Pada masa tersebut, antara hiburan popular menjadi pilihan ketika malam minggu tentunya pesta ria bergerak atau funfair yang bukan sahaja menawarkan tarikan seperti roda ferris dan rumah berhantu, malah persembahan sarkas yang mampu membuatkan penonton ‘jatuh rahang’ dengan lagak ngeri luar biasa.

Masa bergulir, biarpun persembahan sarkas yang membawa penonton menelusuri nostalgia dunia akrobatik, silap mata, nyanyian dan tarian telah semakin dilupakan di negara ini, namun satu hal yang pasti ia tetap menjadi sebuah industri yang berkembang mekar di negara-negara luar.

Buktinya menurut beberapa portal carian di laman sesawang menunjukkan Rusia menjadi antara negara yang begitu gah dengan industri sarkas menerusi persembahan The Moscow Circus.

Justeru, mengambil kesempatan menggamit memori zaman kanak-kanak, Grand Chapiteu Sdn. Bhd. membawakan siri jelajah persembahan hebat daripada pasukan The Moscow Circus selama 10 bulan khas buat rakyat Malaysia.

Bertemu dengan penerbit Kenneth Lee, persembahan yang diterbangkan khas beribu batu dari Rusia tersebut julung-julung kali diadakan di Malaysia.

“Persembahan The Moscow Circus ini begitu istimewa kerana kami memilih gabungan dua syarikat sarkas yang begitu masyhur di Rusia iaitu The Bolshoi Circus dan The Nikulin Moscow Circus.

“Saya yakin pemilihan artis sarkas yang bertaraf antarabangsa ini mampu memukau penonton dengan persembahan akrobatik yang unik,” katanya ketika ditemui usai persembahan The Moscow Circus khas untuk pengamal media pada hari Sabtu lalu.

Teruja dengan sambutan menggalakkan penonton, kongsi anak kepada pemilik The Royal London Circus yang pernah popular di Teluk Danga, Johor Bahru itu, menerbangkan persembahan menakjubkan yang melibatkan seramai 40 orang artis sarkas ke Malaysia merupakan impiannya sejak dahulu.

“Ayah saya Paul L.B. Lee dan ibu, Doris Lee merupakan pemilik The Royal London Circus. Saya mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini dan The Moscow Circus adalah sebahagian daripada impian saya untuk mempunyai produksi sarkas sendiri.

“Kita semua tahu, Rusia merupakan sebuah negara yang sangat handal dengan aksi akrobatik dan popular dengan industri sarkas, disebabkan itu saya ingin membawa ia ke tanah air,” katanya.

 

Relevan

Membawa perbualan ke arah isu kerelevanan sarkas pada masa kini, penuh optimis kongsi Kenneth, sarkas merupakan hiburan sebenar jika hendak dibandingkan dengan kerakusan manusia yang semakin hanyut dalam dunia gajet canggih.

Ujarnya lagi, peluang menyaksikan persembahan pejalan kaki wayar tinggi yang dikenali sebagai The Svezhov Duo, artis trapeze (The Tokmachev Troupe), aksi ilusi (The Moskalov Duo), pemain kasut roda (The Romanov Duo) dan aksi lawak badut (Armen Asiryants) dalam pertunjukan sarkas berkenaan mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam sesebuah keluarga.

“Industri sarkas masih lagi relevan pada masa kini. Untuk orang dewasa, ia seperti mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak. Untuk anak-anak pula, menonton persembahan badut dan akrobatik tentunya sesuatu yang menarik.

“Bagi saya inilah hiburan sebenar kerana sekarang sudah tiada hiburan seperti ini. Siapa tahu, kanak-kanak yang datang menonton sarkas sekarang, pada masa 50 tahun kemudian akan rindu untuk menonton persembahan ini lagi,” terangnya panjang lebar.

Bercakap tentang isu bajet yang diperlukan, Kenneth tertawa kecil. Katanya, biarpun memerlukan kos besar untuk membawa peralatan sarkas ke sini, namun hal itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk melunaskan impian.

“Untuk bermula sahaja kami memerlukan lebih dari RM2.5 juta yang terdiri daripada kos membawa artis hingga aspek logistik.

“Segala peralatan seperti khemah, wayar, pentas dan tempat duduk penonton tidak boleh dibawa menaiki kapal laut. Semuanya memerlukan pesawat khas. Biarpun kos penganjuran persembahan ini bukan kecil, namun jika boleh mendapat sedikit keuntungan pun sudah menggembirakan kami,” terangnya tertawa.

Dalam pada itu, satu hal yang patut mendapat pujian tentang The Moscow Circus adalah persembahannya yang bebas daripada kemunculan haiwan seperti harimau, singa, monyet atau gajah di atas pentas.

Sedari bahawa hak haiwan tidak perlu diceroboh hanya untuk kepuasan manusia, ujarnya isu berkenaan sudah lama mendapat perhatian dalam kalangan penganjur sarkas.

“Setahu saya di Malaysia sudah lama tiada penggunaan haiwan dalam persembahan sarkas kerana minda dan persepsi orang ramai sudah semakin terbuka.

“Saya yakin, penonton datang ke sarkas tidak suka menonton haiwan sebagai bahan hiburan. Bukan sahaja tidak sesuai dan biarpun tidak dipukul, tetapi pada saya ia tidak baik untuk meletakkan haiwan di dalam sangkar kemudian membawanya ke merata-rata tempat,” tuturnya.

 

Meditasi

Kosmo! turut berkesempatan menemu bual salah seorang artis juggler yang popular dari Rusia iaitu Semion Krachinov.

Krachinov yang tampil berkarisma, begitu tangkas membuat persembahan juggling atau imbangan menggunakan bahan bantuan seperti bola dan clubs atau belantan membuatkan penonton terpegun.

“Saya lahir dalam dunia sarkas kerana ibu dan bapa saya juga merupakan artis sarkas. Mungkin disebabkan itu bakat sarkas sudah mengalir dalam darah.

“Setiap hari selepas bangun dari tidur hingga sebelum melelapkan mata, dunia saya hanya kepada permainan imbang sehingga berjaya sampai ke peringkat ini,” katanya yang mula terlibat dalam dunia juggling sejak berumur lima tahun.

Mengaku seluruh hidup sudah dicurahkan kepada dunia sarkas, ujar lelaki berusia 31 tahun itu lagi, dia menjadi serba tidak kena jika tidak membuat persembahan.

Malahan, juggling juga sudah dianggap sebagai salah satu meditasi buatnya setiap kali berdepan masalah.

“Tepukan gemuruh penonton yang menunjukkan mereka gembira dengan aksi imbangan membuatkan saya lebih bertenaga di atas pentas.

“Melakukan kesilapan di atas pentas adalah sesuatu yang normal buat artis sarkas, tetapi hal itu tidak boleh mematahkan semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik.

“Bermain juggling juga menjadi terapi kerana ia dapat membantu saya melupakan setiap permasalahan yang berlaku,” tutup lelaki yang berasal dari Rusia namun kini menetap di Jerman itu.

Era teknologi membuka seluas-luasnya jendela hiburan. Biarpun banyak cabang keseronokan sudah boleh diakses dari hujung jari, persembahan sarkas tetap mahal nilainya dan masih relevan buat seisi keluarga.