Diperbuat dengan menggunakan kudrat tangan dan kreativiti ilham manusia, maka terbentuklah tembikar indah penuh kesenian.

Perusahaan tembikar ialah hasil seni kraf tangan yang diperbuat daripada tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untuk menghasilkan rupa bentuk yang unik.

Industri pembuatan labu sayong masih mendapat perhatian bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke Bandar Diraja Kuala Kangsar meskipun ia telah wujud sejak berdekad-dekad lalu.

Penghasilan labu sayong banyak terdapat di Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong di Bandar Diraja itu. Nama labu sayong sendiri dipercayai diambil daripada nama mukim ini.

Alat penting

Salah seorang pengusaha labu sayong, Mohd. Pareb Zamari, 41, berkata, dia mewarisi bakat membuat labu sayong tersebut daripada bapanya.

“Semasa kanak-kanak, saya sudah pandai main tanah liat untuk membuat labu sayong, tetapi dahulu cara tradisional bukan macam sekarang yang telah diresapi sedikit sebanyak teknologi moden.

“Selepas saya habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memasuki Institut Kraftangan Perak kerana mahu serius dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui K2 dalam Kembara Media 2019 yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan baru-baru ini.

Mohd. Pareb yang juga pemilik Kz Kraf menjelaskan, pembuatan labu sayong dipercayai bermula dari zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah (1876-1938) di Perak.

Katanya, labu sayong mempunyai dua jenis iaitu labu sayong hitam dan labu sayong untuk perhiasan atau cenderamata yang berwarna coklat kemerahan.

“Suatu masa dahulu, labu sayong hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri.

“Selain itu, keistimewaan labu hitam ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh mengubati beberapa jenis penyakit. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan,” jelasnya yang mengusahakan kedua-dua teknik iaitu tradisional dan moden.

Menurutnya, labu sayong menekankan elemen semula jadi iaitu tanah liat dan menggunakan dua tangan dalam membentuknya menjadi tembikar. Bagaimanapun, seiring era moden, selain penggunaan tangan dalam pembentukannya, kini terdapat juga teknik pembentukan menerusi acuan.

Rekaan corak permukaan labu sayong pula dihiasi dengan motif alam sekitar seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan geometri sama ada dilukis, diukir atau ditebuk.

Jelasnya, labu sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana aspek penggunaannya semata-mata tetapi kerana keindahan nilai estetikanya.

Menurutnya, proses membuat labu sayong pada zaman dahulu agak rumit dan memerlukan ketelitian kerana segalanya dilakukan dengan tangan secara manual.

“Pada zaman dahulu, proses awal membuat labu sayong ialah menjemur tanah liat sehingga kering dan kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki.

“Tanah tersebut kemudian diayak atau ditapis sehingga menjadi seperti serbuk tepung sebelum dicampurkan dengan air lalu diperam selama lebih kurang satu hari supaya betul-betul sebati untuk melembut serta memudahkan proses pembuatannya agar senang dibentuk,” katanya.

Selepas dibentuk, katanya, labu sayong yang sudah terhasil dibiarkan selama satu hingga dua hari sebelum dibakar di dalam dapur yang dibina khas daripada batu-bata.

“Labu sayong perlu dibakar selama satu hari dengan api dikawal supaya masak sama rata dan tidak pecah. Sekiranya api terlalu panas, labu boleh pecah atau retak.

“Bagi labu sayong hitam, proses seterusnya adalah menghitamkan labu. Ia dilakukan dengan menanam labu yang masih panas dalam timbunan sekam padi dan dibiarkan beberapa ketika,” tuturnya.

Mohd. Pareb berkata, proses membuat labu sayong kini semakin mudah dan mengalami perubahan iaitu daripada menggunakan tangan sepenuhnya kepada penggunaan mesin menghancur dan membancuh tanah.

“Antara teknik moden yang digunakan adalah seperti teknik lemparan, penggunaan acuan serta sepuh.

“Setiap labu sayong yang dihasilkan memerlukan suhu pembakaran iaitu 900 darjah Celsius dan dibakar selama lapan jam,” katanya lagi.

Bangga

Tambah Mohd. Pareb, dia juga pernah mewakili negara bagi memperkenalkan produk itu kepada masyarakat di luar negara.

“Saya pernah terpilih untuk membuat pemasaran labu sayong di Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Britain.

“Bangga apabila orang luar menghargai produk kraf tangan kita. Mereka juga kagum tengok teknik pembuatan labu sayong,” katanya.

Sepanjang 30 tahun terlibat dalam pembuatan labu sayong, Mohd. Pareb pernah menerima pelbagai pengiktirafan.

Antaranya, tempat pertama Produk Kraf Terbaik 2006, Anugerah Produk Seramik Hari Kraf Kebangsaan 2014 dan Anugerah Pelancongan Perak 2012.

“Saya harap industri labu sayong ini akan lebih maju kerana kita boleh membawa produk ini ke luar negara.

“Kalau kita tidak meneruskannya mungkin warisan ini akan habis macam itu saja. Jadi saya dah mula terima pelajar yang mahu mempelajari pembuatan labu sayong di bengkel saya di kampung,” ujarnya.

Mohd. Pareb aktif dalam mempromosikan labu sayong dan porselin bersama Kraftangan Malaysia, Tourism Perak serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Jana pendapatan

Sementara itu, seorang penggiat labu sayong tradisional, Zulkafly Pandak Bedin, 71, berkata, selain perubahan teknik pembuatan, turut berubah ialah bentuk, corak dan ukiran labu sayong.

Bentuk asal labu sayong dihasilkan seperti bentuk buah gelugor.

Kini labu sayong dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pasaran seperti bagi kegunaan lampu perhiasan, cenderamata, pasu bunga dan sebagainya.

Selain itu, perusahaan seperti ini jumpa mampu menggamit pelancong untuk datang ke negeri Perak sekali gus menjana pendapatan industri kraftangan negara.

Menurutnya, rata-rata pelancong asing sudah mengenali labu sayong di sini dan mereka tidak melepaskan peluang untuk membelinya apabila berkunjung ke sini.

Pun begitu, beliau berasa kesal kerana generasi muda pada masa kini sudah tidak berminat untuk meneruskan perusahaan itu kerana mereka lebih selesa bekerja di pejabat.

“Apa yang membimbangkan saya ialah kemungkinan besar industri kraf tangan negara yang melibatkan labu sayong ini akan pupus jika tiada pewaris untuk meneruskannya. Negara dan warisan bangsa akan mengalami kerugian besar,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang pelajar Amira Suraya Nadia Abu Bakar, 20, berkata, dia yang meminati bidang seramik telah mengambil keputusan untuk mendalami pembuatan labu sayong di Kz Kraf.

“Saya ingin mempelajari dengan lebih mendalam mengenai ilmu seramik.

“Ia suatu yang harus dipelajari dan dipertahankan sebagai warisan, di samping saya dapat mengenali pelbagai jenis seramik,” katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

Dipercayai mula diusahakan pada era pemerintahan Sultan Iskandar Shah di Perak, dan pembuatan labu sayong masih diteruskan di Mukim Sayong, Kuala Kangsar dengan estetika buatannya dikagumi pelancong asing.