Awal Februari lalu, seekor tapir Malaya jantan ditemui mati dipercayai dilanggar di Jalan Kuala Terengganu-Kemaman berhampiran Kampung Labohan, Kemasik di Kemaman, Terengganu. 
Kejadian yang sama berlaku pada 26 Ogos lalu membabitkan dua ekor tapir Malaya. Kedua-duanya ditemui mati dengan kesan luka pada kepala dan perut di atas jalan raya di Jalan Kuantan-Chukai di Kuantan, Pahang.
Sementara itu, pada November lalu, seekor tapir Malaya dewasa yang melintas Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mati selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Axia. 
Pada 13 Disember lalu, seekor lagi tapir Malaya seberat 100 kilogram mati dirempuh kereta di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan.
Selain tapir, beruang matahari dan gajah juga menerima nasib yang sama apabila dirempuh kenderaan di lokasi berbeza iaitu di Kilometer 347.5 di (LPT2) pada 25 Disember lalu dan di Kilometer 59, Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak. 
Dalam kejadian yang lain, seekor gajah ditemui mati dipercayai ditembak oleh pemburu haram di kawasan Sungai Segama, Lahad Datu, Sabah pada Januari lalu.
Sementara itu, penyu juga menjadi mangsa apabila 107 ekor tujuh penyu ditemui dalam keadaan perut terburai di Pulau Mabul dan Pulau Bum-Bum di Semporna, Sabah pada Oktober lalu.