Hakikatnya, masjid tradisional kayu yang berusia sekitar 300 tahun itu merupakan masjid tertua di negara ini yang berjaya dipertahankan daripada lenyap dek arus pembangunan yang kian pesat.

Ia juga menjadi simbol yang memancarkan keunikan seni pertukangan Melayu serta Nusantara.

Namun, mungkin belum ramai menyedari ‘roh’ Masjid Kampung Laut yang membawa jiwa budaya Melayu Islam setempat itu kini diresap ke dalam sebuah masjid moden, Masjid Noor Aini Mukim Pasir Hor, Kota Bharu yang seni bina dalaman keseluruhannya daripada kayu jati lengkap dengan ‘kemewahan’ ukiran menawan.

Masjid Noor Aini yang bermaksud Masjid Cahaya Mataku itu dinamakan bersempena nama pewakaf atau pengasasnya, seorang kerabat diraja di negeri ini, Tengku Noor Aini Tengku Ahmad Zainal Abidin.

Tengku Noor Aini ialah cucunda kepada Sultan Pattani terakhir, Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamarudin.

Menurut Imam Muda Masjid Noor Aini, Ustaz Ahmad Sabri Md. Nawi, masjid ini mula diusahakan pembinaannya pada tahun 2007. Ia dibina pada tapak asal sebuah masjid lain yang dibina pada tahun 1973 yang hanya boleh menampung 300 jemaah bagi satu-satu masa.

“Kemudiannya, masjid lama itu diperbesar pada tahun 1983 namun kembali sesak mulai tahun 2010.

“Ia tidak lagi dapat diperbesar kerana keluasan tanah yang terhad. Justeru pada pertengahan tahun 2007, seorang kerabat diraja, Tengku Noor Aini bermurah hati menderma bagi mendirikan masjid baharu di sini,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Bumbung bertenggek

Tambahnya, jawatankuasa masjid telah bersetuju untuk merobohkan masjid yang lama untuk pembinaan masjid baharu itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memberikan persetujuan bagi pembinaan Masjid Noor Aini dan konsultan yang diamanahkan mereka bentuk masjid bernilai RM2.5 juta itu pada penghujung tahun 2007.

Hasil permuafakatan ahli jawatankuasa melalui perbincangan dan idea Tengku Noor Aini, maka terbentuklah satu masjid yang berteraskan seni bina Melayu bagi menterjemahkan impian beliau.

Katanya, bumbung masjid ini adalah berbentuk segi tiga yang disebut ‘bumbung bertenggek’ dengan tebar layar dan ruangnya dibahagikan mengikut konsep ‘rumah ibu’ dan ‘rumah anak’.

“Tiang konkrit yang menyokong bumbung dan bingkai seluruh dinding ‘dibaluti’ dengan ukiran kayu bernuansa tradisional.

“Bagi menyerikan suasana dalaman, mimbarnya dihiasi dengan ukiran tebuk bermotifkan surah Yaasin dan ayat Kursi yang dilapisi cermin sekali gus mencetuskan pantulan cahaya yang menarik,” ujarnya.

Penulis juga berpeluang melihat sendiri ukiran-ukiran tebuk timbul bermotifkan flora dan fauna serta geometri Islam melatari dinding pemisah ruang jemaah wanita di bahagian belakang.

Ukiran yang mempesonakan juga terlihat pada ruang pintu bilik imam dan bilik tamu serta sebelah atas setiap dinding dan ruang pintu masuk utamanya dari setiap sudut.

Menariknya lagi, kerja-kerja pembinaannya dipantau sendiri oleh Tengku Noor Aini. Ia berjaya disiapkan dalam tempoh 18 bulan dan mula digunakan oleh orang awam pada Oktober 2009.

Lima kontena

Terletak kira-kira 10 hingga 15 minit dari pusat bandar Kota Bharu, masjid baharu berkeluasan 850.99 meter persegi yang lengkap dengan dewan serba guna berkeluasan 135.26 meter persegi itu kini menampung kira-kira 1,250 jemaah.

Keindahan seni bina Melayu yang terdapat di masjid itu turut dikongsikan pengasasnya, Tengku Noor Aini yang amat mencintai seni dan warisan sejak kecil lagi.

Pegangan agama Islam yang utuh dalam keluarga membuatkan dirinya bercita-cita untuk membina sebuah masjid berteraskan ciri-ciri kemelayuan.

“Idea ini tercetus apabila saya melihat istana almarhum ayahanda yang dibina menggunakan kayu cengal dikenali sebagai Istana Sri Akar yang merupakan kediaman diraja di Kota Bharu, Kelantan.

“Istana itu dahulunya dikenali sebagai Istana Tengku Putri atau nama sebenarnya Tengku Meriam Kembang Putri yang merupakan adinda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV dan dibina sendiri oleh baginda,” katanya yang meminati sektor pembinaan sejak berumur 16 tahun lagi.

Tengku Putri telah berkahwin dengan Tengku Abdul Kadir yang merupakan Sultan Pattani kemudian istana tersebut dinamakan Sri Akar sempena gelaran baginda. Malangnya pada 1902, Siam telah melucutkan jawatan Sultan Pattani itu maka baginda berpindah dan bersemayam di istana itu di Kota Bharu.

Mengikut sejarah, istana tersebut kemudiannya ditinggalkan dan jatuh ke dalam kehancuran serta dipercayai dirobohkan pada tahun 1970-an.

Tengku Noor Aini yang mesra dengan panggilan Mak Ungku berkata, dirinya telah berangkat ke Jepara di Jawa Tengah, Indonesia bagi mendapatkan khidmat kepakaran ukiran bercirikan Melayu.

“Jepara memang terkenal sebagai Kota Ukir, bukan sahaja di kalangan penduduk setempat bahkan dunia. Seni ukirannya turut mendapat tempahan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Sweden untuk pembinaan hotel-hotel mereka.

“Saya menempah kayu jati khas yang siap diukir di Jepara sebelum dibawa menggunakan lima kontena untuk masuk ke negara ini bagi pembinaan masjid tersebut,” ujarnya.

Sifatnya yang pemurah itu amat dikenali penduduk setempat.

Wanita yang kini menjangkau usia 80 tahun itu tidak mahu melihat seni bina masjid-masjid di negara ini mengambil inspirasi seni bina masjid dari negara asing seperti Arab atau India.

“Masjid ini juga tidak menggunakan sebarang pendingin hawa kerana khuatir pemasangannya akan merosakkan ukiran kayu itu,” ujarnya.

Sementara itu, pelukis pelan seni bina masjid itu, Mohd. Ashri Aminuddin Mohd. Yussof, 59, berkata, beliau bertanggungjawab melukis dan menyiapkan masjid itu seperti yang dikehendaki pengasasnya.

“Kita mereka bentuk masjid ini sekitar 2008 dan pada bulan Ogos 2009 seni ukiran yang terdapat di masjid ini dapat disiapkan.

“Pada bumbungnya juga kita serlahkan dengan seni ukiran Melayu. Warna coklat sebagai warna asas kayu pula menonjolkan lagi keindahan masjid ini,” ujarnya.

Bereka bentuk dalaman daripada kayu jati sepenuhnya dengan kemewahan ukiran bermotifkan flora, fauna dan ayat-ayat suci al-Quran, Masjid Noor Aini Mukim Pasir Hor, Kelantan menerapkan unsur kemelayuan pada seni binanya.