Biarpun masih lagi mentah dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M), anak kelahiran Kampung Keroh, Kuala Krai, Kelantan itu enggan menoleh ke belakang selepas diberikan peluang untuk menggalas tugas tersebut.

Sebaliknya, pemain yang menyarung jersi bernombor 33 itu berkata, dia perlu bekerja lebih keras jika mahu terus melangkah jauh sebagai pemain profesional.

Menurut Nik Akif, saingan Liga Super menuntut ketahanan mental yang tinggi kerana ia adalah saingan yang cukup kompetetif.

“Liga Super jauh beza dengan Piala Belia dan Piala Presiden kerana ia menghimpukan pemain-pemain handalan dalam saingan Liga M.

“Mahu atau tidak saya perlu bersaing kerana inilah platfom terbaik untuk membangkan lagi bakat dalam sukan bola sepak,” katanya.

Nik Akif berkata, harapan tinggi yang diletakkan oleh penyokong TRW pada dirinya bukanlah satu tekanan, sebaliknya dijadikan sebagai motivasi.

Menurutnya lagi, dia perlu bersiap sedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk berdepan sekarang tekanan atau kritikan daripada penyokong jika gagal beraksi dengan baik.

“Sebagai pemain muda,saya tidak boleh melatah dengan mudah dalam apa jua situasi termasuklah dengan penyokong. Saya lebih suka jadikanya penyokong sebagai sumber inspirasi untuk membina kerjaya bola sepak lebih jauh.

“Bukan itu sahaja, saya perlu tenang kerana kritikan merupakan lumrah biasa dalam bola sepak,” ujarnya yang baru mencecah usia 19 tahun.

Nik Akif memberitahu, dia akan menggunakan pengalaman ketika menyarung jersi skuad Bawah 19 dan 23 tahun negara sebagai azimat untuk mengharungi saingan Liga M.

“Pengalaman yang saya dapat ketika mewakili skuad negara memberikan sedikit kelebihan untuk saya menyerap tekanan beraksi dalam Liga Super,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Kota Bharu dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.

Dalam pada itu, Nik Akif memasang impian untuk bergandingan dengan idolanya yang juga tonggak berpengalaman Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya dalam saingan Liga M musim ini.

Nik Akif berkata, dia cukup meminati kapten Kelantan itu yang disifatkan sebagai antara perancang tengah terbaik di negara ini.

“Bagi saya, Piya mempunyai kualitinya sebagai pemain tengah yang mampu membuat killer pass menarik sehingga mampu mengelirukan pihak lawan.

“Peluang berada dalam pasukan TRW akan saya manfaatkan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman dengan pemain berkenaan,” katanya.

Sebagai pemain muda yang masih mentah, Nik Akif berharap rakan-rakan sepasukannya yang lebih senior memberikan tunjuk ajar kepadanya bagi mengarungi cabaran dalam bola sepak tempatan.

“Sokongan rakan-rakan amat bermakna kepada saya untuk membina kerier sebagai pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

“Saya memerlukan menimba seberapa banyak pengalaman daripada pemain-pemain senior kerana bukan mudah untuk berjaya dalam bola sepak,” katanya.

Nik Akif berkata, dia turut mempunyai misi untuk terus menyarung jersi skuad negara selain membantu TRW mengharungi kancah liga domestik.

“Saya mahu memberikan aksi terbaik bersama Kelantan setiap kali diturunkan bagi memastikan nama saya terus tersenarai dalam pasukan kebangsaan.

“Untuk terus berada dalam skuad kebangsaan bukan mudah tetapi tidak mustahil sekiranya saya bekerja keras. Hanya, usaha dan komitmen tinggi mampu merealisasikan hasrat itu,” katanya.