Undang-undang Syariah di negara itu telah dilaksanakan selepas penangguhan selama beberapa tahun sebelum ia diputuskan untuk dikuatkuasakan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Ternyata, keputusan yang dibuat oleh Brunei itu bukan suatu berita gembira buat segelintir masyarakat dunia khususnya pertubuhan hak asasi manusia yang terus mengecam perkara tersebut.

Antara yang menyuarakan kecaman termasuklah pengacara popular, Ellen DeGeneres yang telah memuat naik status di Instagram mengajak orang ramai memboikot rangkaian hotel milik pemerintah Brunei itu di beberapa buah negara.

Namun, tindakan pengacara program bual bicara The Ellen Show itu telah menarik perhatian pengguna laman sosial dari Malaysia yang lantas ‘menyerang’ akaun Instagram milik selebriti antarabangsa itu.

Rata-rata pengguna laman sosial telah membidas tindakan Ellen itu dengan mengatakan bahawa keputusan yang dilakukan oleh pemerintah Brunei itu tidak ada kena-mengena dengan dirinya mahupun negara-negara lain.

Pada masa sama, netizen juga meminta pengacara itu untuk lebih sensitif dan melihat pada isu kemanusiaan yang lebih besar seperti peperangan yang berlaku di beberapa buah negara sehingga meragut ribuan nyawa.