Begitulah nasib yang dialami oleh Nurul, 40, (nama samaran) apabila perkahwinan kedua dengan lelaki yang dicintainya hanya menyebabkan dia terpaksa hidup bersulamkan air mata hampir setiap hari.

Bukan itu sahaja, menurut Nurul, kelakuan duda beranak empat yang dikenali sebagai Zaidi (bukan nama sebenar) itu dikatakan lebih teruk daripada bekas suaminya yang terdahulu.

Sudahlah suaminya itu tidak bekerja dan sering menagih wang belanja daripadanya, malah sikap Zaidi yang panas baran menyebabkan dirinya sering menjadi mangsa amukan dan sepak terajang.

Menceritakan mengenai kisah hidupnya yang sedih itu, wanita kelahiran Gombak, Selangor itu memberitahu, sebelum bernikah dengan Zaidi, dia pernah berkahwin dengan Ramli (nama samaran).

Talak tiga

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak bertahan lama selepas Nurul berjaya menghidu kecurangan suaminya bersama pekerjanya sendiri.

“Saya merupakan seorang ahli perniagaan. Bisnes pakaian yang diusahakan begitu maju dan mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Kesibukan itu menyebabkan bekas suami, Ramli mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan sama-sama mengusahakan perniagaan bersama saya.

“Bagaimanapun, lain pula jadinya, selepas Ramli berhenti, dia menjadi semakin malas. Setiap kali saya meminta tolong untuk membantu di kedai, ada sahaja alasan yang diberi.

“Biarpun begitu, segala keuntungan perniagaan dikautnya sesuka hati. Apabila ditegur, dia akan menengking saya walaupun di hadapan anak-anak,” jelasnya.

Dugaan Nurul yang bersuamikan lelaki pemalas tidak terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, dia dikejutkan dengan berita kecurangan Ramli bersama pekerjanya sendiri.

“Kuasa tuhan, saya lihat sendiri dengan dua anak mata adegan jijik Ramli dengan seorang pekerja ketika ingin mengambil stok pakaian di gudang kami.

“Mungkin Ramli malu atau berang melihat kehadiran saya di situ, pada malam itu juga dia menceraikan saya dengan talak tiga,” jelasnya.

Cerita Nurul lagi, biarpun sedih mengenangkan perkahwinan yang dibina hampir 20 tahun berkecai begitu sahaja, namun dia terpaksa akur dengan keadaan itu.

Nurul membina hidup baru bersama dua orang anak lelakinya yang pada waktu itu sedang meningkat remaja.

Kuasa tuhan, tiada siapa yang mampu menghalang, tidak sampai dua tahun hidup menjanda, Nurul berkenalan pula dengan suami baharunya, Zaidi.

Pada mulanya, hubungan mereka berdua tidak ubah seperti sahabat karib.

Bagaimanapun, hubungan tersebut lama kelamaan bertukar menjadi serius sebelum Nurul dan Zaidi akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya nekad menjadi isteri Zaidi kerana perwatakannya yang sangat baik dan tidak pernah berkasar,” jelasnya.

Menurut Nurul, sepanjang tempoh perkahwinan tersebut, Zaidi melayaninya dengan baik.

Tuntut fasakh

Malah, dia juga tidak pernah menghalang hasrat Nurul untuk terus mengusahakan perniagaan pakaiannya.

“Bagaimanapun, saya mula perasan kelakuan pelik Zaidi apabila melihat dia sering berada di rumah. Bukan itu sahaja, hampir setiap hari dia meminta wang belanja daripada saya.

“Entah bagaimana saya tergerak untuk bertanyakan anak tiri perihal bapanya. Alangkah terkejut saya apabila diberitahu bapanya selama ini tidak bekerja.

“Mereka anak-beranak hidup bergantung sepenuhnya kepada wang pusaka peninggalan keluarga,” jelasnya.

Luluh hati Nurul apabila selama ini mengetahui dirinya ditipu hidup-hidup. Saya terasa seperti terkena badi.

“Perangai Zaidi bertukar dingin sebaik mendapati rahsia yang disimpannya selama ini terbongkar.

“Dia mula berkelakuan dingin terhadap saya. Usah kata melayan saya dengan baik, nafkah zahir dan batin juga diabaikan.

“Lebih malang apabila Zaidi mulai berani mengangkat tangan ke arah saya dan anak-anak,” jelasnya.

Menurut Nurul, dia pernah dikejarkan ke hospital kerana pengsan selepas dipukul Zaidi.

Biarpun begitu, dia bernasib baik kerana keempat-empat anak tirinya itu begitu memahami dan melayaninya seperti emak kandung mereka sendiri.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi mampu bertahan. Kedua-dua perkahwinan yang dibina hanya membawa derita kepada saya.

“Lima tahun hidup bersulam air mata dengan Zaidi, saya kini nekad menuntut fasakh. Mungkin saya ditakdirkan untuk hidup sendirian seumur hidup,” ceritanya menutup bicara.

Perkahwinan pertama dan kedua Nurul tidak mendatangkan kebahagiaan dalam hidupnya apabila dia sering menjadi mangsa penipuan lelaki bertopengkan syaitan yang bergelar suami.