Keenakan yang ada pada buah tersebut juga membuatkan Muhammad Fadzil Faiz Rusli, 33, bagaikan tidak senang duduk apabila tibanya musim durian.

“Saya memang penggemar durian. Berbanding buah-buahan lain, durian ini mempunyai rasa yang sangat berbeza dan memberi kepuasan yang tersendiri kepada penggemarnya.

“Maka tidak hairanlah apabila tiba musimnya, saya akan pergi mencari buah ini untuk menikmatinya. Menghabiskan dua atau tiga biji durian untuk sekali makan tidak menjadi masalah kepada saya,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Jitra, Kedah baru-baru ini.

Tambah Muhamamd Fadzil Faiz, buah durian memang enak tetapi yang sering menjadi masalah untuk menikmatinya ialah harganya yang terlalu mahal.

Kadangkala untuk sebiji durian harganya boleh mencapai sehingga RM30 hingga RM50 sebiji bergantung kepada jenis buah tersebut.

Muhammad Fadzil Faiz yang berasal dari Jitra mengakui harga durian itu adakalanya membuatkan dia berfikir berkali-kali untuk membeli raja buah tersebut.

Kerana teringin untuk menikmati keenakan durian, dia dan beberapa rakannya baru-baru ini telah mengunjungi sebuah dusun durian di Felda Guar Napai, Jitra iaitu Dusun Bok 8000.

Rakannya menyatakan bahawa buah-buah durian yang baru gugur dari pokok ada dijual di dusun tersebut.

“Pada mulanya kami ingin membeli buah ini secara timbang, tetapi pemilik dusun memaklumkan mereka tidak menjualnya secara timbang.

“Sebaliknya pemilik dusun menggunakan konsep bufet kepada pengunjung yang datang untuk menikmati durian di dusunnya. Dengan bayaran sebanyak RM50 seorang, kami dapat menikmati buah durian di dusun ini sepuas-puasnya,” katanya.

Suasana

Muhammad Fadzil Faiz menegaskan konsep bufet yang dilakukan oleh pemilik dusun itu amat bersesuaian bagi mereka yang ingin menikmati durian sebanyaknya.

Penjualan durian berkonsepkan bufet di dalam dusun seperti di Dusun Bok 8000 suatu yang jarang boleh ditemukan.

Di dusun tersebut, aneka durian ditawarkan seperti udang merah, D99, D88, monthong dan lain-lain.

Bagi seorang lagi pengunjung, Nurul Faizah Jusoh, 33, berkata, berada di bawah kaki bukit Dusun Bok 8000 juga mencetuskan suasana yang mendamaikan semasa menikmati durian di situ.

Kongsinya, selain boleh menikmati durian, pengunjung juga boleh mengelilingi kawasan dusun itu dan melihat sendiri buah-buah durian yang masih melekat di dahan pokok.

“Pelbagai jenis durian boleh dinikmati. Durian di sini juga baik sekali isinya dan pemiliknya tidak kekok untuk menukar buah yang baharu jika ada isinya yang kurang elok.

“Bagi penggemar durian di utara Semenanjung khususnya di negeri Kedah, dusun ini merupakan tempat yang seharusnya anda kunjungi untuk menikmati durian sepuas-puasnya,” katanya.

Menjadi raja buah, durian digemari oleh kebanyakan lapisan masyarakat di negara ini.

Kulit luarnya yang berduri tajam pula biasanya berwarna hijau, hijau keperangan hingga kuning keperangan.

Pada permukaan kulit, terdapat empat hingga lima garisan pangsa yang sering dijadikan panduan untuk mengopek buah durian.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati buah durian sepuas-puasnya pada harga yang wajar telah mendorong Dusun Bok 8000 untuk menawarkan bufet durian di dusun tersebut.

Pengurus Dusun Bok 8000, Zaidi Nordin, 49, berkata, tidak dinafikan harga durian yang dijual di pasaran kini harganya boleh dikatakan agak tinggi.

Jelasnya, bagi mereka yang gemar akan keenakan buah durian mungkin terpaksa berbelanja sejumlah wang yang besar bagi menikmati raja buah tersebut.

“Oleh itu, bagi memberi kepuasan kepada penggemar buah durian ini, kami mengambil keputusan untuk menawarkan bufet durian di dusun ini.

“Dengan hanya RM50 seorang, mereka boleh menikmati beberapa jenis buah durian di dusun ini sepuas-puasnya,” katanya yang memberitahu bayaran RM30 dikenakan kepada kanak-kanak di atas 10 tahun dan percuma bagi bawah 10 tahun.

Tambahnya, penganjuran bufet durian tersebut baru kali pertama diadakan di dusun itu pada tahun ini.

Pada tahun-tahun sebelumnya, buah durian di dusun tersebut tidak dijual sebaliknya dinikmati oleh keluarga Zaidi sahaja atau mereka mengadakan kenduri dengan menjamu penduduk setempat dan sahabat-handai menikmati durian di dusun tersebut.

Jenis durian

Dusun Bok 8000 terletak di Felda Guar Napai dan perjalanan untuk ke situ dari pekan Jitra adalah sekitar 15 minit, manakala dari Alor Setar adalah sekitar 30 minit.

Zaidi menjelaskan, dusun tersebut adalah peninggalan orang tuanya dan kini diusahakan secara bersama dalam kalangan adik-beradiknya. Nama Bok itu merujuk kepada gelaran arwah bapanya dan 8000 adalah angka plat kenderaan ahli keluarga mereka.

Zaidi menjelaskan, keseluruhannya terdapat 300 pokok durian di dusun tersebut.

“Dusun ini berkeluasan 4 hektar dan terdapat lebih 10 jenis pokok durian yang ditanam. Antara durian itu termasuklah udang merah, D99, D88, 1010, monthong dan lain-lain lagi. Pokok-pokok durian jenis ini kesemuanya telah berbuah dan boleh dinikmati hasilnya. Bagi durian jenis musang king dan duri hitam pula ia baru saja ditanam pada tahun lalu dan masih belum membuahkan hasil.

“Durian udang merah misalnya, jika di pasaran, harganya sekitar RM30 untuk satu kilogram. Jika ambil dua biji mungkin harganya lebih daripada RM100. Tetapi di dusun ini, dengan hanya RM50 seorang, mereka boleh menikmati durian, bukan satu jenis, sebaliknya bermacam-macam jenis,” katanya.

Tambahnya, selain dimakan begitu sahaja, dusunnya juga menyediakan pulut untuk dinikmati bersama durian.

Kebiasaannya pokok durian di dusun tersebut akan berbuah pada bulan Jun sehingga Ogos.

Purata buah yang gugur sehari adalah sekitar 450 hingga 500 biji.

Menurutnya, pengunjung yang hadir juga boleh mengutip buah-buah durian yang gugur jika mereka ingin merasai pengalaman tersebut.

Menyentuh mengenai cabaran dalam mengusahakan dusun durian itu, Zaidi berkata, serangan penyakit dan ancaman binatang liar seperti monyet boleh merosakkan pokok-pokok durian.

Dalam pada itu, Zaidi menjelaskan, sambutan yang diterima dusunnya yang berkonsep bufet amat baik.

Tegasnya, walaupun tahun ini baru pertama kali diadakan konsep sedemikian, sambutan yang diterima oleh penggemar raja buah itu amat di luar jangkaan.

“Ada pelanggan yang datang dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati durian di sini,” ujarnya.