Pada bulan puasa umat Islam berlumba-lumba mengerjakan ibadat seperti membaca al-Quran, solat berjemaah, bersedekah dan masjid-masjid penuh terutamanya pada waktu solat tarawih.

Kini, Ramadan sudah hampir seminggu berlalu. Persoalannya, adakah kita sudah menjadi semakin baik selepas Ramadan?

Menurut Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Khairul Anuar Mohamad, tidak dinafikan manusia tidak lari daripada melakukan dosa sama ada sengaja atau tidak sengaja. Biarpun ia sebesar zarah mahupun seluas alam.

Khairul Anuar berkata, pada bulan Ramadan semua orang berazam untuk jadi lebih baik dengan meninggalkan segala perbuatan jahat yang pernah dilakukannya.

“Sebaliknya apa yang berlaku adalah selepas berakhirnya Ramadan, ramai yang tidak dapat meneruskan momentum tersebut.

“Perkara paling dekat yang boleh kita sentuh adalah solat Subuh pada hari raya. Ada yang tidak bersolat kerana sibuk dengan persiapan raya,” ujarnya.

“Sepatutnya selepas Ramadan umat Islam bertambah baik dan semakin cinta akan ibadat.

“Bukannya kembali kepada melakukan perbuatan jahat,” ujarnya.

Berjemaah

Khairul Anuar menambah, pada hari raya, kesibukan melayan tetamu membuatkan seseorang individu itu tidak menjaga dan meninggalkan solat.

“Padahal, mendirikan solat itu merupakan kewajipan bagi umat Islam. Sebaik-baiknya, ajak tetamu solat berjemaah apabila masuk waktu solat.

“Perbuatan ini jarang dilakukan masyarakat Islam pada hari raya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Aziz, Mohamad Shaari Md. Yusof memberitahu, sebaik sahaja Ramadan melabuhkan tirainya, umat Islam digalakkan untuk menilai atau muhasabah diri untuk melihat kembali ibadah yang telah dilakukan agar ianya berterusan.

“Muhasabah diri adalah perbuatan menilai, meninjau perasaan yang melibatkan fikiran, pendirian dan segala amalan yang telah dilakukan.

“Berkaitan hal ini, Nabi SAW bersabda, ‘Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman,” jelasnya.

Lantaran itu, iman dan amal perlu seiring agar ia tidak hanya berhenti pada bulan puasa.

“Pada bulan puasa, kekuatan iman sangat kuat. Malah bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat seperti membaca al-Quran dan solat berjemaah untuk mengejar pahala berlipat kali ganda.

“Namun, akhir sahaja Ramadan, segalanya berkurangan. Ia menunjukkan perbuatan seseorang itu harus diteliti semula,” katanya.

Jelasnya, ia boleh diibaratkan seperti pergi menunaikan haji.

“Menurut pandangan alim ulama untuk melihat seseorang itu mendapat haji mabrur atau tidak, lihat amal dan ibadatnya selepas pulang ke tanah air.

“Sekiranya dia berubah menjadi lebih baik daripada sebelum itu, maka boleh dikatakan haji mabrur tetapi Allah lebih mengetahuinya,” tuturnya.

Cintai ilmu

Selain itu, Mohamad Shaari berkata, umat Islam digalakkan sentiasa muhasabah diri dan melakukan perbuatan mengikut saranan agama.

“Antaranya adalah mencintai ilmu, mengingati mati dan memahami hakikat kehidupan di dunia serta akhirat,” jelasnya.

Jelasnya lagi, muhasabah diri adalah suatu tindakan yang penuh ketelitian terhadap segala tingkah laku agar tidak mendatangkan kemurkaan Allah.

Justeru, katanya, setiap orang yang beriman wajib melakukan muhasabah diri dalam setiap perbuatan agar jauh daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, riak, melakukan fitnah, mengumpat, mencaci maki, dan munafik.

Dalam pada itu, Mohamad Shaari menjelaskan, maksud muhasabah sangat luas kerana ia bukan sahaja pada diri sendiri tetapi harus mengajak masyarakat lain untuk bersama-sama melakukan kebaikan.

Katanya, muhasabah perlu berterusan bukan hanya bulan Ramadan semata-mata, bahkan sepanjang umur seseorang itu kerana manusia tidak akan lari daripada melakukan dosa.