Ali terselamat daripada kejadian alam yang mengerikan apabila pasukan penyelamat mendengar tangisannya.

Pasukan penyelamat terpaksa mengalihkan kayu dan runtuhan lain kerana kereta tersebut terperangkap di bawah pokok yang tumbang akibat dibadai tsunami.

Walaupun terperangkap selama lebih 12 jam di dalam kereta itu, nasib kanak-kanak itu baik apabila dia tidak menjadi sebahagian daripada korban tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia.

22 Disember lalu sekitar pukul 9.30 malam waktu tempatan, beratus-ratus bangunan musnah selepas ombak besar membadai kawasan pesisir pantai di selatan Sumatera dan Pulau Jawa selepas gunung berapi Anak Krakatau meletus.

Jurucakap Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Sutopo Purwo Nugroho menjelaskan, tsunami itu berlaku mungkin berpunca daripada gelombang ombak abnormal susulan fasa anak bulan dan tanah runtuh di bawah laut disebabkan letusan Anak Krakatau yang membentuk sebuah pulau kecil di Selat Sunda.

“Gabungan faktor ini menyebabkan satu tsunami tiba-tiba terbentuk dan melanda pesisir pantai,” kata Nugroho.

Ombak tsunami itu telah menenggelamkan sebahagian besar kawasan pantai di sekitar Selat Sunda dan kawasan yang paling terjejas ialah daerah Pandeglang di barat Pulau Jawa.

Agensi berita AFP melaporkan, peristiwa di luar dugaan berserta sistem amaran awal yang tidak sempurna menjadi punca hampir 400 orang terkorban dalam tragedi tersebut.

Ombak pembunuh itu melanda pantai tumpuan pelancong dan penempatan di kawasan rendah secara mengejut di kedua-dua bahagian di Selat Sunda malam Sabtu lalu ketika penduduk tidak bersedia.

Dalam beberapa mesej Twitter yang kemudiannya dipadamkan dan diganti dengan permohonan maaf, Basarnas memaklumkan ‘tiada ancaman tsunami’ walaupun ketika ombak besar melanda beberapa kawasan di selatan Pulau Sumatera dan barat Pulau Jawa.

“Ketiadaan sistem amaran awal menjadi punca tsunami ini gagal dikesan. Petanda ombak tsunami muncul gagal dikesan dan orang ramai tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan diri,” kata Nugroho.

Anak Krakatau adalah sebuah gunung berapi yang muncul dari dasar laut kira-kira 91 tahun lalu selepas letupan besar gunung berapi Krakatau.

Paling aktif

Pada 27 Ogos 1883, pulau gunung berapi kecil Krakatau yang terletak di Selat Sunda iaitu antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera telah meletus.

Letusan itu menjadi sejarah dan telah mengubah corak cuaca di seluruh dunia selama bertahun-tahun.

Letusan pada waktu itu telah mengorbankan lebih 37,000 nyawa.

Indonesia tetap menjadi salah satu kawasan yang paling aktif secara tektonik di bumi dan negara ini mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Kebanyakan kepulauan di negara itu terbentuk oleh peralihan tiga plat benua yang besar sekali gus menyebabkan pulau-pulau muncul dari dasar lautan.

Anak Krakatau naik ke permukaan pada tahun 1927 setelah kaldera atau fitur vulkanik yang terbentuk dari jatuhnya tanah setelah letusan berlaku.

Ia meningkat kepada ketinggian lebih kurang semasanya 300 meter di atas paras laut akibat aliran lava.

Anak Krakatau telah diperhatikan sejak letusan yang berlaku selama sedekad yang lalu dan gunung berapi itu sangat aktif sejak enam bulan lalu.

Letusan yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan sebahagian daripada gunung berapi runtuh ke laut serta berkemungkinan tanah runtuh turut berlaku di bawah air sekaligus telah mencetuskan tsunami.

Kajian

Para saintis telah memberi amaran selama bertahun-tahun kemungkinan kejadian tsunami seperti itu akan berlaku.

Tetapi sistem amaran utama di Indonesia direka untuk mengesan gempa bumi dan bukannya anjakan akibat gunung berapi.

Pada tahun 2012, ahli sains di Persatuan Geological London telah mengkaji tsunami yang berlaku disebabkan oleh gunung berapi tersebut.

Mereka menyatakan, gunung berapi Krakatau menerangkan bahawa titik tsunami boleh terhasil akibat letupan gunung berapi dan ketidakstabilannya akan meninggalkan kesan yang berbahaya.

Pada Ogos tahun 1883 letusan selama beberapa hari telah berlaku termasuk empat letupan besar pada tanggal 27 Ogos.

Letusan gunung berapi Krakatau telah mencetuskan tsunami di kawasan sekitar dan telah menghancurkan lebih daripada 150 kampung pesisir pantai dan telah menyebabkan lebih 37,000 maut.

Kekuatan letusan gunung berapi itu pada tahun 1883 dilaporkan 10,000 kali lebih kuat daripada letupan bom atom yang jatuh di Hiroshima, Jepun semasa perang dunia kedua.

Letusan itu juga telah menghanyutkan batu karang seberat ratusan tan ke kawasan pesisir pantai.

Selain itu, letusan itu juga telah mengakibatkan abu gunung berapi menghiasi atmosfera sekali gus menurunkan suhu global lebih satu darjah Celsius untuk tahun berikutnya.

Abu yang berada di atmosfera itu telah berterbangan sejauh 27 kilometer ke udara dan mempengaruhi corak cuaca di seluruh dunia selama bertahun-tahun.

Luar biasa

Kawasan sekitar turut terjejas dan berada dalam kegelapan untuk beberapa hari.

Beberapa bulan kemudian kesan abu gunung berapi Krakatau yang meletus itu juga kelihatan di pokok-pokok di Mauritius dan Australia.

Dunia ketika itu mengetahui letusan gunung berapi Krakatau dalam masa 24 jam dengan bantuan telegraf dari Jakarta.

Ia adalah bencana alam pertama yang dilaporkan di peringkat antarabangsa pada kelajuan sedemikian.

“Saya adalah penumpang di atas kapal yang berada di sebelah barat Selat Melaka. Pada pagi 27 Ogos itu saya telah dipanggil oleh kapten untuk memerhatikan penampilan luar biasa di langit. Langit pada malam ketika itu seperti menyala dengan cahaya elektrik.

“Digabungkan dengan bunyi bising ia seolah-olah pengeboman yang sangat besar berlaku. Bunyi itu telah membuat saya mengandaikan bahawa Belanda sedang berperang ketika itu,” tulis seorang pelaut kepada editor Guardian Manchester pada tahun 1883.

Letusan itu juga dilaporkan turut didengari sehingga di Australia dan merentasi Launtan Hindi di Mautitus.

Bunyi letupan itu sangat kuat sehingga membingitkan gendang telinga pelaut British yang berada 70 kilometer dari kawasan gunung berapi itu.

“Letupan Krakatua mencatatkan 172 desibel di 160 kilometer dari sumbernya. Ini sangat mengagumkan dan ia semakin bertentangan dengan had yang kita maksudkan dengan bunyi,” kata penulis sains Aatis Bhatia.

Gunung berapi Anak Krakatau muncul dari dasar laut kira-kira 91 tahun lalu selepas letusan besar gunung berapi Krakatau yang berlaku pada tahun 1883.