Setelah menghabiskan masa lebih daripada tiga dekad dengan memasak di kawasan dapur konsep terbuka di restorannya, seorang warga emas yang juga tukang masak dari Thailand kini boleh berbangga kerana telah menerima bintang Michelin baru-baru ini.

Supinya Jansuta atau lebih dikenali dengan nama Jay Fai adalah antara 17 orang cef yang berpangkalan di Bangkok diberi penghormatan daripada pihak organisasi Michelin dalam satu buku panduan masakan bagi negara Gajah Putih iaitu The Michelin Guide.

Warga emas berusia 73 tahun itu, sering menggunakan pelbagai peralatan kuali dalam masakannya dan tidak lupa untuk memakai kaca mata khas ketika memasak pelbagai menu masakan bertaraf antarabangsa.

Jay Fai seperti juga nama pada restorannya yang terletak di Thip Samai, Samran Rat, Bangkok sering dipaparkan dalam panduan perjalanan pelancong asing. Namun, kebanyakan penduduk tempatan menjauhi restoran itu disebabkan harganya sangat mahal walaupun ia dianggap sebagai makanan tempatan yang sangat murah dalam kalangan pelancong.

Menurut pengarah majalah mingguan BK, Oliver Irvine, warga emas itu sememangnya layak untuk menerima bintang Michelin berkenaan, malah penghormatan berkenaan merupakan pengiktirafan pertama bagi tukang masak dari jalanan di Thailand.

Katanya, beberapa pegawai kesihatan juga telah datang ke restoran Jay Fai bagi memeriksa kualiti makanannya. Ternyata dia banyak menggunakan makanan laut segar dan bahan-bahan utama lain yang terbaik dalam masakan.

Harga

“Ramai orang tempatan beranggapan bahawa restoran ini sangat mahal kerana menyamai harga makanan di restoran dalam hotel.

“Begitupun, para pengunjung akan menghabiskan sekitar 800 hingga 1,000 baht (RM99.40 hingga RM122.30) untuk merasai omelet ketam Jay Fai yang terkenal itu. Malah, makanan itu sukar diperoleh di restoran jalanan lain.

“Hal ini, kerana jika anda memotong dan memecahkan isi kulit ketam itu, anda akan dapat menikmati kesegaran seekor ketam yang baik dari seluruh bandar itu,” katanya yang juga seorang pengkritik makanan yang berpangkalan di Bangkok.

Sejak 1926, terma bintang satu hingga tiga digunakan oleh Michelin dalam penentuan tahap kesedapan makanan serta servis yang baik sama ada di gerai, restoran mahupun hotel.

Walaupun syarikat Michelin sudah cukup terkenal dalam industri pembuatan tayar, namun setiap tahun, Michelin akan mengeluarkan buka panduan bagi tukang masak atau cef seluruh dunia. Mereka yang menghasilkan makanan yang sedap dan berkualiti akan diberi bintang Michelin sebagai pengiktirafan.

Bagi mendapatkan tiga bintang Michelin sudah semestinya menjadi impian bagi kebanyakan cef, malah panduan ini menjadi rujukan penting dalam industri makanan, cef-cef dan restoran ternama seluruh dunia.

Bintang Michelin turut menjadi penentu masa depan sesebuah restoran, impak kehilangannya pasti sangat dirasai.

Dalam satu kejadian, pada tahun 2003, seorang cef dari Perancis, Bernard Louiseau menembak dirinya sendiri apabila tersebarnya desas-desus penarikan tiga bintang Michelin restorannya.

Bagaimanapun, Jay Fai adalah satu-satunya restoran di Bangkok yang telah disenaraikan di bawah klasifikasi makanan jalanan terbaik dan menerima satu bintang Michelin.

“Jay Fai adalah tempat di mana pemandu teksi dan penggemar makanan akan menghabiskan masa mereka, ia sangat mudah untuk dinilai dan dilihat tahap kualiti restoran ini,” kata salah seorang petugas The Michelin Guide. Dia mengunjungi Jay Fai sebagai tetamu tanpa mengenalkan dirinya bagi mendapatkan maklum balas yang jujur dan tepat.

