SELEPAS menerima tawaran untuk menyertai projek pertanian di Ladang Bersepadu Nanas Rompin (RIPP) yang diwujudkan di Jalan Muadzam Shah-Kuala Rompin, Rompin, Pahang, Mohamad Faez Hashim, 29, tidak berfikir panjang lagi.

Dia yang ketika itu sedang berkhidmat di sebuah syarikat swasta terus mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya baharunya itu.

“Saya diberikan tanah seluas 0.4 hektar bagi menjalankan projek tanaman nanas.

“Malah, saya dan peserta lain turut diberikan pelbagai bentuk latihan terutama mengenai kaedah penanaman nanas.

“Saya tidak menyesal memilih bidang pertanian sebagai kerjaya kerana saya tahu, ia menjanjikan pulangan yang lumayan jika dilaksanakan dengan cara yang betul,” katanya yang menyertai skim tersebut sejak Disember 2015.

Dia yang merupakan anak jati Rompin turut memberitahu, walaupun tanaman tersebut hanya boleh dituai dalam tempoh antara 12 hingga 15 bulan selepas ditanam, namun pulangan yang diterima agak lumayan.

Malah, dia turut mengakui sudah jatuh cinta terhadap bidang pertanian dan bercadang untuk menambah keluasan kawasan tanaman pada masa hadapan.

Perkara sama turut dinyatakan seorang lagi petani muda, Mohamad Hakeem Mohamad Salim, 26. Dia sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan sanggup meninggalkan kerjaya lamanya untuk bergelar petani.

Dengan menanam kira-kira 200,000 pokok nanas di kawasan tanah seluas 0.4 hektar, dia mampu meraih pendapatan kasar melebihi RM200,000 semusim.

“Jika saya meneruskan kerjaya lama, tidak mungkin saya mampu meraih pendapatan sebanyak ini.

“Tetapi, menjadi petani bukanlah satu kerjaya yang mudah. Saya perlu memulakan kerja-kerja di ladang seawal pukul 8 pagi setiap hari dan terpaksa menahan panas terik matahari berjam-jam lamanya semata-mata untuk memastikan tanaman tumbuh sempurna dan mampu menghasilkan buah yang berkualiti,” katanya.

Jelasnya, rutin harian yang dilakukan di ladang nanas miliknya itu melibatkan kerja-kerja membaja, merumput, meracun dan mengumpulkan sulur iaitu anak benih pokok nanas dengan dibantu oleh tiga lagi pekerjanya.

Projek RIPP merupakan inisiatif Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang dilaksanakan dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Kerajaan Negeri Pahang untuk merancakkan pengeluaran hasil pertanian itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bagi fasa satu perlaksanaannya, seluas kira-kira 600 hektar tanah milik LPNM di kawasan tersebut telah diperuntukkan untuk penanaman nanas varieti MD2 dengan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn. Bhd. (RIPI) telah dilantik sebagai syarikat peneraju dan diberi sebahagian besar kawasan untuk dijadikan kawasan tanaman.

Daripada jumlah itu juga, sebanyak 100 hektar telah dikhaskan kepada Koperasi Orang Asli Kampung Tanam Berhad, manakala lapan hektar lagi diperuntukkan kepada 20 petani kontrak.

Sebagai tambahan, setiap petani kontrak turut diberi bantuan permulaan sebanyak RM300,000 meliputi kos bagi pembelian 200,000 anak benih pokok nanas selain peralatan dan keperluan lain yang berkaitan bagi musim pertama penanaman.

Bagi musim kedua dan seterusnya, petani hanya perlu menanggung kos baja, racun dan gaji pekerja sahaja. Anak benih pokok atau sulur diperoleh daripada pokok nanas sedia ada.

Komersial

Mengulas lanjut mengenai projek tanaman nanas tersebut, Pengarah LPNM Negeri Pahang, Ary Putra Tajuddin berkata, agensi itu telah diberi tanggungjawab sebagai pelaksana bagi memastikan RIPP mampu mengeluarkan nanas berkualiti tinggi untuk pasaran eksport.

Selain pembukaan kawasan ladang nanas baharu yang luas, kawasan RIPP juga turut mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur termasuklah sebuah kompleks pengeluaran dan memproses nanas, ruang pejabat, kediaman kakitangan LPNM serta dewan serbaguna.

“Antara objektif utama projek RIPP dilaksanakan adalah untuk memastikan pengeluaran nanas premium daripada varieti MD2 bagi tujuan eksport mampu mencapai sasaran 10,000 tan metrik setahun.

“Malah, RIPP juga diharapkan dapat menarik minat pelaburan swasta dalam pengeluaran nanas berskala komersial,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan projek ini juga bertujuan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi serta meningkatkan nilai dan kualiti kehidupan masyarakat setempat khususnya Orang Asli dengan menjadi peserta projek dan petani kontrak. Nanas MD2 telah dipilih memandangkan ia merupakan varieti berkualiti premium dan mendapat permintaan tinggi untuk pasaran eksport.

Malah katanya, varieti MD2 juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding varieti nanas lain. Nanas MD2 varieti import yang berasal dari Filipina ini mempunyai rasa yang manis. Harganya di pasaran tempatan antara RM4 hingga RM15 sekilogram mengikut saiz memberi pulangan lumayan kepada petani. Sebahagian besar pengeluaran nanas di RIPP dipasarkan secara segar manakala sebahagian kecil diproses sebagai produk hiliran.

RIPI bertindak sebagai pihak yang akan melakukan kerja-kerja penggredan dan pemeriksaan kualiti buah nanas yang petik dari ladang termasuk daripada petani kontrak.

Berdasarkan rekod sejak Ogos 2015 sehingga Oktober tahun lalu, RIPP telah berjaya mengeluarkan kira-kira 3,308 tan metrik nanas segar dengan nilai pasaran mencecah sehingga RM1.94 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,188 tan metrik telah dieksport ke Jepun, diikuti oleh Asia Barat (36.14 tan metrik), China (35.25 tan metrik) dan Korea Selatan (26.16 tan metrik).

“Menerusi projek RIPP ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah pengeluaran nanas negara bagi pasaran eksport, tetapi juga mampu menjana pendapatan tambahan kepada 88 buah keluarga Orang Asli Kampung Tanam yang merupakan ahli koperasi,” kata Pengurus Operasi RIPP, Mahadi Abdullah.

Perkara itu diakui seorang petani kontrak daripada masyarakat Orang Asli suku Jakun, Aheng Pak Aling, 58. Kewujudan projek RIPP telah banyak mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Jika dahulu masyarakat Orang Asli di situ hanya bergantung kepada hasil hutan untuk menyara kehidupan, namun kini sebahagian besar daripada mereka yang mendiami Kampung Tanam telah bekerja di RIPP sama ada sebagai petani kontrak mahu pun pekerja.

“Kini, kami sudah mempunyai pendapatan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Selain menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli, mereka turut menyediakan kemudahan pengangkutan dari kampung ke kawasan ladang bagi memudahkan pergerakan pekerja setiap hari,” katanya.