Gejolak jiwanya kian memuncak apabila melihat pelbagai peralatan telekomunikasi telegraf memenuhi segenap ruang monumen dua tingkat yang lengkap berpendingin hawa itu.

Sewaktu menelusuri ruang pameran segmen peralatan-peralatan telegraf, langkah kaki Gajanthren yang awalnya pantas bertukar perlahan.

Pergerakan kakinya terhenti di depan sebuah meja sebesar satu meter persegi yang di atasnya dipenuhi peralatan menghantar dan menerima maklumat menerusi sistem kod morse.

Dia merenung tajam ke arah alat penerima kod morse dan sistem audio selama beberapa minit, sebelum menguji fungsi sistem berkenaan.

Kod morse ialah kaedah pengekodan aksara bagi memancarkan maklumat telegraf dengan menggunakan urutan-urutan elemen panjang pendek yang melambangkan huruf, angka, tanda baca dan aksara khas.

“Alat ini mengimbau kembali kenangan saya ketika berkhidmat sebagai kerani Telekom Malaysia (TM) selama 40 tahun di Butterworth, Pulau Pinang.

“Tugas saya ketika itu menghantar dan menerima kod morse daripada penghantar sebelum diterjemahkan di atas kertas untuk dihantar kepada penerima di seluruh Pulau Pinang.

“Apabila terjumpa alat kod morse ini, saya jadi teringin untuk mencubanya kembali. Ternyata kemahiran menterjemah masih ada tetapi kepantasan sudah perlahan,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Itulah sebahagian daripada pengalaman menarik yang dialami oleh pengunjung sewaktu melawat Muzium Telegraf pertama di negara ini.

Telegraf merupakan sebuah mesin yang menggunakan teknologi telegrafi untuk mengirim dan menerima pesan dari jarak jauh. Biasanya morse digunakan sebagai kod komunikasi.

Telegraf pertama kali ditemukan oleh Samuel Thomas von Sommering pada tahun 1809. Kemudian, pada tahun 1832, Baron Schilling membuat telegraf elektrik pertama.

Gajanthren yang bersara pada April lalu berpendapat, muzium berkenaan memberi peluang kepada generasi muda menyelami kepayahan orang dahulu menyampaikan sesuatu berita.

Jelasnya, telegraf pernah digunakan secara meluas orang masyarakat di negara ini menyampaikan maklumat penting seperti berita kematian, perniagaan, panggilan temu duga dan keputusan peperiksaan.

Sejarah telegraf

“Muzium ini sangat bermanfaat kepada mereka yang berminat menyoroti kembali sejarah telekomunikasi negara dan dunia. Telegraf boleh dianggap asas kepada rangkaian internet pada hari ini.

“Lagipun, ini satu-satunya tempat yang menceritakan secara lengkap perjalanan dan revolusi telegraf di negara ini,” ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.

Muzium Telegraf telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan lalu oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Dibina dan diurus oleh TM menerusi Yayasan Telekom Malaysia (YTM), muzium berkenaan menyimpan maklumat lengkap mengenai sejarah telegraf sejak abad ke-18.

Pengarah YTM, Abd. Hamid Hashim berkata, muzium berkenaan berjaya direalisasikan hasil daripada kerja keras kumpulannya selama dua tahun membuat kajian mengenai telegraf.

Pasukannya berusaha mengumpul peralatan-peralatan penting yang digunakan dalam telekomunikasi telegraf yang masih disimpan oleh TM di seluruh negara.

“YTM adalah sebuah badan yang bertanggungjawab memelihara kesenian, kebudayaan dan khazanah negara berkaitan telekomunikasi untuk tatapan generasi akan datang.

Kabel dasar laut

“Justeru, kami telah menjelajah ke Indonesia, Singapura dan Britain bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai perkembangan telegram di Malaysia dan dunia,” katanya.

Beliau menambah, tujuan pihaknya mewujudkan Muzium Telegraf adalah untuk membaik pulih dan memelihara bangunan pejabat TM pertama daripada terbiar dimamah usia.

Ujarnya, bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1883 itu pernah digunakan sebagai Pejabat Pos dan Telegraf pertama di Malaysia.

“Bangunan ini cukup istimewa buat TM kerana di sinilah kami bermula, sebelum berkembang maju sehingga mampu memiliki bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Bagi TM, bangunan ini perlu dipelihara dan diisi dengan sesuatu yang bermanfaat memandangkan ia memiliki nilai sejarah,” katanya sambil memaklumkan bangunan tersebut bercirikan seni bina Inggeris dan Melayu.

Menurut Abd. Hamid, antara artifak menarik yang dipamerkan di muzium tersebut ialah alat pemancar dan alat penerimaan telegraf serta peralatan lain yang berkaitan dengannya.

Tambahnya, ia termasuklah peralatan-peralatan telegraf terawal sehinggalah yang termoden sebelum perkhidmatannya ditamatkan penggunaan pada tahun 2012.

“Setiap peralatan di sini mempunyai penerangan bagi memudahkan pemahaman para pengunjung. Kami juga menempatkan petugas bagi menerangkan sejarah alat telekomunikasi ini dan impaknya kepada negara.

“Pelawat juga boleh merasai sendiri pengalaman menggunakan dan menguji peralatan yang dipamerkan secara percuma,” katanya.

Selain itu, Muzium Telegraf mempamerkan kabel dasar laut yang digunakan pada tahun 1870 yang merupakan kabel terawal di dunia.

Menariknya, kabel berkenaan menggunakan bahan penebat yang diperbuat daripada ekstrak pokok nyatuh puteh atau lebih dikenali sebagai Gutta percha.

“Hasil kajian kami, British menjumpai ekstrak Gutta percha di Taiping sebelum membawanya ke Britain untuk dibuat kabel dasar laut pertama sebagai penghubung sistem telegraf.

Tarikan

“Pokok ini cukup signifikan kepada sistem telekomunikasi dunia. Kalau tidak ada ekstrak ini teknologi komunikasi mungkin lebih lambat.

“Kami juga menanam sebatang pokok Gutta percha dan alatan mendapatkan mengekstrak di luar Muzium Telegraf untuk dilihat oleh para pengunjung,” katanya.

Antara peralatan lain yang dipamerkan ialah telefon manual, mesin taip lama, poskad, mesin elektromagnet receiver, poskad dan contoh telegram lama.

Sementara itu, Penyelaras Muzium Telegraf, Adnan Abd. Rahaman, 60, berkata, penubuhan muzium berkenaan bakal menjadi salah satu tarikan pelancong terbaharu di Perak.

Ujarnya, muzium tersebut menerima kira-kira 100 orang pengunjung setiap bulan meskipun tanpa sebarang promosi secara besar-besaran.

“Buat masa ini, kebanyakan pelawat yang datang terdiri daripada para pelajar, pengkaji dan pelancong dari dalam mahupun seberang laut,” ujarnya.

Pihaknya juga memperkenalkan aplikasi Virtual Reality (VR) bagi membolehkan pengunjung menjelajah Muzium Telegraf menerusi peranti elektronik.

Jelasnya, sistem berkenaan adalah untuk membolehkan pelawat meninjau terlebih dahulu artifak yang dipamerkan sebelum datang berkunjung ke muzium.

“Kami hanya menonjolkan beberapa sahaja artifak di dalam aplikasi VR. Kalau pelawat hendak melihat secara keseluruhan mereka perlu berkunjung ke sini,” jelasnya.