Selain dianggotai oleh ahli-ahli perubatan bertauliah, MyAid Malaysia turut disertai oleh mereka yang bukan berlatarbelakangkan bidang perubatan untuk sama-sama bergerak menjayakan misi program yang mereka sertai.

MyAid Malaysia pertama kali ditubuhkan ketika negara gempar dengan kejadian banjir buruk yang menenggelamkan sebahagian besar negeri di kawasan Pantai Timur Semenanjung pada tahun 2014.

Diasaskan oleh Dr. Mohd. Naza­luddin Mat Nazir, penubuhan MyAid Malaysia bermula daripada idea sebahagian ahli-ah­linya yang terdiri daripada mahasiswa jurusan perubatan yang menuntut di Indonesia.

Menurut seorang anggota aktif MyAid Malaysia, Dr. Anis Adilah Izzati Azizan, 26, ketika itu, anggota dalam MyAid Malaysia hanya terdiri daripada kenalan dalam kalangan pelajar Malaysia di negara itu.

“Aktiviti sukarelawan ini tercetus daripada idea untuk berkumpul sesama pelajar dan membuat kerja-kerja amal ketika di Indonesia,” tutur Anis.

Program bergerak

Apabila pulang ke Malaysia, timbul kesedaran untuk mencurahkan bakti kepada tanah air sendiri ke­rana ketika di Indonesia, Anis dan rakan-rakan yang lain selalu turun padang membantu kerja-kerja amal apabila berlaku bencana alam se­perti banjir dan sebagainya.

MyAid Malaysia melancarkan program pertamanya di Kelantan sewaktu negeri tersebut dilanda banjir buruk pada tahun 2014 walaupun ahli yang turut serta ketika itu seramai 10 orang sahaja.

Pada tahun 2015, MyAid Malaysia secara rasmi telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan sah dan aktiviti yang dianjurkan semakin berkembang dan dipelbagaikan.

MyAid Malaysia kini sedang menjalankan program yang dipanggil Healthy Walkabout-Jelajah Parlimen, iaitu sebuah program bergerak yang dilakukan di kampung-kampung sekitar Semenanjung Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada bulan Ogos 2017 lalu, Healthy Walkabout-Jelajah Parlimen telah pun menjelajah ke tujuh buah tempat antaranya di Balik Pulau, Pulau Pinang; Kuala Kedah, Kedah; Bera, Pahang; Lumut, Manjung dan Lenggong, Perak.

“Dalam masa terdekat ini, lokasi seterusnya adalah di Parit Buntar, Perak pada 28 November nanti,” kata Anis.

Program Healthy Walkabout-Jelajah Parlimen bertujuan untuk mendekati masyarakat di kampung dan me­lakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubat secara percuma kepada mereka.

Menurut Anis, kehadiran MyAid Malaysia selalunya atas jemputan sesuatu kawasan itu sama ada me­lalui ketua kampung dan Ahli Parlimen sesuatu tempat.

Tidak bergerak sendirian, MyAid Malaysia juga ada waktunya turut melibatkan penyertaan pertubuhan yang lain seperti Islamic Dental Association of Malaysia yang akan membuka ruang untuk membuat pemeriksaan gigi dan rawatan serta-merta.

Mengalu-alukan

Menurut seorang sukarelawan aktif MyAid Malaysia, Norshazlida Shafee, 26, boleh dikatakan hampir setiap dua minggu, dia bersama ahli-ahli yang lain akan menerima jemputan untuk ke kampung-kampung bagi menjalankan program kesihatan.

“Selain memberikan pemeriksaan kesihatan dan ubat secara percuma, kami turut melakukan kerja-kerja amal lain seperti aktiviti gotong-royong membersih­kan rumah penduduk kampung yang tidak berkeupayaan.

“Sebab itu MyAid Malaysia tidak hanya untuk ahli dalam bidang perubatan semata-mata, sebaliknya ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dan mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing,” tutur Norshazlida.

Program yang dijalankan di satu-satu tempat itu juga tidak sama ke­rana ia bergantung pada keperluan penduduk di kawasan tersebut.

Setakat ini, MyAid Malaysia telah memiliki hampir 100 anggota yang terdiri dalam kalangan pelajar bidang perubatan, pegawai perubatan serta anggota pelbagai bidang yang akan sama-sama turun padang bergilir-gilir mengikut ke­sesuaian waktu mereka.

“Kami melakukan kerja-kerja amal ini secara sukarela dengan niat untuk membantu masyarakat dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan atau wang ringgit,” jelas Norshazlida.

Pada masa sama, MyAid Malaysia sangat mengalu-alukan penglibatan lebih ramai sukarelawan yang berminat untuk sama-sama turun padang dan berbakti kepada masyarakat.

Individu yang ingin menyertai pertubuhan bukan kerajaan itu boleh melawat laman Facebook rasmi MyAid Malaysia atau Instagram, myaid.malaysia untuk sebarang pertanyaan.

MyAid Malaysia salur khidmat masyarakat dengan melakukan pemeriksaan dan pemberian ubat secara percuma selain bantuan ketika bencana.