Jay Fai juga merupakan salah satu dari 14 restoran di Bangkok yang telah menerima satu bintang Michelin.

Sementara itu, restoran yang dianugerahkan dua bintang cuma The Indian Restaurant Gaggan, French Venue Le Normandie dan European Establishment Mezzaluna, namun tiada satu pun restoran yang menerima bintang tertinggi iaitu tiga bintang.

Mengikut jejak langkah beberapa negara Asia yang lain, pihak kerajaan Thailand telah memperuntukkan sekitar AS$4.1 juta (RM16.05 juta) pada tahun lepas untuk pengiktirafan The Michelin Guide ke atas beberapa buah restoran.

Penghormatan

Penghormatan yang diterima Jay Fai hadir di tengah-tengah tempoh sukar bagi peniaga makanan jalanan di Bangkok. Para pegawai bandar, disokong oleh kerajaan tentera, berusaha untuk melapangkan jalan raya dengan cuba memindahkan para peniaga ke pusat-pusat penjaja seperti di Singapura.

Peniaga makanan jalanan di Thailand kebanyakannya memasak di tempat terbuka terutamanya di hadapan restoran masing-masing.

Antara lokasi popular makanan jalanan dalam kalangan pelancong ialah di Thip Samai, Samran Rat, Thailand.

Namun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, para pegawai tentera di negara tersebut telah mengarahkan anggotanya untuk menutup beberapa restoran makanan jalanan ini.

Hal ini dilihat sebagai gangguan kepada para peniaga makanan, malah para peniaga turut diberi amaran untuk sentiasa membersihkan tapak perniagaan mereka.

Michelin dalam suatu kenyataannya berkata, The Michelin Guide itu dijalankan secara bebas tanpa melibatkan mana-mana pihak berkepentingan yang dilakukan para petugasnya.

Anugerah itu sangat dialu-alukan oleh para peniaga makanan jalanan di Bangkok meskipun Jay Fai sendiri mengaku tidak begitu mengetahui syarikat di sebalik anugerah berkenaan.

“Sebelum ini, saya memang mengetahui nama Michelin tetapi saya tidak tahu ia ada kena-mengena dengan masakan.

“Saya tidak pernah menyangka Michelin berminat terhadap individu seperti saya yang selama ini belajar ilmu masakan sendiri dan hanya bermula sebagai pembasuh pinggan.

“Saya ingatkan anugerah ini hanya untuk cef di hotel-hotel besar atau dilatih oleh cef pakar. Namun, ia ternyata mengejutkan saya,” katanya yang dibesarkan di tengah-tengah bandar raya Bangkok.

Begitupun, Jay Fai tetap mempersoalkannya mengapa terlalu lama untuk dia mendapat penghormatan itu dalam kerjayanya.

“Saya telah memasak selama 30 hingga ke 40 tahun, jadi saya tidak tahu mengapa saya menerimanya sekarang, namun saya masih gembira kerana mereka mula mengenali saya sebagai tukang masak yang berasal dari Thailand.

“Saya berharap akan lebih banyak tukang masak Thailand memegang penghormatan Michelin ini pada masa hadapan,” tambah Jay Fai yang turut berterima kasih dengan semua pelanggannya.

Dalam pada itu, bagi pelakon dan juga model terkenal Thailand, Prin Suparat, memberitahu, Bangkok sememangnya sebuah kota yang terkenal dengan makanan jalanannya.

Katanya, para peniaga makanan akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan menjual pelbagai hidangan seperti mi Thailand sehinggalah hidangan sup tomyam yang pedas dan berlemak.

“Kebanyakan kedai makan jalanan ini berfungsi sebagai pusat makanan gastronomi untuk penduduk tempatan yang berpendapatan sederhana.

“Pada masa sama, ia juga menarik para pelancong yang ingin merasai keunikan makanan-makanan ini,” katanya juga yang menggemari masakan Jay Fai.