Dia kemudiannya berkunjung ke sebuah lagi kedai di kompleks beli-belah GLO di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. "Seorang rakan memberitahu kedai karpet House of Rugs ini baru dibuka beberapa bulan lalu.

"Kedai ini dikatakan mempunyai pelbagai jenis karpet termasuk buatan tangan berkualiti tinggi dengan corak yang menarik," katanya.

Selepas hampir sejam meluangkan masa di kedai tersebut, Muhammed Zubir kemudiannya membeli sebidang karpet buatan tangan sebesar kira-kira enam meter persegi bernilai RM2,000 untuk dihadiahkan kepada ibunya.

Kualiti



Kira-kira 70 peratus daripada karpet yang dijual di House of Rugs merupakan buatan tangan yang dimport dari pelbagai negara.

Walaupun harganya agak tinggi, dia berasa berbaloi kerana karpet itu merupakan buatan tangan yang diimport dari Iran, sebuah negara yang sangat terkenal dalam menghasilkan karpet berkualiti tinggi di dunia.

Memulakan operasinya pada 7 Ogos lalu, House of Rugs merupakan antara kedai membekal karpet berkualiti yang diimport dari beberapa negara seperti Iran, Turki, Palestin, India, Afghanistan, China, Belgium, Rusia dan Nepal.

Ia dimiliki oleh seorang ahli perniagaan, Mohamed Shah, 64, yang berpengalaman selama 38 tahun dalam menjalankan perniagaan jual beli karpet.

Dia membuka perniagaan itu di Kuala Lumpur selepas dipelawa oleh pemilik kompleks beli-belah tersebut selain ingin berniaga di negara ini. Mohamed yang dilahirkan di Singapura dan memiliki kerakyatan Australia berkata, dia telah menghabiskan lebih daripada separuh usianya menjalankan perniagaan jual beli karpet di negara Kanggaru itu.

"Ayah saya merupakan warga India manakala ibu warga Singapura. Sejak kecil hingga remaja, saya banyak menghabiskan masa membantu ayah di kedai karpet miliknya yang terletak di Orchard Road di Singapura.

"Ketika berumur 24 tahun, saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Australia dan membuka perniagaan menjual karpet di Melbourne.

"Selepas perniagaan bertambah maju, saya membuka beberapa cawangan di Perth dan Adelaide selain tiga lagi cawangan di New Zealand," katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas hampir empat dekad merantau dan mencari rezeki di kedua-dua negara itu, dia mengambil keputusan untuk menutup dua cawangan di Australia.

Kini, satu-satunya cawangan utama di Melbourne yang masih beroperasi dijaga oleh anaknya, Imran Shah, 30, manakala semua cawangan di New Zealand diuruskan oleh ejen yang dilantik.

"Saya mempunyai pandangan yang positif terhadap pasaran karpet di negara ini kerana majoriti penduduknya sangat meminati karpet untuk dijadikan perhiasan di rumah.

Buatan tangan



HOUSE OF RUGS terletak di pusat beli-belah GLO Damansara di Damansara, Kuala Lumpur.

"Malah, ekonomi negara ini juga sangat baik dan saya percaya, penduduknya mempunyai kuasa beli yang baik sekiranya ingin mendapatkan karpet berkualiti tinggi pada harga berpatutan," katanya ketika mengulas mengapa dia memilih untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.

Menurut Mohamed, kedainya mempamerkan pelbagai jenis karpet meliputi pelbagai saiz dan corak. Ada juga yang dijual pada harga serendah RM50.

Katanya, kira-kira 70 peratus karpet di premisnya merupakan buatan tangan yang diimport dari pelbagai negara, manakala selebihnya dibuat menggunakan mesin.

Dia turut memiliki sebidang karpet buatan tangan dari Iran yang sangat berkualiti tinggi yang berharga RM1.5 juta.

"Jika dilihat pada harganya, mungkin ramai yang menganggap ia keterlaluan.

"Bagi mereka yang mengetahui tentang nilai dan kualiti karpet tersebut, ia pasti satu pembelian yang sangat berbaloi.

"Ini kerana karpet tersebut sudah berusia kira-kira 140 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, ia hanya diletakkan di ruang pameran sebuah premis di Yazd, Iran dan belum pernah digunakan sehingga kini," katanya bahawa karpet itu mengambil masa sehingga setahun setengah untuk disiapkan.

Walaupun sebahagian besar karpet yang dijualnya buatan tangan dan agak mahal, namun dia tidak pernah memaksa pelanggan untuk membeli.

Dia percaya setiap pelanggan mempunyai hak untuk memilih berdasarkan cita rasa dan kemampuan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang empat dekat bergelar saudagar karpet, katanya, antara perkara sukar yang dihadapi ialah bagi memberi pemahaman kepada pelanggan mengenai karpet.

"Ramai pelanggan yang ingin membeli karpet tetapi ramai antara mereka yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

"Mereka kerap mempersoal mengapa saya menjual karpet pada harga tinggi berbanding kedai-kedai lain.

"Sebab itulah saya lebih suka menggunakan pendekatan memberi pendedahan kepada pelanggan mengenai jenis-jenis karpet supaya mereka faham dan dapat membuat penilaian sebelum membelinya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai karpet buatan tangan, kata beliau, selain tidak memerangkap habuk, ia juga memiliki tenunan yang sangat halus dan jangka hayat lebih lama. Jika dijaga dengan betul katanya, ia mampu bertahan sehingga ratusan tahun berbanding karpet buatan mesin yang hanya mampu bertahan kurang daripada 10 tahun.

Corak flora



Tiga wanita Iran ini sedang menyiapkan sebidang karpet buatan tangan di sebuah bengkel. - Gambar hiasan

Katanya lagi, karpet buatan tangan biasanya dihasilkan daripada bulu haiwan, gentian jut atau campuran kedua-duanya, manakala karpet buatan mesin menggunakan benang sintetik.

Karpet buatan tangan biasanya menjadi pilihan golongan pertengahan dan atasan kerana mereka memiliki kuasa beli lebih besar selain faktor kualiti.

Justeru katanya, bagi memastikan setiap karpet yang dijual berkualiti tinggi dan mempunyai corak yang menarik, dia akan berkunjung ke negara pengeluar terutama Iran dan Turki. Ia membolehkannya memilih sendiri karpet yang dihasilkan oleh penenun.

Biasanya, dia akan memilih karpet bercorak flora dan berkonsepkan tradisional kerana ia sangat popular dalam kalangan pelanggan.

Dalam pada itu, pengurus jualan di premis tersebut, Iqbal Mohd. Ayub memberitahu, selain menjual karpet, kedai tersebut juga mementingkan perkhidmatan selepas jualan bagi meningkatkan kepuasan pelanggannya.

"Kami juga menawarkan perkhidmatan membuat penilaian terhadap karpet lama jika mereka ingin menjualnya untuk mendapatkan yang baharu.

"Pada masa sama, kami juga menawarkan perkhidmatan mencuci karpet dan bekerjasama dengan sebuah koperasi bagi membolehkan pelanggan membuat pinjaman kewangan untuk pembelian karpet yang banyak," katanya.