Walaupun sangat riang melompat, namun kawasan cimpanzi itu sempit dan kekurangan habitat semula jadi di kawasan zoo yang tertua di benua Afrika itu.

Kurungan cimpanzi itu terletak di bawah sebuah pokok besar. Lokasi Zoo Giza ialah di tengah-tengah ibu kota Mesir.

Kanak-kanak yang mengunjungi zoo berkenaan melontar dan memberikan potongan buah-buahan kepada beberapa ekor cimpanzi dan cuba untuk mendapatkan reaksi lucu daripada haiwan berkenaan.

Di satu sudut ruang yang lain, sebilangan kanak-kanak mengelilingi seekor gajah bernama Naima. Naima sedang mengangkat belalainya untuk penjaga zoo memberikannya makanan.

“Sebenarnya, kami berharap persekitaran semula jadi untuk mencipta satu suasana yang baik bagi haiwan-haiwan ini.

“Adalah tidak normal buat seekor gajah untuk tinggal di satu ruang sempit dan tanah yang amat keras,” kata Mona Khalil yang mengetuai masyarakat Mesir untuk mendapatkan kesejahteraan terhadap haiwan-haiwan itu.

Disebabkan ruang yang sangat terhad bagi haiwan-haiwan jagaan di zoo itu, Zoo Giza telah kehilangan akreditasinya daripada Persatuan Zoo Dunia dan Akuarium pada tahun 2004.

Zoo tersebut telah dibina pada tahun 1891 tidak lama selepas perasmian Terusan Suez dan kawasan meliputi lebih kurang 344,000 meter persegi serta ditanam dengan pelbagai jenis pokok eksotik dari luar negara.

Ambil gambar

Di kawasan tengah zoo berkenaan turut dibina jambatan gantung logam yang direka oleh Gustave Eiffel iaitu ketika Mesir berusaha ke arah kemajuan moden dan saintifik.

Menurut Mohammed Rajai yang mengetuai pihak berkuasa pusat kerajaan untuk tapak-tapak zoo tersebut, ia mempunyai sekitar 4,500 ekor haiwan daripada 28 spesies.

Salah satu amalan yang tidak baik malah menerima kritikan hebat ialah unit fotografi zoo berkenaan yang telah menyewa jurugambar untuk mengambil gambar-gambar orang ramai bersama haiwan-haiwan jagaan.

“Para pengunjung boleh mengambil gambar mereka bersama dengan burung hantu ataupun singa malah haiwan-haiwan yang lain.

“Situasi ini sebenarnya melanggar piawaian untuk penjagaan haiwan,” kata Khalil. Selain menimbulkan ancaman kepada para pengunjung, mereka juga boleh menyebarkan penyakit kepada haiwan. Namun, apa yang pasti, perubahan memerlukan dana tinggi. Dianggarkan setiap pekerja di zoo berkenaan menerima bayaran sekitar AS$20 (RM81) dan AS$57 (RM231) sebulan,” ujarnya.

“Saya sedang mencari pekerjaan lain kerana tidak mampu untuk menanggung kehidupan harian dengan gaji yang saya terima,” kata Khaled Oweis yang telah bekerja di Zoo Giza selama 22 tahun.

Para pekerja zoo berkenaan menerima bayaran dengan membenarkan para pengunjung untuk berinteraksi bersama haiwan-haiwan di dalam zoo berkenaan sekali gus melanggar peraturan zoo.

Di dalam sebuah bangunan kecil yang dihuni oleh seekor hyenas, tindakan seoranza menggunakan tongkat bagi menimbulkan rasa gentar terhadap haiwan berkenaan. Dianggarkan terdapat kira-kira 150 orang pekerja di zoo berkenaan dan pihak pengurusan merancang untuk menambah bilangan pekerja mereka.

Rajai berkata, belanjawan tahunan zoo berkenaan ialah antara AS$700,000 (RM2.84 juta) hingga AS$850,000 (RM3.45 juta) dan diraih melalui jualan tiket sebagaimana zoo-zoo lain di seluruh dunia.

“Kebanyakan anggaran belanjawan itu dikhususkan untuk makanan haiwan,” kata Rajai. Kementerian Pertanian di negara itu tidak berupaya untuk membantu masalah kewangan zoo berkenaan.

“Terdapat beberapa penambahbaikan terhadap zoo berkenaan seperti proses pembersihan dan pemotongan rumput. Zoo berkenaan juga merancang untuk memulakan program pembiakan dan menjual beberapa haiwan untuk memberikan ruang yang lebih luas dan besar,” jelas Rajai.

Destinasi kegemaran

Kira-kira 1.5 juta penduduk Mesir dan 200,000 warga asing telah melawat zoo berkenaan. Dianggarkan sebanyak 84,000 pengunjung telah melawat zoo tersebut khususnya pada musim cuti persekolahan dan musim bunga.

Bagi kebanyakan penduduk, zoo berkenaan merupakan destinasi kegemaran untuk dikunjungi bersama keluarga dan anak-anak.

“Apa yang penting ialah harga tiket yang berpatutan terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu khususnya di negara ini,” kata Mohammed Khalaf.

Menurut statistik rasmi negara tersebut, kira-kira 28 peratus daripada 94 juta penduduk Mesir hidup di bawah garis kemiskinan. – AFP