Pendidikan dan pembangunan sumber manusia adalah kunci kepada peningkatan daya saing negara. Bekalan tenaga kerja yang terlatih, produktif dan kompetitif adalah keperluan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan.

Dalam usaha memastikan tenaga kerja di negara ini berketerampilan dalam sesuatu bidang, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan dan membangunkan National Occupational Skills Standard (NOSS) sebagai rujukan bagi menghasilkan pekerja yang cekap dan kompeten dalam bidang pekerjaan masing-masing.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai NOSS, ikuti temu bual yang dijalankan oleh wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN bersama Pengarah NOSS, Mohd. Yazid Awalludin di pejabatnya di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah yang dimaksudkan dengan NOSS?

MOHD. YAZID: NOSS atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) merupakan dokumen yang menggariskan keterampilan atau kompentensi yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan.

NOSS juga menggariskan laluan-laluan yang diperlukan untuk mencapai keterampilan yang telah ditetapkan berkenaan.

Ia dibangunkan sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 562) yang melibatkan pakar industri dan pengajar latihan kemahiran dalam bidang berkaitan.

Matlamat utama NOSS diwujudkan adalah untuk mendokumenkan standard yang diperlukan dalam pelbagai bidang pekerjaan. Sehingga kini, terdapat 1,887 standard yang telah dibangunkan dan sedia untuk diguna pakai oleh pelbagai pihak termasuk industri.

Bagi mengetahui secara terperinci bidang-bidang yang terdapat di dalam NOSS, orang ramai boleh merujuk pada Daftar NOSS terkini yang di laman sesawang www.dsd.gov.my.

Apakah ciri-ciri yang terdapat di dalam NOSS?

Sebelum ini, para majikan sering mengadu bahawa pekerja yang dihasilkan oleh pusat-pusat latihan di negara ini tidak memenuhi keperluan industri.

Oleh kerana ini, ciri utama yang terdapat pada NOSS adalah ia berasaskan keperluan pekerjaan. Sebagai contoh dalam sektor elektronik, NOSS akan menggariskan apakah keterampilan yang perlu ada pada seseorang pekerja yang terlibat dalam sektor tersebut.

Selain itu, NOSS juga mengikut struktur kerjaya di dalam sesuatu bidang pekerjaan iaitu daripada tahap rendah hinggalah ke tahap yang lebih tinggi.

Yang paling utama, NOSS dibangunkan oleh pakar industri dan pekerja mahir yang menjalankan pekerjaan. Dengan cara ini, keterampilan yang digariskan di dalam NOSS adalah menepati keperluan industri.

Boleh tuan jelaskan dengan lebih lanjut mengenai laluan untuk mencapai keterampilan yang digariskan di dalam NOSS?

Di bawah NOSS, laluan untuk mencapai tahap keterampilan atau kompetensi pekerja dibahagikan kepada lima tahap. Tahap 1 bermakna pekerja berkenaan terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja dan sebahagian besarnya adalah lazim dilakukan dan boleh dijangka.

Tahap 2 pula bermakna seseorang pekerja itu terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja di dalam pelbagai konteks, sebahagiannya adalah tidak lazim dilakukan serta memerlukan tanggungjawab dan autonomi diri.

Pada tahap 3, seseorang pekerja perlu terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja di dalam pelbagai konteks, kebanyakannya adalah kompleks dan tidak lazim dilakukan.

Mereka juga perlu mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang tinggi, di samping berkebolehan mengawal dan memberi panduan kepada yang lain.

Pekerja yang mempunyai tahap ini biasanya penyelia, ketua kumpulan atau juruteknik kanan.

Tahap 4 pula memerlukan seseorang pekerja itu terampil melakukan pelbagai aktiviti kerja teknikal dan profesional yang luas skop dan konteksnya. Mereka juga mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang tinggi di samping lazim bertanggungjawab terhadap kerja orang lain dan agihan sumber-sumber.

Pada tahap 5, seseorang pekerja perlu terampil menggunakan pelbagai prinsip asas dan teknik yang kompleks di dalam skop yang luas serta selalu tidak dijangka.

