Siaran radio terlebih dulu diperkenalkan iaitu pada 1 April 1946, manakala siaran televisyen hanya bermula pada penghujung tahun 1963.

Sejak mula beroperasi, rangkaian radio RTM banyak menyalurkan informasi selain hiburan kepada pendengar. Ini termasuklah banyak drama radio yang pernah mencipta populariti suatu masa dahulu.

Bagi pendengar yang kini sudah melewati usia 50 tahun dan ke atas, pastinya mereka begitu sinonim dengan deretan drama radio yang pernah menguasai dunia hiburan.

Antara faktor yang menjadi penyebab kepada fenomena dan populariti luar biasa yang tercipta itu adalah disebabkan tema serta konsep yang ditekankan dalam kebanyakan drama radio pada waktu itu.

Kisah isu semasa seperti pertanian, pendidikan dan kemajuan luar bandar sangat dekat dengan masyarakat yang pada waktu itu baru didedahkan dengan pembangunan negara moden.

Berikut Kosmo! menyenaraikan beberapa buah drama radio popular yang meninggalkan banyak memori kepada pendengar. Dalam masa sama, ia menjadi perintis kepada kewujudan banyak lagi drama lain yang menyusul selepas itu.

No. 5, Persiaran 1

“BOLEH saya tahu di mana rumah No. 5, Persiaran 1?”

“Oh rumah besar dua tingkat tu! Di sebelah kanan masjid, di depannya mini market.” Itu merupakan dialog yang cukup popular suatu ketika dahulu ketika drama radio berjudul No. 5, Persiaran 1 disiarkan di RTM. Tidak dinafikan drama itu menjadi fenomena kerana ia menjadi bentuk hiburan terbaru pada tahun tersebut. Kehebatan drama itu mencipta populariti luar biasa apabila ia disiarkan selama 13 tahun sehingga 1987. Ia dijayakan oleh barisan pelakon seperti Atan Wahab, Che Om Dahari, Fatimah Yassin, Mohd. Latiff Mahidin dan Zuraidah Musib. Malah lebih manis, gelaran Encik Aman dan Abah terus melekat pada diri pelakon utama drama itu iaitu Atan Wahab sehingga ke hari ini.

Fajar di Bumi Permata

Selain drama No. 5, Persiaran 1, sebuah lagi drama iaitu Fajar di Bumi Permata turut mencipta populariti tersendiri ketika disiarkan sekitar era 1970-an. Salah seorang pelakonnya iaitu Ahmadi Hassan yang memegang watak Pak Chat turut menerima tempias populariti itu apabila sehingga kini dirinya digelar Pak Chat biarpun sudah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2010.

Kebun Pak Awang

Sebuah lagi drama yang cukup popular dalam kalangan pendengar adalah Kebun Pak Awang. Ia diterbitkan sekitar 1960-an hingga awal 1970-an sebagai membantu usaha kerajaan melaksanakan proses pembentukan sikap dan semangat rakyat sesuai dengan era negara baru mencapai kemerdekaan. Watak-watak utama yang popular dalam drama ini ialah Pak Awang (Allahyarham Abu Bakar Ahmad), Mak Iti (Allahyarham Siti Hawa Zain), Sahak (Allahyarham Ishak Ubah), Karupayah (Allahyarham Ibrahim Din) dan Seman (Ibrahim Othman). Populariti yang diraih drama ini bukan calang-calang kerana ia terdapat dua sekuel yang dihasilkan selepas itu iaitu Anak Pak Awang dan Cucu Pak Awang.