Insiden tragis itu berlaku pada 15 Mac lalu ketika sebahagian besar jemaah lelaki sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat.

Serangan berdarah itu telah mengorbankan 50 mangsa.

Selepas seminggu kejadian itu, pada tarikh 22 Mac lalu, ribuan penduduk hadir bagi mengadakan solat Jumaat di kawasan terbuka Hagley Park, taman yang terletak berhadapan Masjid Al-Noor.

Bagi penduduk bukan beragama Islam mereka berdiri di kawasan khas yang disediakan. Tatkala orang ramai kelihatan bersedih dan bertafakur mengenangkan kejadian meruntun jiwa itu, kelihatan kelibat seorang wanita berpakaian sopan dan berselendang hitam berdiri bersama ribuan penduduk lain.

Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 39. Kehadiran Ardern atau nama penuhnya Jacinda Kate Laurell Ardern itu bagi memberi penghormatan kepada keluarga dan mangsa serangan tembakan rambang berkenaan.

Ardern hadir bersama beberapa pegawai kanannya yang turut sama kelihatan memakai penutup kepala.

Sejurus selepas itu Imam Masjid Al-Noor, Gamal Fouda memulakan khutbahnya.

Gamal turut menujukan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Kebijaksanaan

“Terima kasih untuk kepimpinan anda, ia menjadi satu pengajaran kepada pemimpin dunia. Terima kasih terhadap kemesraan anda kepada keluarga kami dan kerana menghormati kami dengan selendang di kepala anda.

“Terima kasih dengan kata-kata dan tangisan sayang anda. Terima kasih kerana bersama kami,” ujarnya yang selepas itu membacakan beberapa ayat di dalam Surah Al-Baqarah.

Ardern memberikan respons dengan meletakkan tangan di dada dan menundukkan kepalanya.

“New Zealand berkabung bersama anda. Kita adalah satu,” kata Ardern terdahulu dalam ucapan pendeknya. Negara itu bertafakur selama dua minit pada 1.32 petang sebelum solat Jumaat dimulakan. Solat Jumaat hari itu juga cukup istimewa apabila laungan azan diarahkan untuk disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen dan radio negara itu.

Kehadiran Ardern yang memakai selendang dipuji ramai yang menganggapnya sebagai simbol penghormatan dan empati atau simpati yang tinggi terhadap keluarga mangsa dan komuniti Islam amnya.

Lebih menakjubkan apabila penduduk-penduduk New Zealand juga beramai-ramai mengunjungi masjid-masjid di Wellington dan Auckland dengan ramai para wanita yang mencontohi Ardern memakai penutup kepala.

Tindakan Ardern itu sekali gus telah mengubah persepsi dan rasa takut penduduk Islam lain untuk keluar dari rumah masing-masing.

Seorang penuntut dari Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Ibnu Sitompul tidak gentar lagi untuk beriadah dan beribadah secara terbuka.

Menurut Ibnu sokongan yang luar biasa Perdana Menteri negara itu dan rakyat tanpa mengira agama telah menangkis rasa takut dalam dirinya.

“Kehadiran mereka lebih ramai berbanding umat Islam yang ada. Mereka berdiri di belakang saf wanita,” katanya kepada BBC News Indonesia.

Nama Ardern semakin menjadi sebutan ramai susulan kebijaksanaan dan sikap kepimpinannya dalam menangani insiden serangan berdarah itu.

Imej gergasi

Beberapa media berpandangan tragedi itu adalah ujian terbesar dalam kepimpinan Ardern sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri negara itu sejak tahun 2017. Tambah pula, insiden pembunuhan beramai-ramai dengan tembakan bagai tidak pernah berlaku di New Zealand.

“Ini bukan New Zealand,” ujar Ardern dalam satu kunjungannya ke masjid itu selepas insiden tersebut.

Ardern turut menarik perhatian dunia kerana berikrar tidak akan menyebut nama penembak dua masjid di Christchurch pada sidang parlimen negara itu yang berlangsung empat hari selepas kejadian berkenaan.

