Bagaimanapun, baru-baru ini, heboh di laman sosial Facebook apabila Indonesia memperkenalkan satu siri animasi baharu iaitu Burik & Gepeng yang dilihat seakan-akan mirip dengan watak Upin dan Ipin.

Perkara tersebut seterusnya telah menjadi buah mulut netizen terutamanya pengguna laman sosial di Malaysia yang membidas tentang karakter tersebut yang dikatakan meniru watak Upin dan Ipin.

Berdasarkan watak yang diperkenalkan itu, karakter yang ditampilkan dalam siri animasi Indonesia itu kelihatan serupa dengan watak Upin dan Ipin yang cukup sinonim dengan imej berkepala botak manakala satu lagi karakter mempunyai rambut yang sedikit.

Perbezaan yang ditampilkan terhadap karakter berkenaan adalah dari segi warna kulit dan fizikal mereka yang kelihatan sedikit dewasa.

Persengketaan yang tidak berkesudahan antara Malaysia dengan Indonesia sering terjadi apabila negara jiran itu sering memperkatakan tentang budaya di Malaysia yang didakwa dicuri dari Indonesia.

Burik & Gepeng yang mula ditayangkan di Indonesia sejak tahun lalu sebenarnya diadaptasi daripada sebuah komik di ruangan akhbar Poskota sekitar tahun 1980-an hingga tahun 1990-an.

Namun, ia telah mendapat respons daripada rakyat Malaysia baru-baru ini selepas ia tular di laman Facebook.