Selain kagum dengan semangat dan ketulusan hati kanak-kanak tersebut membantu keluarganya mencari rezeki, pengguna media sosial itu turut tertarik dengan penyapu unik yang dijual oleh kanak-kanak tersebut.

Menurut Nizam, dia telah diberitahu oleh kanak-kanak tersebut bahawa, penyapu yang dijual itu dibuat sendiri oleh bapanya dengan menggunakan buluh untuk bahagian batang penyapu dan juga ijuk (serabut) daripada pelepah pohon enau atau kabung.

Kata Nizam, penyapu daripada ijuk serabut pohon enau itu telah mengingatkannya kepada peribahasa Melayu, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, yang bermaksud mementingkan diri sendiri atau tidak sepakat.

Walaupun peribahasa tersebut menggambarkan maksud yang tidak enak di dengar, namun masih terdapat pada bahagian pohon tersebut yang berguna dan mendatangkan faedah.

Selain daripada itu, Nizam turut kagum dengan teknik ikatan yang menggunakan kaedah simpulan pada bahagian serabut pelepah pohon enau tersebut yang dilihat begitu kreatif.

Kisah tersebut yang dikongsi dalam laman Facebook turut mendapat maklum balas pengguna laman sosial lain yang mendoakan agar kanak-kanak tersebut dan keluarganya dikurniakan rezeki yang luas.