Setelah memilih filem yang diingini dan waktu tayangan sesuai, S. Tivagaranraj, 18, dan seorang rakannya lantas membuat pembayaran sebelum tiket wayang yang terpapar kod respons pantas (QR) itu dicetak.

“Saya lebih suka membeli tiket menggunakan mesin layan diri kerana selepas itu saya boleh berjalan-jalan di sekitar pusat beli-belah. Ia memudahkan saya untuk terus masuk ke dalam panggung wayang apabila tiba waktu tayangan.

“Saya hanya perlu mengimbas tiket menggunakan mesin pengimbas yang ditempatkan di laluan masuk tanpa perlu beratur untuk diperiksa oleh atendan pawagam seperti sebelum ini,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di pusat beli-belah Sunway Velocity baru-baru ini.

Kemudahan

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane, Cheras, Kuala Lumpur yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia itu memberitahu, dia dan rakan-rakan lebih selesa menonton wayang pada waktu siang kerana tidak perlu berebut tempat duduk dengan pengunjung lain.

Sejak diperkenalkan hampir suku abad lalu, penggunaan kod QR memberi kemudahan kepada pengguna dan pengusaha dalam pelbagai aspek meliputi pelbagai bidang.

Kod bar generasi kedua itu merupakan simbol dua dimensi yang menggunakan segmen-segmen tertentu seperti piksel-piksel yang terdapat pada sebuah monitor.

Ia dibangunkan oleh sebuah syarikat di Jepun iaitu Denso Wave pada tahun 1994 bagi memenuhi keperluan industri automotif yang berkembang pesat pada masa itu.

Ia direka untuk membolehkan imbasan komponen berkelajuan tinggi sewaktu proses pembuatan kenderaan.

Kecekapan sistem imbasan menggunakan kod QR bagi mendapatkan maklumat menjadikan ia turut meraih populariti di luar bidang automatif.

Imbasan kod QR berupaya membaca data dengan cepat dan mempunyai kapasiti storan lebih besar berbanding kod bar Kod Produk Sejagat (UPC) piawai.

Hal tersebut menjadikan kod QR digunakan secara meluas terutama dalam bidang pemasaran. Tujuannya, pengguna atau pengusaha boleh mengesan produk, pengenalan barangan, pengesanan masa, pengurusan dokumen dan pemasaran umum.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dicetak pada pek pembungkusan produk atau sepanduk perniagaan menggunakan aplikasi pengimbas yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar.

Kod tersebut akan dibaca dan dihubungkan terus ke pautan perniagaan tersebut sama ada laman web atau media sosial.

Kaedah efektif tersebut juga mendapat perhatian Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Lalu pihak muzium memperkenalkannya secara rasmi hampir sedekad lalu sebagai aplikasi E-Caption.

Menurut Pengurus Besarnya, Datuk Khamis Abas, aplikasi E-Caption menggunakan telefon pintar memudahkan pengunjung untuk mengakses maklumat berkaitan artifak dan mendapatkan keterangan mengenai muzium lebih pantas.

Rujukan

“Secara kasar, Perzim menerima kunjungan lebih 4,000 orang pelajar setiap tahun terutama selepas penekanan kerajaan terhadap mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah menengah. Tempoh lawatan yang singkat menyukarkan mereka untuk mendapatkan kesemua maklumat yang diperlukan.

“Sejajar dengan implementasi E-Caption, mereka hanya perlu mengimbas kod yang terdapat pada kebanyakan barangan di dalam muzium dan menyimpannya agar dapat dirujuk semula sewaktu ingin melakukan kerja kursus,” katanya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menjadi antara muzium perintis di Malaysia yang memperkenalkan sistem perkongsian maklumat menerusi imbasan kod QR, Khamis memberitahu, kaedah yang sama kini boleh didapati di semua muzium yang bernaung di bawah Perzim seperti Muzium Sejarah, Muzium Budaya, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Rakyat dan Muzium Samudera.

“Jika mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) muzium, penerangan bertulis yang disediakan pada sesuatu barangan haruslah tidak melebihi 50 patah perkataan.

“Aplikasi E-Caption memudahkan pengunjung mengakses lebih banyak maklumat secara maya hanya dengan sekali imbasan sahaja,” terangnya.

Ruang lingkup kelebihan aplikasi kod QR bukan sahaja melibatkan aspek pemasaran barangan sahaja, malah ia juga penting untuk ‘memasarkan’ sumber manusia.

Negara pernah digemparkan dengan pembongkaran sindiket yang menjual sijil akademik palsu daripada institusi pengajian tinggi secara online. Malah ada juga yang kini menjawat pelbagai jawatan dalam sektor pekerjaan dengan berbekalkan sijil akademik palsu.

Dokumen asli

Isu yang dipandang serius di peringkat tertinggi itu membuatkan kerajaan mengeluarkan arahan kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini untuk menggunakan kod QR pada sijil akademik masing-masing mulai pertengahan tahun ini. Langkah tersebut diambil sebagai satu usaha membendung isu pengeluaran sijil akademik palsu yang banyak berlaku kini.

Menyambut baik usul tersebut, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, implementasi kod QR pada sijil akademik IPTA dibuat pada masa yang tepat seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 bagi memperkasakan universiti awam menjadi lebih digital dengan mewujudkan kampus tanpa tunai (cashless) dan tanpa kad (cardless).

“Paparan kod QR pada sijil akademik pelajar merupakan salah satu kaedah untuk memastikan keaslian dokumen yang didakwa dikeluarkan oleh pihak universiti terbabit.

“Selain itu, ia juga memudahkan bakal majikan membuat pengesahan status calon temu duga dengan cepat tanpa perlu membuat panggilan telefon kepada mana-mana orang perseorangan,” tuturnya.

Tegas Shatar yang juga merupakan seorang pakar sosial, setiap lapisan pengajian akademik sama ada diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah memerlukan pengorbanan besar untuk mendapatkannya, terutama dari segi masa untuk mengikuti kuliah.

“Sekiranya seseorang yang menggunakan sijil akademik palsu lolos dan diterima bekerja, besar kemungkinan mereka tidak mampu melaksanakan tugas tersebut mengikut standard yang ditetapkan majikan kerana kepakaran yang dimiliki bukan bersifat asli. Pengetahuan teori dan amali diperlukan untuk melancarkan sesuatu urusan kerja.

“Jika dilihat dalam skop lebih luas pada jangka panjang, perbuatan tersebut akhirnya akan meninggalkan persepsi negatif kepada masyarakat Malaysia secara umumnya, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur luar untuk melabur sejumlah wang ke dalam negara. Apabila berlanjutan, lama-kelamaan ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” terangnya.

Setakat ini beberapa universiti awam yang telah mempunyai kod QR pada sijil akademik ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan akan diimplementasi sepenuhnya ke universiti lain menjelang pertengahan tahun.