuatan yang dimiliki oleh Orang Bati membuatkan sesiapa sahaja tidak mampu untuk melawannya kecuali mereka yang terserempak dengan makhluk itu melarikan diri atau bersembunyi.

Saksi

Dikatakan juga, Orang Bati memiliki suara yang sungguh nyaring sehingga membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar pekikannya akan menjadi lemah sehingga tidak berupaya untuk menyelamatkan diri.

Oleh sebab itu, ramai yang percaya Orang Bati tidak pernah ditangkap sehingga ke hari ini gara-gara kekuatan dan kekuasaan yang dimilikinya.

Menurut penduduk Pulau Seram, terdapat dalam kalangan mereka mendakwa pernah terserempak de­ngan Orang Bati dan bentuknya sama seperti yang diceritakan.

Dalam ramai saksi, salah seorangnya adalah Tyson Hughes yang merupakan seorang paderi terkenal di Pulau Seram suatu ketika dahulu.

Hughes pada mulanya tidak begitu percaya tentang kewujudan Orang Bati seperti yang sering diceritakan oleh penduduk dan hanya menganggap ia sebagai cerita dongeng.

Sehinggalah pada suatu malam, Hughes secara tidak sengaja telah melihat makhluk itu terbang di atas kepalanya ketika sedang dalam perjalanan pulang berjalan kaki ke rumah.

“Hal ini memang sukar untuk dipercayai, namun saya sendiri sudah menyaksikan Orang Bati,” ujar Hughes.

Masyarakat Maluku terutamanya di Pulau Seram percaya terhadap kewujudan makhluk separa manusia yang memiliki sayap besar dan akan memburu manusia untuk dijadikan makanan.