BUTIRAN kata-kata perumpamaan ibarat lilin yang membakar diri sememangnya sinonim ditujukan kepada warga pendidik iaitu guru yang mencerdaskan rakyat supaya disiplin ilmu, sahsiah diri dan berilmu terus terbina.

Kesungguhan lebih 400,000 individu bergelar guru itu dilakukan tanpa mengira agama, bangsa dan negara demi memastikan Dasar Pendidikan Negara berdasarkan Laporan Rahman Talib yang kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran pada 1961 dilaksanakan dengan sempurna.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dipetik dalam laporan media sebelum ini berkata, kerajaan sedang merangka pelan strategik yang akan dibentangkan pada Disember tahun ini bagi mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian.

“Saya mahu kembalikan zaman kegemilangan guru yang mana guru menjadi Hero Teacher kerana mereka mencintai kerjaya mereka malah menyayangi kita seperti anak sendiri dan mahukan kita benar-benar berjaya,” katanya.

Kisah Darwis Ahmad, bekas Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong, Beseri, Padang Besar, Perlis yang berusia 56 tahun ini boleh membuka persepsi ‘dunia perguruan’ yang sebelum ini sekadar dianggap sebagai profesion bertaraf profesional seperti pekerjaan yang lain.

Pada 2 Oktober lalu, lebih 500 murid SK Seri Tunjong menangisi pemergian bekas Guru Besar kesayangan mereka itu.

Darwis merupakan anak kepada pesara tentera yang telah meninggal dunia dan ibunya yang mengambil upah menjahit itu akhirnya bersara selepas 33 tahun, tujuh bulan dan sehari menabur bakti dalam arena pendidikan.

“Jujur dan menipu untuk saya katakan tidak sayang dunia pendidikan ini. Bukan kerana soal pangkat, jawatan dan imbuhan yang diterima setiap bulan tetapi bagi saya inilah masanya,” tuturnya dengan nada sayu.

Katanya lagi, keputusan itu diambil selepas berfikir sedalam-dalamnya.

“Bagi saya, cukuplah umur saya 56 tahun ini dan saya ingin menumpukan kepada amal ibadat. Anak-anak telah besar selain bakal mempunyai jawatan yang layak dengan kelulusan peringkat universiti masing-masing.

Anak kampung

Jarak kediaman rumah teres dua tingkat miliknya di Taman Putra Kangar dan SK Seri Tunjong kira-kira 30 kilometer (km).

Isterinya, Norlida Saad juga merupakan seorang pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Jaafar Hassan dan bakal bersara pada Mac tahun depan pada usia 56 tahun.

Dua daripada empat anaknya perempuannya bakal mengikut jejak langkah kedua ibu dan bapanya terlibat dalam dunia perguruan.

Darwis merupakan lepasan Diploma Pendidikan, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah terjun dalam bidang berkenaan atas rasa cintanya untuk menolong rakyat supaya tidak tertinggal terutamanya mereka yang menetap di kampung-kampung.

Pengalaman sebagai anak kampung dan mengetahui tahap pendidikan mereka ketika itu membuatkan dia tekad membantu sekali gus meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Perjalanan tersebut bermula apabila beliau ditempatkan di sekolah pertama iaitu di Sekolah Kebangsaan Chucoh Puteri, Kuala Krai, Kelantan pada 1986.

Cipta nama

Bertugas di Pantai Timur membuatkan beliau dapat mempelajari perkara baharu antaranya dikir barat.

Bahkan, suasana bukit dan sungai yang tidak tercemar membuatkan beliau tidak kekok mengajar dan tinggal di kawasan berkenaan, malah pengalaman menangkap ikan kelah dan memasak sendiri sesuatu yang tidak boleh dilupakannya.

Sebelum bersara, beliau menerima Anugerah Penghargaan oleh Jabatan Pendidikan Perlis pada bulan ini.

Persaraan beliau dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan silat, perarakan seperti pengantin baharu, pengantin cilik, karaoke dan pelancaran Kebun Darwisa sempena namanya.

Dia segak berbaju Melayu lengkap pada majlis itu.

Pencapaian sekolah itu juga cukup baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan peratusan kelulusan 70 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, peratusan UPSR di sekolah berkenaan sekitar 65 peratus.

Sisi menarik sekolah ini juga bukan calang-calang kerana telah melahirkan atlet sukan yang mencipta nama dalam persada antarabangsa iaitu Abdul Latif Romly.

Susuk lelaki anak jati Perlis berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi memukau dalam Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dengan memenangi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod dunia baharu, 7.64 meter (m) bagi memadam catatan lama 7.60m yang dilakukannya semasa meraih pingat emas Sukan Paralimpik 2016.

Menurut seorang guru pemulihan khas, Lailatul Nor Ibrahim, 41, Darwis dikenali sebagai seorang bekas ketua yang fleksibel dalam mematuhi tugas seorang guru.

“Dia tidak pernah menekan kami selain marah-marah namun ada sisi ketegasannya terutama melibatkan pendidikan dan disiplin murid.

Tenang

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris, Norhana Padzelah Ahmad, 55, secara peribadi Darwis dikenali sebagai guru besar yang cukup tenang dan tidak mudah panik sekiranya berdepan dengan isu-isu atau masalah melibatkan sekolah.

“Dia sentiasa tenang sekiranya terdapat masalah dan penyelesaian selain mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu dengan segera.

Bagi murid, Aienul Mardhiyah Nadzeri, 12, bekas guru besar sekolah itu menjadi antara idolanya kerana merupakan seorang individu yang bertimbang rasa dan sering memberikan bantuan kepada mereka.

“Jika ada guru yang tidak dapat mengajar di kelas kerana masalah tertentu dia akan segera mencari pengganti supaya kelas dapat berlangsung dengan sempurna.

“Malah, dia akan memastikan keselamatan setiap anak murid dalam keadaan terbaik setiap kali hadir dan pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Nurul Huda Abdul Aziz, 10, berkata, bekas guru besar itu sering melakukan lawatan secara mengejut di kelas-kelas bagi memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan sempurna.

“Dia akan berdiri sebentar di tepi kelas pada waktu tertentu dan mengukir senyuman melihat telatah kami yang kadang-kadang tertidur kerana kepenatan.

“Malah, dia pernah menghulurkan wang bagi murid yang tertinggal wang saku di rumah untuk menikmati makanan dan minuman di kantin,” katanya.