Dalam satu rakaman video reaksi berdurasi selama tujuh minit, Ria yang juga merupakan adik kepada pendakwah dan pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi telah mencuba tiga jenis mi segera daripada jenama dan perisa berbeza termasuk satu jenama dari Indonesia yang dijual di pasaran Malaysia.

Menerusi reaksi terakhir dalam video tersebut, Ria telah mencuba mi segera berperisa tomyam dan telah memberikan reaksi wajah menjelikkan dan hampir termuntah ketika mencuba mi segera berperisa tomyam tersebut.

Menurut Ria, mi segera berperisa tomyam yang dimakan itu langsung tidak sedap dan terlalu pedas berbeza dengan mi segera yang terdapat di Indonesia dan menganggap mi segera dari negaranya adalah yang terbaik.

Apa yang membuatkan netizen Malaysia marah apabila mendapati cara penyediaan mi segera tomyam itu dibuat tanpa kuah sebaliknya perencah tomyam mi segera itu hanya digaul bersama mi dan dimakan seperti mi goreng.

Melalui komen-komen yang ditinggalkan netizen, rata-rata menegur perbuatan gadis itu sebagai tidak beradab dan kurang bijak kerana tidak membaca terlebih dahulu label cara-cara penyediaan mi segera berperisa tomyam itu.

Terdapat juga komen-komen daripada warga Indonesia sendiri yang berasa malu di atas tindakan Ria apabila memperlekehkan makanan daripada negara lain dengan menunjukkan reaksi yang kurang menyenangkan.