Nasi beriani memang menjadi hidangan wajib terutamanya pada hujung minggu. Malah, dia tidak pernah berasa bosan untuk menikmati hidangan dari negara India yang memang cukup terkenal itu.

“Paling seronok apabila tibanya bulan puasa kerana banyak bazar Ramadan menjual nasi beriani. Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk membeli nasi itu sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Pada hari raya pula, ia seakan-akan menjadi menu utama kebanyakan pemilik rumah untuk menjamu tetamu yang bertandang terutamanya pada majlis rumah terbuka,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di JM Bariani House Sdn. Bhd. (JM Bariani) di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut pemuda kelahiran Teluk Intan, Perak itu, biarpun terdapat lambakan kedai menjual nasi beriani, dia mengakui JM Bariani menjadi restoran pilihannya.

Ini kerana, selain terkenal di Malaysia, kedai itu juga menawarkan cita rasa asli nasi beriani dengan harga yang berpatutan.

Menurutnya, nasi beriani di restoran itu dimasak sempurna selain aneka lauk seperti beriani ayam, daging serta kambing yang begitu menepati cita rasanya.

“Nasi dimasak dengan baik dan teksturnya yang cukup lembut sesuai dimakan panas-panas bersama kuah dal.

“Susah untuk mendapatkan nasi beriani asli seperti ini di tempat lain dan JM Bariani memang menawarkan sajian terbaik kepada pelanggan pada setiap hari,” katanya yang menggemari nasi beriani kambing.

Sementara itu, Pengarah Urusan JM Bariani, Datuk Zulkarnain Mustapa, 51, berkata, ibu bapanya cukup meminati bidang masakan sehingga sanggup meninggalkan kerjaya tetap mereka dan berhijrah ke Shah Alam, Selangor bagi memulakan perniagaan.

Perkhidmatan katering



Tidak tertumpu pada restoran dan trak makanan sedia ada, mereka turut mempunyai perniagaan push cart JM Bariani.

Menceritakan detik awal berkecimpung dunia perniagaan, Zulkarnain memberitahu, dia membantu kedua-dua ibu bapanya berniaga selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal 1980-an.

Berbekalkan semangat tanpa berputus asa, kedua-dua ibu bapanya melebarkan sayap dengan cuba membuka perkhidmatan katering secara kecil-kecilan pada 1983 di sebuah gerai yang terletak di Seksyen 17, Shah Alam.

Rezeki daripada perniagaan katering itu cukup memberangsangkan tetapi mereka perlu mencari lokasi baharu yang bersesuaian supaya dapat menyiapkan tempahan mengikut kapasiti.

Pada masa sama, lokasi baharu itu mampu memberikan keselesaan serta mengekalkan kualiti makanan.

Sejak itu, bisnes mereka secara perlahan-lahan berjaya menambat hati masyarakat yang akhirnya membawa kepada pembukaan sebuah restoran di Jalan SS 18/6, Subang Jaya, Selangor pada 1993.

“Sebenarnya, pembukaan restoran ini tidak dirancang kerana ia dibuka atas permintaan pelanggan sendiri. Saya masih ingat, kami hanya mempunyai empat buah meja bersaiz sederhana ketika itu,” ujarnya.

Zulkarnain mengakui, pembukaan restoran itu dianggap sebagai satu nostalgia kerana ia merupakan restoran sulung keluarga itu.

Sehingga kini, daripada 15 cawangan dan satu push cart (gerai bergerak) yang dibuka di negara ini, hampir 100 menu disediakan di cawangan JM Bariani antaranya beriani biasa pelbagai lauk, mi bandung, mi rebus, rojak, nasi goreng dan kacang pol. Antara paling digemari pelanggan ialah fried ribs rosemary.

Trak makanan



PARA pengunjung tidak melepaskan peluang membeli nasi beriani berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

“Hanya di beberapa restoran mempunyai makanan ala carte seperti di Tesco Shah Alam dan Tesco Ampang mengikut permintaan pelanggan.

“Selain itu, JM Bariani juga telah mengembangkan perniagaan ke Medan, Indonesia pada Jun tahun lalu menerusi perkongsian dengan PT Royal Bariani Berjaya,” ujarnya.

Selain Zulkarnain, perniagaan itu turut diuruskan oleh dua orang adiknya iaitu Abdul Hafiz, 48, yang terlibat dalam pemasaran dan pengurusan manakala adik bongsu, Zul Atfi, 39, lebih kepada bahagian teknikal serta menjaga kualiti.

Bagi mengikuti arus pemodenan semasa, Zulkarnain memberitahu, mereka memperkenalkan trak makanan atau lebih dikenali sebagai food truck kepada para pelanggannya dengan cara dan inovasi terbaharu JM Bariani.

Sejak awal Februari lalu, trak makanan itu memulakan operasi di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Puncak Alam, Selangor.

Sejak diperkenalkan kepada umum, perniagaan melalui trak makanan itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggannya.

Malah, ada yang menyahut baik dengan konsep trak makanan yang diperkenalkan.

Tambah Zulkarnain, sasaran JM Bariani adalah untuk mengeluarkan sebanyak 10 hingga 15 buah trak makanan sebelum hujung tahun ini bagi menempatkan ia di beberapa lokasi strategik yang dijangka menjana ekonomi JM Bariani.

Sementara itu, pengurus salah sebuah trak makanan, Suffian Abdul Majid, 46, berkata, setiap hari dia akan mengambil makanan dari central kitchen JM Bariani di Subang Jaya dan memastikan jumlah yang diambil mencukupi.

“Sehingga kini, kami sudah mempunyai tiga buah trak makanan yang beroperasi setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang dan 4 petang hingga 7 malam di lokasi-lokasi tumpuan ramai.

“Antara menu yang dijual adalah beriani ayam kampung, beriani ayam, beriani daging, beriani kambing, set ayam daun kesum, set ayam goreng kampung dan set kari tulang kambing yang boleh didapati pada harga RM6.90 hingga RM15.90,” kongsi Suffian yang pernah bekerja dalam sektor korporat selama 25 tahun.

Jelasnya, nasi beriani yang dihasilkan oleh JM Bariani memiliki cita rasa dari Muar dan tekstur yang lebih ringan.

Resipi itu tidak mencampurkan terlalu banyak ramuan rempah, kurang berminyak dan kurang pedas supaya dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kebiasaannya pada hari biasa, saya mampu menjual sehingga 50 hingga 70 bungkus sehari, namun pada hari minggu pula, ia mampu mencecah jualan 80 hingga 100 bungkus sehari,” ujarnya.

Lelaki yang berasal dari Muar, Johor itu juga mengakui, nasi beriani Johor sememangnya mempunyai peminat tersendiri sehingga JM Bariani mengekalkan perniagaan tersebut sehingga ke hari ini.

Malah JM Bariani pula popular dengan menu utama nasi beriani dan beriani gam dengan lauk pauk seperti daging kambing, lembu dan ayam dimasak dengan rempah beriani yang diadun sendiri sejak turun temurun