NURUL menyertai pertandingan ratu cantik bagi mendapatkan dana untuk membantu kanak-kanak kebuluran di New Zealand.

Wanita manis yang hanya dikenali sebagai Nurul, 20, itu, merupakan peserta berhijab pertama yang berjaya memecahkan rekod pertandingan tersebut apabila berjaya mara ke pentas akhir ratu cantik berkenaan.

Dia yang dilahirkan di Ampang, Kuala Lumpur dan dibesarkan di New Zealand menyifatkan penyertaannya dalam Miss Universe New Zealand 2018 adalah untuk membantu mendapatkan dana bagi membantu kanak-kanak yang hidup miskin dan kebuluran.

Gadis itu juga sekali gus memecahkan stereotaip bahawa wanita berhijab tidak dibenarkan langsung untuk menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik.

“Saya harap dengan peluang ini, saya dapat membantu membuka mata ramai orang untuk tidak terhalang dengan apa yang ingin dicapai walaupun berhijab. Saya juga berharap kita sama-sama dapat mentakrifkan semula maksud kecantikan yang sebenar,” ujarnya.