Biarpun istilah itu diguna pakai secara meluas sejak kebelakangan ini, rekod vegetarian terawal dicatatkan ialah pada abad ketujuh Sebelum Masihi lagi semasa Tamadun Lembah Indus.

Sejak itu, gerakan vegetarian atau vegetarianisme perlahan-lahan menular ke seluruh pelosok dunia termasuk Britain.

Pada tahun 2016, angka golongan vegan di Britain hanyalah sekitar 540,000 orang sahaja.

Bagaimanapun, laporan tinjauan comparethemarket.com baru-baru ini mendedahkan, terdapat peningkatan signifikan terhadap jumlah individu yang mengamalkan diet vegan yang melibatkan lebih 3.5 juta rakyat Britain.

Berdasarkan laporan itu, dianggarkan tujuh peratus daripada populasi Britain menghindari sepenuhnya produk berasaskan haiwan demi kehidupan yang lebih baik.

Kesedaran

Pensyarah Alam Sekitar Kolej Gresham, Prof. Carolyn Roberts menyokong statistik tersebut dengan menjelaskan, kesedaran alam sekitar dalam diri masyarakat mendorong kepada peningkatan diet vegan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia juga merupakan alternatif paling mudah dalam mengurangkan kesan karbon.

Katanya, perubahan dalam diet itu disifatkan lebih memberikan manfaat kepada alam sekitar berbanding langkah mesra ekosistem lain seperti mengurangkan petrol serta penggunaan kenderaan diesel.

“Makanan merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau dunia.

“Sekiranya semua pemakan daging bertukar kepada diet vegan, ia dianggar dapat mengurangkan sehingga separuh daripada peratusan pelepasan gas rumah hijau berkaitan makanan,” jelasnya.

Antara alasan ramai individu yang bertukar rejim diet kepada vegan adalah disebabkan menentang kekejaman terhadap haiwan, pencemaran daging haiwan ternakan, menyelamatkan alam dan gaya hidup lebih sihat selain makanan vegetarian lebih enak.

Sebilangan pakar beranggapan, buah nangka berpotensi diketengahkan sebagai menyahut perkembangan trend vegetarianisme.

Hal ini kerana rasa isi buah tersebut yang telah masak selain teksturnya yang bersirat, tidak ubah seperti daging lembu.

Nangka atau nama saintifiknya Artocarpus heterophyllus merupakan keluarga zaitun, mulberi dan sukun (Moraceae).

Buah itu dikatakan berasal dari selatan barat India dan berkembang sehingga ke Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Buah nangka boleh membesar sehingga 90 sentimeter dengan berat mencecah 50 kilogram.

Menu moden

Setakat ini, Kerala, India merupakan pengeluar terbesar buah nangka di dunia. Maka, tidak hairanlah, jumlah restoran vegetarian yang menyajikan hidangan berasaskan nangka semakin meningkat di seluruh dunia.

Bahkan, ia hadir dalam variasi menu moden yang pelbagai seperti burger dan piza.

Baru-baru ini, rantaian restoran utama Gourmet Burger Kitchen (GBK) melancarkan burger vegan nangka baharu sebagai memenuhi permintaan perkembangan makanan berasaskan tumbuhan.

Ketua Pegawai Pemasaran GBK, Jay James berkata, burger Jack-in-a-bun itu hadir dengan pai berinti nangka Korea, mayonis ubi bit, ditaburi jeruk bawang selain dihidangkan bersama ban doh masam.

“Kami sentiasa mahu menambah baik menu dan menawarkan burger menarik serta segar kepada pelanggan.

Buah eksotik

“Kami yakin pelanggan pasti mahu mencuba ramuan baharu yang dihasilkan dan merasai pengalaman unik itu.

“Jack-in-a-bun ini dihasilkan untuk golongan vegan pencinta burger namun pada masa sama ia boleh dinikmati oleh pelanggan yang mahu mencuba trend makanan baharu ini,” ujarnya.

Burger tersebut terdapat di rantaian restoran GBK seluruh negara pada harga hanya AS$11.60 (RM48.40).

Walaupun buah nangka dikatakan sesetengah orang di Britain sebagai buah berbau busuk dan berkulit keras, ia mendapat permintaan cukup tinggi.

Isi buah nangka berwarna kuning terang manakala dari segi rasa pula, buah nangka yang telah matang memiliki rasa yang manis.

Selain GBK, rangkaian makanan segera Pizza Express juga menggunakan nangka dalam menu mereka untuk golongan vegetarian dikenali sebagai piza Puttanesca.

Piza tersebut dihiasi hirisan buah nangka yang diperap sos tradisi Puttanesca selain menampilkan tomato, zaitun, bawang putih dan herba asli.

Kata Cef Eksekutif Hotel Howard Johnson, Mani Mohan Pathak, nangka merupakan buah eksotik yang cukup versatil.

Menurutnya, bukan isi buah nangka itu sahaja yang boleh memberi manfaat kepada peminat diet vegan.

“Buah nangka ini boleh dianggap sebagai raja buah-buahan kerana versatilitinya.

“Malah, biji dan putiknya itu juga boleh dimasak dan dihidangkan menerusi cara penyediaan yang pelbagai.

“Ini merupakan masa terbaik untuk menghasilkan produk kreatif berasaskan gastronomi untuk dinikmati seluruh lapisan masyarakat,” kongsinya.

Jurulatih Kesihatan, Mariam Begg berkata, populariti buah nangka yang semakin melonjak itu bukan sahaja memberi manfaat kepada tukang masak malah, menyumbang kepada tahap kesihatan masyarakat yang bermutu.

“Nangka merupakan pemanis semula jadi menjadikan buah tersebut alternatif terbaik sebagai pemanis mulut rendah kalori.

“Ia juga buah yang tinggi kandungan vitamin, mineral, karbohidrat, elektrolit dan protein.

“Maka tidak hairanlah, buah nangka kini menjadi perhatian masyarakat seluruh dunia bagi yang celik kesihatan, termasuk di Bengaluru,” jelasnya.

Dikomersialkan

Sementara itu, blogger makanan, Nikhilesh Murthy berkata, buah nangka suatu masa dahulu digunakan secara meluas dalam hidangan tradisi Malayalam dan Tamil.

Menariknya, buah eksotik itu kini dikomersialkan secara meluas dan menerima permintaan yang tinggi.

“Buah nangka semakin mendapat perhatian masyarakat disebabkan peningkatan budaya vegan di seluruh dunia.

“Ia merupakan suatu usaha yang wajar diketengahkan kerana secara tidak langsung, martabat buah-buahan tempatan dapat diangkat ke dalam dapur komersial,” ujarnya.