Wanita bertubuh kurus dan berkulit gelap itu sebaliknya sibuk memeriksa saki baki binaan kediamannya, bimbang terdapat bahagian lain yang mungkin berpotensi musnah dibawa badai ombak.

Fikirannya tidak pernah tenteram sejak tiga buah bilik tidurnya hilang dibawa arus tahun lalu membuatkan struktur rumahnya tidak stabil dan cukup membahayakan.

Quoh dan keluarganya masih menjadikan rumah tidak berdinding dan bertiang serta berbilik sempurna itu sebagai tempat berlindung mereka sekeluarga kerana kemiskinan.

“Apa kami boleh buat? Tiada siapa tampil membantu,” keluhnya kecewa.

Begitulah nasib malang ribuan penghuni di West Point yang kebanyakan penduduknya bekerja sebagai nelayan dan tinggal berdekatan Lautan Atlantik.

Menurut Persatuan Mangsa Bencana Liberia, sejak lima tahun lalu kira-kira 800 buah rumah di kawasan tersebut musnah akibat peningkatan paras air laut dan hakisan.

Situasi tersebut sekali gus membuatkan lebih 6,500 orang kehilangan tempat tinggal masing-masing.

Lebih menyayat hati, mereka sama sekali tidak dibantu dan akhirnya terpaksa menumpang di rumah saudara-mara, berlindung di gereja malah tidur di pasar untuk tidur dan berehat.

Kebanyakan mangsa juga berdepan masalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan yang cukup sehingga terpaksa mencatu dan berlapar.

Mimpi ngeri

“Kami makan hanya satu setengah cawan beras setiap hari memandangkan sekarang tinggal di rumah saudara yang juga mempunyai keluarga yang besar. Sedangkan kami kebiasaannya memasak tujuh cawan beras sehari untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kongsi Daniel Grant, seorang lelaki berusia 71 tahun yang lima rumah sewanya musnah akibat hakisan tahun lalu.

Tidak sempat merasai hidup lebih tenteram selepas pulih daripada dua peperangan sivil selama 14 tahun yang berakhir pada tahun 2003, penduduk sentiasa berdepan kepayahan dan kesulitan.

“Selepas perang, kami dilanda wabak Ebola selama lebih dua tahun dengan korban hampir 5,000 orang.

“Kini, kami terancam dengan penyakit berjangkit termasuklah batuk kering,” luah Grant.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Marie Samulkai, 48, meluahkan betapa moralnya sebagai ibu dan ketua keluarga merudum selepas rumah besar yang dihuni 11 orang ahli keluarganya hilang begitu sahaja dibawa ombak.

“Rumah tersebut digunakan sebagai gerai yang menjual pelbagai barangan runcit dan minuman serta merupakan sumber pendapatan utama kami.

“Namun, pada suatu malam kira-kira empat tahun lalu, kami tinggal sehelai sepinggang dengan tiada satu pun kelengkapan rumah, keperluan mahupun bekalan makanan dapat diselamatkan,” ceritanya.

Ironinya, penderitaan yang ditanggung sebahagian penduduk di Liberia bagaikan satu mimpi ngeri berpanjangan. Selain berputus asa, sikap pihak kerajaan yang dianggap sambil lewa terhadap masalah dihadapi mereka cukup mengecewakan mereka.

Meskipun baru-baru ini, Presiden Liberia yang baharu, George Weah, menyatakan komitmennya untuk membina 2,000 buah rumah moden untuk mangsa di kawasan tersebut, penduduk di West Point sama sekali tidak teruja.

Janji palsu

Bagi mereka, telah banyak yang dijanjikan kerajaan kini dan terdahulu. Terlalu banyak ‘rumah impian’ langsung tidak terbina, begitu juga bantuan makanan dan keperluan yang tidak pernah kunjung tiba.

“Dua tahun lalu, bekas Presiden, Ellen Johnson Sirleaf ada mengunjungi kami di West Point. Beliau membawa makanan dan pakaian serta berjanji untuk membina rumah dan perkampungan baharu yang di kawasan jauh dari pantai.

“Kira-kira 30 buah keluarga dipindahkan ke sebuah struktur binaan persis khemah sementara rumah tersebut siap dibina. Sehingga kini, masih ada yang tinggal di khemah tersebut, namun tiada sebuah rumah pun berjaya disiapkan,” jelas Samulkai.

Meskipun tidak menaruh harapan tinggi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik, penduduk termasuk Grant, Quoh dan Samulkai berkata, pihaknya berhasrat memberi cadangan kepada Presiden Weah untuk menyambung projek perumahan yang tergendala.

“Laut semakin hampir hari demi hari. Kami semakin hilang harapan terhadap persekitaran dan kerajaan, namun tidak kepada Tuhan,” doa Quoh. 
– Reuters