Hubungan antara teknologi media sosial dan impak peningkatan terhadap kemurungan serta kesepian telah dibincangkan selama bertahun-tahun.

Namun, impak media sosial sebagai pencetus terhadap kadar pertambahan tahap kemurungan dan kesepian dalam diri individu berkenaan tidak pernah terbukti.

Kini, buat pertama kalinya, hasil penyelidikan University of Pennsylvania di Amerika Syarikat berdasarkan data eksperimen yang diperoleh daripada kajian terhadap Facebook, Snapchat dan Instagram telah menampilkan buktinya.

Hasil kajian yang diketuai pakar psikologi, Melissa G. Hunt itu telah diterbitkan dalam Journal of Social and Clinical Psychology edisi Disember, 2018.

Beberapa kajian terdahulu cuba menunjukkan bahawa penggunaan media sosial merosakkan kesejahteraan hidup pengguna.

Namun, peserta kajian diletakkan dalam situasi yang tidak realistik atau skop terhad seperti meminta mereka sepenuhnya berhenti menggunakan Facebook dan bergantung kepada data laporan diri dengan melakukan aktiviti melayari media sosial di makmal dalam tempoh masa yang singkat.

“Kajian kami ini bagaimanapun diusahakan dengan lebih komprehensif dan meluas skopnya,” ujar Hunt.

Bagi merealisasikannya, pasukan penyelidikan merancang melakukan kajian merangkumi tiga platform media yang paling popular dalam kalangan 143 pelajar kolej berusia antara 18 hingga 22 tahun iaitu Snapchat, Instagram dan Facebook.

Data penggunaan ketiga-tiga media sosial oleh peserta kajian menerusi iPhone masing-masing itu dikumpul secara automatik.

Setiap daripada 143 peserta itu telah dikaji untuk menentukan mood dan kesejahteraan hidup mereka pada peringkat awal kajian.

Peserta kemudiannya secara rawak diasingkan ke dalam dua kumpulan berlainan iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen.

Peserta dalam kumpulan kawalan masih dibenarkan mengekalkan tingkah laku media sosial yang biasa mereka lakukan seperti sebelum ini.

Sementara, peserta dalam kumpulan eksperimen diperlukan membatasi masa mereka untuk melayari Facebook, Snapchat dan Instagram sehingga selama 10 minit pada setiap hari.

Nikmati hidup

Untuk tiga minggu seterusnya, data penggunaan Snapchat, Facebook dan Instagram setiap peserta yang berada dalam kedua-dua kumpulan dikumpul serta dibandingkan dari segi kemurungan dan kesepian yang dialami masing-masing.

“Didapati tempoh penggunaan media sosial yang kurang daripada biasa membawa kepada penurunan yang ketara dalam kedua-dua kemurungan serta kesepian yang dialami peserta kajian.

“Ia agak ironi apabila kurang menggunakan media sosial membuatkan anda sebenarnya berasa kurang kesepian,” katanya.

Namun, apabila hasil kajian itu difahami dengan lebih mendalam, ia didapati masuk akal.

“Apabila tidak sibuk melayari media sosial, anda sebenarnya menghabiskan banyak masa pada perkara yang lebih cenderung menjadikan kehidupan realiti anda berasa lebih baik.”

“Berbanding dengan apabila anda melihat kehidupan orang lain terutamanya di Instagram, mudah untuk menyimpulkan bahawa kehidupan mereka lebih baik daripada anda.

“Sedangkan jika anda tidak melayari Instagram, hidup anda sebenarnya juga bagus, malah mungkin lebih baik daripada kehidupan yang kononnya ceria ditonjolkan dalam Instagram individu-individu berkenaan,” jelas Hunt.

“Secara umumnya, saya akan berkata, lupakan telefon pintar anda dan bersabar dengan orang-orang yang ada dalam realiti hidup anda.

“Nikmati hidup tanpa Snapchat, Facebook dan Instagram, nescaya kehidupan anda akan lebih baik, tidak murung atau sepi lagi,” tegasnya.