Jika dahulu, kursus seperti itu hanya digalakkan untuk pasangan yang mahu berkahwin tetapi kini, ia menjadi satu kewajipan bagi mana-mana pasangan yang mahu berumah tangga.

Sama ada mahu ataupun tidak, seseorang itu perlu menamatkan kursus tersebut jika mahu berkahwin.

Kursus perkahwinan boleh diambil bersama pasangan atau secara individu. Ini bermakna, ia tidak semestinya hendak berkahwin baru boleh mengikuti kursus tersebut.

Modul baharu

Berumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah, pelbagai tanggungjawab perlu dipikul selepas bergelar suami isteri.

Atas sebab itu, jabatan agama mengadakan kursus perkahwinan untuk bakal-bakal suami dan isteri supaya mereka dapat bersedia serta tahu tentang tanggungjawab masing-masing.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan modul baharu untuk kursus perkahwinan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, modul baharu itu lebih komprehensif berbanding dengan modul sedia ada.

“Modul baharu ini termasuklah mengenai tanggungjawab suami isteri, komunikasi yang lebih baik antara kedua-dua pihak supaya dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik. Bukan sekadar mengenai apa itu perkahwinan, rukun perkahwinan dan perkara sah perkahwinan.

“Modul baharu untuk kursus perkahwinan ini perlu dilaksanakan kerana modul perkahwinan sedia ada iaitu mereka hadiri cuma untuk dapatkan sijil yang melayakkan mereka berkahwin,” katanya.

Tambahnya, terlalu banyak perubahan dalam kehidupan yang akan dihadapi selepas berkahwin.

Oleh itu, dengan adanya modul baharu, sekurang-kurangnya ia boleh menyiapkan pasangan untuk menghadapi tekanan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amaludin Ab. Rahman turut bersetuju dengan pendapat itu.

Amaludin yang merupakan salah seorang fasilitator kursus praperkahwinan berkata, cabaran ketika melayari bahtera perkahwinan semakin besar pada masa kini, sekali gus memerlukan persediaan dan pengetahuan yang lebih mendalam.

“Melayari alam berumah tangga semakin mencabar ekoran daripada perkembangan teknologi. Lihat sahaja di laman-laman sosial, kisah-kisah mengenai perkahwinan dibincangkan dengan meluas tanpa segan silu.

“Ramai yang tidak berfikir dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan untuk memuat naik masalah peribadi mereka yang pada akhirnya akan memakan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Penceraian

Tambah Amaludin, kes-kes penceraian pada usia muda juga semakin membimbangkan.

“Penceraian di bawah usia tiga tahun perkahwinan dan memiliki seorang atau dua orang anak perlu diambil berat. Kita tidak mahu nanti, anak-anak terbiar dan menjadi mangsa di atas sikap ibu bapa mereka sendiri.

“Oleh itu, kesan-kesan ini yang perlu dimasukkan ke dalam modul baharu kursus kahwin kelak. Pengendalian perlu dilakukan mengikut kesesuaian dengan peredaran persekitaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar berkata, dia bersetuju jika kerajaan ingin melakukan pembaharuan modul terhadap kursus perkahwinan.

Katanya, tindakan itu wajar dan lebih baik jika ia dijadikan amalan dari semasa ke semasa seperti menyemak semula kursus berkenaan setiap lima tahun mengikut kesesuaian.

“Hasil semakan itu nanti, boleh jadi modul sedia ada sesuai diteruskan, boleh jadi juga perlu penambahbaikan. Apa yang penting, proses menyemak dan menilai perlu selari dalam Islam iaitu tajdid.

“Jika dilihat pada modul sedia ada, tajuk topik semuanya penting belaka, cuma kandungan perinciannya yang perlu dilihat semula supaya sesuai dengan keadaan semasa,” terangnya.