Malah, beliau juga menyampaikan pembuka kata Assalamualaikum sebagai mesej keamanan buat umat Islam.

“Anda tidak akan mendengar saya menyebut namanya. Dia seorang pengganas. Dia seorang penjenayah. Dia seorang pelampau dan setiap kali saya bercakap, dia tidak akan bernama.

“Saya rayu kepada anda sebutlah nama mereka yang gugur (mati), berbanding nama lelaki yang mengambil nyawa mereka,” tegasnya pada sidang parlimen itu.

Beliau juga kelihatan tidak keberatan untuk memeluk sambil cuba untuk menenangkan ahli keluarga yang berada dalam ketakutan dan kesedihan.

Malah, beliau memaklumkan kerajaan di bawah pimpinannya akan menanggung semua kos pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan keganasan di dua masjid itu.

“Kebanyakan mangsa yang terkorban merupakan tulang belakang keluarga dan individu utama yang keluar mencari rezeki. 

“Saya memberi jaminan melalui sistem yang diamalkan di negara ini, terdapat kaedah yang boleh diguna untuk menghulurkan bantuan. Bantuan tersebut akan diberikan tanpa mengira status mereka, sama ada warga imigran atau sebaliknya.

“Bantuan ini termasuklah kos pengebumian serta sokongan kewangan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan sumber pendapatan utama,” ujarnya kepada media tempatan Australia.

Keluhuran Ardern turut mendapat perhatian Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang tidak terkecuali dalam menzahirkan simpati dan sokongan kepada Ardern.

Imej gergasi Ardern berselendang sambil memeluk keluarga mangsa dipancarkan di bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifah.

Bukan itu sahaja, usahanya menegaskan betapa pentingnya keamanan turut mendapat pujian daripada pembesar di seluruh negara.

Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum telah memuat naik imej Ardern yang dihalakan ke bangunan Burj Khalifa pada waktu malam di laman Twitter miliknya.

“Terima kasih PM @jacindardern dan New Zealand untuk keikhlasan sokongan yang menyentuh hati 1.5 bilion umat Islam selepas serangan pengganas tersebut mengejutkan komuniti Islam di seluruh dunia,” tulisnya.

Cuti bersalin

Dalam kejadian tembakan rambang oleh lelaki warga Australia, Brenton Tarrant, 28, pada ‘hari tergelap’ New Zealand itu, antara yang terkorban ialah umat Islam dari Turki, Afghanistan, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan lain-lain.

Mengimbas kembali perjalanan karier Ardern, banyak sejarah tercipta sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 26 Oktober 2017.

Menurut laman web Forbes, kemenangan beliau menerusi Parti Buruh telah menjadikannya pemimpin wanita termuda di dunia yang pernah memegang jawatan tersebut.

Ardern juga melakar sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama mengambil cuti bersalin selama enam minggu bermula daripada 21 Jun 2018 selepas melahirkan anak bersama suaminya, Clarke Gayford, yang merupakan hos program televisyen Fish of the Day.

Malah, Ardern turut menjadi Perdana Menteri kedua yang melahirkan anak semasa memegang jawatan itu selepas bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto kira-kira 29 tahun lalu.

Walaupun menerima kritikan hebat kerana mengumumkan kehamilannya selepas tiga bulan menjawat jawatan Perdana Menteri, ia sedikitpun tidak mematahkansemangat Ardern untuk terus memperjuangkan politiknya.

Tiga hari sebelum tarikh beliau dijadualkan melahirkan bayi perempuannya, Neve Te Aroha Grayford, Ardern masih bertugas di Parlimen.

Semangat Ardern itu dipengaruhi oleh pengalamannya semasa kecil yang dibesarkan di pekan kecil di Murupara, kawasan aktiviti puak Maori yang kebanyakannya terdiri daripada orang susah. Keadaan itu menjadi inspirasi terawal beliau untuk menyertai bidang politik.

Apa yang pasti, segala yang terjadi ini telah membuka mata dunia bahawa wanita juga berupaya memimpin negara dengan nurani kewanitaan yang halus dan tulusnya.