“Sejujurnya, saya mungkin tidak akan sesekali menaiki bas untuk ke mana-mana selepas ini kerana cukup trauma,” ujar Deepak Sondhi dalam nada yang perlahan.

Sondhi merupakan salah seorang penumpang yang terselamat dalam kemalangan sebuah bas yang terbabas lalu terjatuh ke sebuah gaung sedalam 200 meter di Uttarakhand, India, Ahad lalu.

Mengimbau kembali detik menakutkan itu, Sondhi berkata, dia cukup bersyukur kerana terselamat daripada insiden tersebut kerana dia turun di sebuah stesen sebelum kejadian bas tersebut terjunam ke dalam gaung.

“Saya menaiki bas tersebut yang menuju ke Ramnagar.

“Sebaik sahaja ia berhenti di stesen Nainadanda, saya turun daripada bas tersebut memandangkan saya memang mahu ke sebuah kedai di Nainadanda untuk membetulkan televisyen saya yang rosak.

“Beberapa minit selepas turun, saya diberitahu oleh seorang lelaki di kedai itu bahawa bas tersebut telah terbabas sebelum jatuh ke dalam sebuah tebing curam dan mengorbankan 48 penumpang, manakala 10 yang lain cedera,” ujar Sondhi.

Terselamat

Lelaki berusia 33 tahun itu juga berkata, semasa berada di dalam bas itu, dia berasa tidak sedap hati, namun hanya mendiamkan diri sehingga tiba di destinasinya.

Sebaik sahaja menerima berita tentang kemalangan tersebut, Sondhi bersyukur kerana terselamat, namun mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Pada pagi Ahad lalu, sebuah bas milik persendirian dalam perjalanan dari Bhoan menuju ke Ramnagar.

Ketika kejadian, bas dengan 28 tempat duduk itu membawa 58 orang penumpang dan selepas menurunkan seorang penumpang di stesen Nainadanda, ia meneruskan perjalanan seperti yang dijadualkan.

Begitu pun, sebaik sahaja tiba di Kampung Gween, Dhumakot, pemandu bas dipercayai cuba untuk mengelak lubang di atas jalan.

Akibat mengelak daripada lubang itu, bas tersebut telah terbabas lalu terjatuh ke dalam sebuah gaung mengakibatkan 48 penumpang maut, manakala 10 yang lain cedera.

Bumbung tertanggal

Akibat kejadian itu, bahagian bumbung bas tersebut tertanggal daripada badannya.

Pasukan keselamatan berjaya mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dan mereka dibawa ke Hospital di Ramnagar dan Haldwani untuk bedah siasat.

Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat yang melawat kawasan tragedi melahirkan rasa sedih atas kemalangan yang berlaku.

Beliau juga mengumumkan sumbangan berjumlah Rs2 lakh (RM810,000) kepada waris mangsa yang kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan itu.

Selain itu, Presiden India iaitu Ram Nath Kovind juga turut meluahkan rasa sedih atas insiden terbabit di akaun Twitternya.

“Saya amat sedih sebaik sahaja diberitahu tentang kemalangan bas di Uttarakhand. Pasukan keselamatan dan orang awam sedang membantu untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” tulisnya pada petang Ahad lalu.

Kemalangan bas tersebut merupakan antara yang terburuk pernah terjadi di Uttarakhand.

Sebuah bas milik persendirian di India terbabas lalu terjatuh di sebuah gaung curam sedalam 200 meter Ahad lalu mengorbankan 48 nyawa, manakala 10 lain tercedera.