Pekerja yang berada pada tahap ini mempunyai tanggungjawab dan autonomi diri yang sangat tinggi, serta bertanggungjawab terhadap kerja orang lain dan agihan sumber-sumber. Bertanggungjawab juga terhadap analisis, diagnosis, reka bentuk, perancangan, pengendalian dan penilaian.

Pekerja yang berada pada Tahap 1, 2 dan 3 diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3, manakala pekerja di Tahap 4 menerima Diploma Kemahiran Malaysia.

Pekerja yang berada pada Tahap 5 pula menerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

Apakan kepentingan NOSS kepada majikan?

Majikan yang mengguna pakai NOSS dapat menentukan tahap kemahiran tenaga kerja mahir yang diperlukan mereka. NOSS juga menyediakan panduan dalam senarai tugas dan skop kerja sesuatu pekerjaan.

Majikan juga dapat menilai menilai prestasi pekerja mereka sama ada mencapai tahap keterampilan yang digariskan di dalam NOSS.

Penggunaan NOSS juga dapat menjimatkan kos dan masa melatih semula pekerja selain meningkatkan kualiti produktiviti, inovasi dan daya saing seseorang pekerja.

Bagaimanakah seseorang pekerja mendapat manfaat daripada NOSS?

NOSS memberi maklumat skop tugas yang jelas kepada seseorang pekerja. Selain itu, NOSS juga memberi maklumat peluang kerjaya dalam sektor yang berkaitan.

Dengan memperolehi SKM pada tahap yang lebih tinggi, ia juga membantu dalam peningkatan kerjaya seseorang pekerja. Pekerja yang berjaya meningkatkan tahap kompetensi mereka tentunya diberi ganjaran oleh majikan sama ada kenaikan pangkat atau gaji.

NOSS juga boleh menjadi penanda aras prestasi kerja seseorang pekerja itu sama ada mereka mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan atau tidak.

Pekerja juga dapat membuat keputusan yang tepat bagi mengikut latihan yang sesuai untuk peningkatan kerjaya selain membolehkan mereka mengikuti latihan secara fleksibel berdasarkan unit kompetensi yang bersesuaian.

Apakah kepentingan NOSS kepada institusi latihan kemahiran atau pelatih?

Kewujudan NOSS menyediakan pembangunan kurikulum latihan yang tepat dan memenuhi kehendak industri. Dengan ini, pusat latihan boleh mereka bentuk program latihan sepenuh masa atau disesuaikan sejajar dengan keperluan industri.

Institusi latihan kemahiran juga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap kemahiran yang diperlukan oleh industri. Mereka juga mempunyai asas untuk menilai keperluan latihan semula pengajar bagi memenuhi kehendak industri semasa.

Nasihat kerjaya yang tepat juga boleh diberi dengan efektif kepada pelatih dengan adanya NOSS.

Pada masa kini, terdapat berapa sektor industri yang diliputi oleh NOSS?

Pada masa kini, pembangunan NOSS meliputi 21 seksyen industri yang terdapat di negara ini berasaskan kepada Malaysia Standard Industry Classification (MSIC). Antara sektor berkenaan ialah Elektrikal, Elektronik, Telekomunikasi dan Industri Penyiaran; Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pemesinan dan Peralatan.

Pembungkusan, Percetakan, Perubatan dan Farmaseutikal, Hospitaliti dan Pelancongan juga merupakan antara sektor yang diliputi NOSS.

Bagi memastikan kandungan NOSS sentiasa relevan dengan perubahan dan perkembangan teknologi, elemen Revolusi Industri 4.0 juga diterapkan semasa pembangunan NOSS.

Bagaimana cara seseorang majikan boleh mendapatkan NOSS?

NOSS boleh diperolehi dalam bentuk cakera padat dengan harga RM20 dalam bentuk bank draf atau kiriman wang atas nama Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran di JPK Putrajaya, Cyberjaya dan pejabat wilayah di seluruh negara.