Penghijrahan masyarakat Cina ke Tanah Melayu juga telah membawa bersama amalan perubatan tersebut ke negara ini. Salah satu perubatan tradisional tertua yang telah membentuk legasi di Malaysia ialah kaedah rawatan daripada keluarga Yap Chan Kor yang merawat kesakitan otot dan sendi sejak berdekad-dekad lamanya di negara ini.

Chan Kor kini berusia 73 tahun. Formula perubatan dipercayai berusia 1,500 tahun menggunakan herba itu telah dibawa oleh bapanya, Yap Shu Shen yang berhijrah ke Malaya dari utara Tanah Besar China pada 1930-an.

Chan Kor kemudian telah ‘menjenamakan semula’ kaedah perubatan keluarganya itu dengan nama rawatan Yap Chan Kor menerusi penubuhan sebuah pusat rawatan kesakitan pada 1979 di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Lebih menarik lagi, bukan sekadar rawatan tradisional, kaedah perubatan keluarga Chan Kor yang merupakan antara rawatan alternatif tertua di negara ini juga dibuktikan secara saintifik. Kira-kira dua tahun lalu, kaedah perubatan menggunakan herba ini dilaporkan telah dibuktikan secara saintifik dari sudut antiradang oleh Relevium Sciences Sdn. Bhd. dan Universiti Monash Malaysia di Subang Jaya, Selangor.

Pusat Rawatan Kesakitan Yap Chan Kor diasaskan oleh Chan Kor pada 1979 dikatakan telah membantu lebih 20,000 pesakit otot dan sendi di negara ini.

Tampalan

Chan Kor yang arif tentang ilmu perubatan tradisional Cina menjelaskan, rawatan yang dipraktikkannya menggunakan tumbuhan herba yang digabungkan dengan kaedah fisioterapi moden bagi mempercepatkan sesuatu pemulihan.

“Antara rawatan yang kita sediakan adalah membantu mereka yang mempunyai masalah seperti cakera tergelincir pada bahagian tulang belakang, sakit lutut dan lain-lain lagi.

“Kami menggunakan tumbuhan herba yang mempunyai manfaat dan khasiat tersendiri. Bahan-bahan terpilih ini akan dijadikan dalam bentuk serbuk dan dimasak dalam satu tempoh masa untuk dijadikan pes. Akhir sekali pes yang terhasil akan dilekatkan di dalam plaster khas sebelum ditampal pada bahagian yang berasa sakit,” katanya.

Tambahnya, kesemua tumbuhan herba yang digunakan itu diimport khas dari China.

Setiap tumbuhan herba seperti daun, akar kayu dan lain-lain lagi dituai pada musim yang berbeza di China. Ada yang dituai pada musim luruh, panas dan sejuk.

Antara herba yang digunakan termasuklah kulit limau mandarin kering, kayu manis Cina, tibet rhubard dan lain-lain lagi.

“Kebanyakan pesakit yang menerima rawatan alternatif di sini mempunyai masalah sakit pada bahagian leher, bahu, pinggang dan lutut.

“Di sini kami akan melakukan fisioterapi terlebih dahulu dan kemudiannya akan melekatkan pes herba itu di bahagian yang sakit,” katanya.

Penghijrahan bapa

Chan Kor menjelaskan, kaedah rawatan tradisional itu telah diamalkan oleh turun-temurun oleh keluarganya.

Ia telah lama diamalkan oleh datuk saudaranya di China terutamanya dalam merawat kesakitan ketika mempelajari ilmu mempertahankan diri, kung fu.

“Mereka yang mendalami kung fu juga amat mudah terdedah kepada kecederaan, Jadi, rawatan ini digunakan bagi mengubati kecederaan yang mereka alami.

“Sebelum ayah saya berhijrah ke Malaya sebelum merdeka, ayah saya mendalami kaedah rawatan ini. Di Malaya, ayah saya turut mengajar kung fu dan ketika kecil saya turut mempelajari kung fu daripada ayah dan banyak membantunya dalam merawat kecederaan kung fu. Dari situ, saya belajar sedikit demi sedikit tentang kaedah rawatan ini,” katanya.

Jelasnya, setelah bapanya meninggal dunia pada tahun 1979, Chan Kor kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka Pusat Rawatan Kesakitan Yap Chan Kor dengan menggunakan kaedah rawatan tradisional tersebut.

Bercerita lanjut mengenai rawatan yang diberikan kepada pesakit, Chan Kor berkata, kebiasaannya tempoh masa untuk satu-satu rawatan adalah selama satu jam hingga satu setengah jam bergantung kepada jenis kesakitan yang dialami.

Dalam pada itu, bagi mereka yang betul-betul ingin pulih disarankan untuk menjalani beberapa kali rejim rawatan.

“Untuk pulih ia bukan hanya menjalani satu rawatan sahaja, tetapi pesakit perlu mengikuti beberapa kali sesi rawatan bagi membolehkan bahagian yang mereka sakit beransur-ansur pulih.

“Mereka boleh memilih sama ada untuk menjalani rawatan sebanyak tujuh, 12, 21 atau 28 kali rawatan. Bagi masalah sakit yang serius seperti cakera tergelincir atau slipped disc misalnya, minimum sesi yang mereka perlu ikuti adalah sebanyak 21 kali,” katanya.

Chan Kor kini telah membuka enam pusat rawatan kesakitan di sekitar Lembah Klang.

Tegasnya, dia memilih untuk membuka pusat rawatan tersebut bertujuan untuk membantu mereka di luar sana mengurangkan sebarang kesakitan yang dialami.

“Saya gembira apabila dapat membantu mereka di luar sana untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sebarang masalah kesakitan selepas tercedera, misalnya semasa bersukan.

“Pelanggan yang datang menerima rawatan di sini juga terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Tegasnya, dia juga gembira apabila mendapat maklum balas yang positif daripada para pelanggan.

Saintifik

Dalam pada itu bagi seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Azrizan, 29, yang pernah mendapatkan rawatan itu, masalah sakit pada bahagian lututnya beransur pulih.

“Saya mendapat kecederaan lutut ini ketika bermain bola sepak. Pada mulanya saya biarkan begitu sahaja dan apabila kembali bermain kecederaan itu berulang kembali.

“Selepas itu, saya telah mencuba banyak rawatan tetapi kesakitan ini masih dirasai. Setelah mendapatkan rawatan di sini, ia menunjukkan hasil positif dengan kesakitan yang dirasai semakin berkurang dan saya boleh bermain bola sepak kembali seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, memetik artikel yang disiarkan oleh newstream.asia, Ketua Pegawai Eksekutif Relivium Sciences, Dr. Fan Jian Ping berkata, pasukan penyelidiknya amat kagum dengan ciri-ciri anti radang yang jelas dalam formula yang dihasilkan oleh Yap Chan Kor.

“Kami percaya bahawa ini hanyalah permulaan untuk membuktikan lagi kesan sinergi herba ini dan memahami lebih banyak manfaat perubatannya.

“Terdapat banyak pengetahuan yang tersembunyi dalam perubatan tradisional Cina dan kami akan berkongsi lebih banyak penemuan ini dengan orang ramai,” katanya.