Sejak membuka pintunya seabad yang lalu, penubuhan kafe tersebut telah mengubahnya menjadi sebagai sebuah pusat kehidupan intelektual Baghdad. Pada masa sama, ia juga menggambarkan penyair-penyair dan ahli-ahli politik sehinggalah bangku kayu serta deretan gambar-gambar yang tertampal pada dinding kafe tersebut.

“Saya datang ke sini sejak enam dekad lalu. Dari pukul 9 pagi sehinggalah 2 atau 3 petang, apabila semua orang mulai pulang,” kata Abdel Fattah al-Noeimi, 77.

Sejak pemerintahan British sehinggalah zaman moden Iraq, kafe Shabandar telah melalui zaman kelahiran negara itu, penggulingan monarkinya, penguasaan oleh Saddam Hussein selama berdekad dan drama pencerobohan yang dipimpin Amerika Syarikat serta kekacauan berdarah. Kesemua sejarah dan tragedi ini telah memberi nostalgia buat kafe itu.

Hab perniagaan

Semasa pergolakan berdarah, sebuah kereta dibom sedekad lalu sehingga memusnahkan sejarah Al-Mutanabbi Street. Tragedi itu juga telah membunuh kira-kira 100 rakyat Iraq.

Antara yang maut ialah empat anak lelaki dan seorang cucu pemilik kafe Shabandar, Mohammed al-Khashali.

Tetapi Mohammed tidak mahu mengingati peristiwa itu. Hari ini, suasana gelas teh berdenting, pipa hukah yang menggelegak dan suara individu yang berbual-bual memenuhi ruang kafe tersebut.

“Duduk sambil minum di sini adalah seperti berada dalam sebuah buku sejarah. Pertama kali ia menjadi kafe pada tahun 1917, bangunan batu bata dan plaster sudah terbina sehingga menjadi sebuah hab perniagaan menempatkan peniaga percetakan akhbar terkenal seperti Abdel Majid al-Shabandar,” katanya.

Menurut Mohammed, dia mengambil alih kafe tersebut daripada bapanya pada tahun 1963 dan membuat keputusan melarang semua permainan judi termasuk kad dan domino di kafe itu.

Walaupun langkah itu mengejutkan sesetengah pelanggan, namun ia sangat bermakna buat pemilik baharu yang sudah berjanji pada dirinya sendiri.

“Kafe ini akan menjadi sebuah tempat pertemuan budaya masyarakat, itulah tujuan asal kafe ini ditubuhkan,” ujarnya.

Berpuluh-puluh gambar hitam putih menghiasi dinding kafe berkenaan yang menghidangkan sejarah serba sedikit tentang kota Baghdad dan Iraq yang menyerlah dari segi kemajuan dan sisi gelapnya.

Terdapat sebuah buku berwarna keemasan di kafe tersebut yang mencatatkan tandatangan beberapa duta asing yang pernah singgah ke kafe tersebut. Dalam pada itu, kepelbagaian wajah lelaki dan wanita turut memenuhi ruang dengan mengadakan pertemuan di kafe Shabandar setiap pagi.

Hab pembelajaran

“Kafe ini tidak dikhaskan untuk mana-mana penganut agama, budaya ataupun sebahagian masyarakat sekalipun kerana semua orang boleh berada di sini untuk minum bersama.

“Ia juga merangkumi seperti sebuah sekolah yang mempunyai sejarah tersendiri, walaupun ada sebahagian yang cuba meruntuhkan masyarakat di Iraq. Semua orang menghormati idea sesama mereka,” kata salah seorang pelanggan tetap kafe itu yang dikenali sebagai Noeimi.

Ketika suasana semakin meriah dengan pengunjung yang memesan pelbagai minuman, Rammah Abdelamir, 17, cuba melihat buku di tangannya mengenai pemikiran politik moden sambil menyaksikan monumen Baghdad lama itu.

Sementara itu, pelayan sibuk melayani pelanggan-pelanggan sambil mengisi gelas-gelas mereka dengan teh panas, kemudian berbual-bual antara mereka.

“Tempat ini merupakan titik pertemuan bagi golongan intelektual dan hab pembelajaran bagi setiap generasi baharu,” kata Rammah. 
– AFP